PART 8

Kerana terlalu lama menunggu rakaman yang dirancang oleh Iwan Production, seorang kawan, En. A membawa aku bertemu dengan Aziz Bakar. Alasannya BMG Music sedang mencari bakat baru, lagipun, En.A tidak mahu aku menunggu lama sedangkan kontrak belum di tandatangani oleh syarikat produksi itu.

Kali pertama aku di uji bakat oleh BMG di hadapan Saari Amri, Aziz Bakar & S.Sahlan. aku masih ingat, lagu yang aku nyanyikan ialah ‘Madah Berhelah’ & sebuah lagu Ramlah Ram – ‘Diambang Pintu Kekasih Ku’. Selepas uji bakat itu, pihak BMG memberi kata putus untuk mengambil aku sebagai artis rakaman mereka. Walaupun keputusan yang aku ambil ini, menggembirakan aku, tetapi tidak pada pihak pengurusan Iwan Production, tetapi mereka tidak mampu berbuat apa-apa kerana aku tidak mengikat kontrak bersama mereka.

Bersama BMG Music, segalanya berjalan lancar. Mereka memberi aku yang terbaik, dari pembikinan album, barisan komposer hebat, penulis lirik, sehinggalah ke perunding imej. Kali pertama mendapat wang kerana mengikat kontrak dengan mereka, KL bagaikan aku yang punya. Aku yang tidak pernah menerima wang sebanyak itu, amat seronok dan semua kompleks beli belah aku pergi. Sungguh pun begitu, pada emak & abah aku tidak lupa untuk memberi sebahagian wang itu kepada mereka. Abah seperti biasa tidak mahu terima, emak ok.

Rata-rata mengetahui kakak aku juga merupakan seorang penyanyi ketika itu. Pastinya ramai yang membaca cerita aku ini tertanya-tanya, kenapa ketika aku berpindah ke kota raya KL tinggal sendirian dan tidak dengan beliau? Ini terlalu sensitive untuk aku ceriitakan lagipun ianya adalah kemahuan emak aku. seorang ibu lebih mengenali tabiat dan perangai anak-anaknya, tidak kiralah seramai mana sekalipun.

Kali pertama wajah aku dipaparkan di akhbar harian hujung minggu, emak mendapat panggilan telefon dari KL yang ‘menyakitkan’ halwa telinganya. Panggilan itu adalah dari kakak aku yang aku maksudkan tadi. Beliau berang sekali kerana risaukan keselamatan aku di kotaraya yang besar ini. emak menerima arahannya yang mahukan aku berpindah dan tinggal dengannya. Dengan berat hati emak mengizinkan kerana tidak mampu menahan leterannya. Itulah tanggungjawab seorang kakak yang sayangkan adiknya. Aku pun tidak mengingkar suruhan emak dan tinggal dengan beliau. Ketika itu, beliau menyanyi di lounge hotel yang terletak di selatan Malaysia. Aku tinggal sendirian juga di rumahnya. Kami sememangnya akrab dari kecil, oleh sebab itu aku fikir tak ada masalah untuk aku tinggal dengannya.

Walau bagaimana pun, Masa dan keadaan mampu merubah seseorang. Maksud aku, tidak pula dia bertukar menjadi seorang yang nakal ataupun jahat. Setiap manusia punyai kenakalan. Kakak aku amat menyukai bidang nyanyian dan memang menjadi impiannya untuk menjadi terkenal sebagai anak seni. Entah di mana silapnya, kerjayanya berlaku sebaliknya. Beliau amat kecewa dan kerana kekecewaan itulah membuatkan beliau berubah. Aku simpati dan menanam hajat untuk membela nasibnya.

Di dalam masa yang sama, aku amat sibuk dengan promosi dan pelbagai aktiviti yang diatur syarikat rakaman. Kesibukkan itu membuatkan aku kerapkali meninggalkan beliau sendirian sehinggakan beliau membuat kesimpulan sendiri dan tertekan dengan apa yang disangkakannya. Aku juga tertekan dengan tindakan dan sikapnya yang aku tidak pernah jangkakan akan berlaku.

Aku ni memang tidak tahu memujuk, jadi aku tidak ada idea untuk duduk berbincang dan bertanya beliau. Aku cuba, tetapi gagal. Mungkin kerana aku terlalu mentah untuk menangani masalah sebegitu. Sehinggalah satu hari, kakak aku tidak dapat menahan tekanannya, beliau telah melakukan sesuatu yang aku fikir tidak patut dilakukan. Aku yang faham dengan keadaannya, cuba bersabar tetapi gagal atas dasar aku juga manusia biasa yang tidak sempurna, kesabaran aku hilang. Aku sedih dengan sikapnya yang sanggup memfitnah adik sendiri kerana terlalu tertekan dengan perjalanan hidupnya. Kami bergaduh dan aku dibawa pindah keluar dari rumah itu ke sebuah rumah milik seorang rakan baik pengurus aku, kak shah. Kak Shah menjadi rapat seperti kakak ku sendiri sehingga ke hari ini.

Aku amat sedih dan tidak henti-henti menangis di atas apa yang berlaku. Aku sayangkan kakak aku, tetapi kenapa begini jadinya? Setiap kali bertanya, aku berfikir berkali-kali. Jawapan yang aku perolehi ialah – komunikasi & insecurity. Aku anggapkannya sebagai satu ujian yang Allah berikan untuk memberi kekuatan kepada aku. aku dilahirkan dengan mempunyai sifat penyabar seperti emak, tetapi ada tahapnya. Apabila aku jujur dan ikhlas dengan seseorang, dan orang itu mengecewakan aku, aku akan bertukar menjadi seorang yang keras hati kerana fed up. Aku kecewa dan merajuk dengan kakak aku. selepas sebulan, aku ‘sembuh’ dari ‘sakit’ yang membuatkan aku merana bagai ditinggal kekasih. Aku fobia dan trauma dengan kejadian itu, lantas mengambil keputusan untuk tidak mengambil tahu hal beliau kerana terlalu kecewa.

Aku berjaya melupakan kekecewaan itu dengan kesibukkan dan jadual persembahan yang padat. Sehinggalah satu hari yang tenang, Aku terbaca satu akhbar tabloid yang popular ketika itu, tertulis ‘adik artis cakar muka kakak sendiri’. Aku pun membuka helaian muka surat akhbar itu, tiba di kolum itu, aku membacanya tanpa menyangka itu adalah aku! terfikir sejenak, bila pula aku cakar muka kakak aku? mungkin di dalam perang mulut tu, ada yang tak perasan tangan masing-masing naik ke badan dan muka masing-masing. Aku menangis dan kecewa dengan kenyataan itu, yang mengutuk dan membenamkan aku ke dalam lembah hinaan orang sedalam-dalamnya!

Aku yang masih baru dalam arena ini, merasa takut dan tidak menyangka kakak aku akan memfitnah aku sedemikian. Apabila disiasat, rupanya penulis itu yang banyak menambah ‘ajinomoto’ untuk menyedapkan bahan ceritanya. Emak yang menjadi P.I aku. aku redha dan pasrah atas apa yang berlaku dan berserah kepada Allah untuk mengatur perjalanan aku selepas itu. Kakak aku, tak tahu di mana dia berada ketika itu, hanya beberapa bulan selepas itu, aku mendapat khabar yang beliau berhijrah ke Brunei Darussalam.

Selepas kejadian itu, pelbagai tomahan yang aku terima. Ada yang tidak mahu bersalaman dengan aku ketika aku menghulurkan tangan. Aku hanya mampu bersabar dan aku yakin kebenaran akan berpihak kepada ku. Aku cuba hilangkan kebuntuan dan sedih ku dengan bekerja.

Bakat yang dianugerahkan Allah kepada ku berjaya membuatkan orang di sekeliling ku mengenali ku dengan lebih rapat. Secara perlahan-lahan tomahan dan sangkaan yang tidak betul, hilang begitu sahaja. Tambahan pula aku digelar dengan gelaran sebagai pengganti seorang artis popular tanahair.

4 bulan menghasilkan album pertama, aku yang masih ‘hijau’ amat takut dan kabur dengan perjalanan baru itu. Pelbagai perkara yang aku fikirkan, dari imej, lagu hingga lah ke penerimaan orang ramai. Ada pula ketika itu yang memberi pendapat, lagu-lagu aku tidak sekuat mana dan tidak mampu menepati pasaran. Amat kecewa dengan kata-kata itu, aku menangis dan perasaan takut mula menguasai. Ternyata kenyataan itu meleset. BMG begitu yakin dengan album itu dan pelbagai aktiviti dan publisiti dikeluarkan. Strategi promosi mereka amat bagus sekali, sehingga dalam masa singkat, orang ramai telah mengenali siapa aku.

seperti yang aku katakan tadi, aku diberi gelaran dan ramai menyamakan aku dengan seorang artis yang aku kagumi. Beliau adalah Ziana Zain! Dengan jolokkan ini, cerita kakak aku dilupakan begitu sahaja.

Ramai yang menyangka suara aku juga seakan beliau. Aku amat malu sekali. Aku mahu dikenali dengan siapa aku bukannya dikenali dengan bayangan seseorang yang telah punyai identity tersendiri. Aku tidak berapa suka dengan gelaran itu. Bukan bermaksud tidak suka dengan penyanyi yang terbaik itu, tetapi dengan persamaan yang digembar-gemburkan. Ada pula yang menyangka aku adalah pengganti Ziana Zain kepada BMG kerana ada ura-ura yang mengatakan penyanyi tersohor itu mahu ‘lari’ dari syarikat yang sama aku bernaung. Mungkin itu salah satu strategi mereka untuk memperkenalkan aku di dalam industri muzik.

Pernah juga aku fobia untuk melihat gambar-gambar Ziana Zain, imejnya dan juga gaya beliau. Sebolehnya aku mahu lari dari semua imejnya kerana jolokkan orang ramai, aku takut aku dikatakan meniru. Niat aku berbuat sedemikian, adalah supaya aku tidak tahu apa yang dipakai atau gaya rambut dan segalanya yang akan membuatkan kami serupa. Tidak tahu pula bagaimana aku boleh terfikir begitu sekali.

Beberapa kali aku ditemukan dengan Ziana Zain. Kali pertama bertemu, aku amat malu dan ketara sekali wajah dan suara kami berbeza. Kami ditemukan di dalam beberapa sessi fotografi. Ada juga yang memberi idea untuk mengadakan fotografi dengan memakai pakaian yang sama. PRO BMG Muzik yang kreatif, Rohani Ismail, dianggap seperti kakak dan ibu aku sendiri, yang banyak berusaha untuk aku lebih dikenali umum.

Kebanyakkan idea dari beliau sendiri. Ternyata ideanya amat bernas sekali. Aku mendapat perhatian dari peminat, ada yang tidak suka tetapi ramai pula yang suka! Apabila gambar kami berpakaian sama dikeluarkan oleh satu akhbar harian, kami berdua menjadi buah mulut semua orang. Ada yang kata kami dua beradik dan kembar! Aku tergelak sendiri bila mengenang kembali. Ziana Zain memang seorang artis yang rajin dan ‘sporting’! beliau tidak pernah marah dan tidak suka dengan gelaran yang diberikan kepada aku. dia menerimanya dengan baik dan tidak pernah menolak tawaran nyanyian yang memerlukan kami berduet bersama.

‘Hiburan Minggu Ini’ yang diterbitkan oleh RTM, menampilkan kami berdua. Penerbitnya, Puan Noriah Letuar amat meminati kami berdua. Ternyata ideanya memberi satu pendedahan yang amat baik pada aku. beliau mahukan kami berdua menukar lagu, Kak Ziana perlu menyanyi lagu aku dan aku perlu menyanyi lagu beliau, dan di akhir lagu itu kami berduet. Aku hanya menerima arahan tanpa berfikir panjang, pada aku apa yang disuruh perlu dibuat, tambahan pula itu memang kerja dan tanggungjawab aku. aku langsung tidak terfikir kesan dan penerimaan orang selepas itu.

Duet kami di dalam rancangan itu mendapat sambutan yang hebat! Baru lah aku sedar tentang apa yang dilakukan dengan baik dan bersunguh-sungguh akan menerima ‘feedback’ yang baik. Dari situ aku belajar lebih focus dan memberi tumpuan sepenuhnya.

Peminat Ziana Zain dan para peminat aku menganggap ianya sebagai satu ‘pertandingan’ untuk berlawan siapa yang hebat dan boleh menyanyi lagu nada tinggi dengan hebat,tanpa gangguan. Kami berdua tidak pula terfikir tentang perkara itu. Ketika sedang membuat persembahan, peminat serta penonton menepuk tangan dan menjerit dengan nyanyian kami. Aku yang agak ‘blur’ ketika itu, tidak menyangka rupanya penonton berteriak itu tandanya suka dan persembahan kami hebat.

Selepas acara itu, aku menerima pujian dari ramai peminat sedia ada dan baru. Lagu aku juga mendapat sambutan yang luar biasa. Aku amat bersyukur dan terharu dengan penerimaan peminat. Yang paling membuatkan aku terharu, walaupun sehingga ke hari ini, rata-rata peminat aku masih mengingati persembahan itu, termasuklah seorang artis dan anak seni yang menjadi kebanggaan Negara. beliau rupanya salah seorang penonton yang menonton televisyen ketika rancangan itu disiarkan secara langsung.

Menurut beliau dia merakamkan persembahan itu kerana beliau merupakan peminat fanatik Ziana Zain. Katanya lagi, kami begitu hebat dengan keupayaan vokal masing-masing. Beberapa kali kami bertemu tetapi beliau tidak pernah beritahu, mungkin terlupa kerana urusan kerja dan jadualnya yang padat. Jelas tergambar di wajahnya, betapa jujur dan begitu ikhlas pujian yang diberikannya. Beliau membuatkan aku malu, kerana aku sendiri tidak menyangka dia masih mengingatinya. Lebih membuatkan aku terharu apabila beliau memberitahu aku, beliau masih menyimpan pita video itu. Artis yang aku maksudkan ialah penyanyi No.1 negara – Siti Nurhaliza. Wow! Rupanya beliau seorang yang peka.

Sungguhpun, aku lebih senior darinya dan tidaklah pula dikenali sepertinya, beliau tidak meletakkan egonya di hadapan untuk memuji rakan artis yang lain. Kata-kata itu membuatkan aku berfikir, memang betul Cik Siti ni seorang yang merendah diri dan tidak bongkak. Thanks Datuk Siti!
Aku dikenalkan ke industri muzik dengan bantuan mereka yang amat tekun dan bersungguh untuk membangunkan seseorang artis. Mereka yang bekerja di belakang tabir merupakan lambang kejayaan aku. bercerita tentang mereka yang bekerja di belakang tabir, aku teringat dengan pengurus aku yang pertama dulu, En. O. rupanya dari awal kemunculan aku, dia sentiasa mengikuti perkembangan dan boleh melihat sejauh mana kemampuan aku. satu hari yang tidak di sangka, aku menerima panggilan telefon daripadanya. Beliau ingin menguruskan aktiviti dan kerjaya aku sebagai penyanyi. Aku memintanya menyediakan kontrak sebagai pengurus dan aku akan cuba pertimbangkan permintaannya itu.

Setelah diteliti dan dikaji, aku menerima En.O dan syarikatnya sebagai pengurus peribadi selama 3 tahun. Beliau seorang yang kreatif dan komited dengan setiap tanggungjawab yang perlu dijalankan. Semuanya berjalan dengan lancar serta aku lebih focus dengan visi yang dirangkakan untuk kerjaya aku.

perjalanan seni ku semakin baik dengan perancangan yang teliti. Selepas pelancaran album yang menampilkan persembahan aku secara solo yang pertama kepada rakan-rakan media dan promoter show, ianya mendapat perhatian dan publisiti yang baik. Kami tidak duduk diam selepas itu kerana dihujani dengan pelbagai tawaran persembahan termasuklah tawaran berlakon filem. Aku bersyukur dan gembira dengan pencapaian awal tersebut. Kesibukkan dan jadual yang padat membuatkan aku jauh dari kawan-kawan dan keluarga.

Ketika itu, aku masih tinggal bersama kakak angkat ku, Habishah Bahari. Orangnya tegas dan tekun bekerja. Kak Shah banyak menasihati aku dan memberi tips yang berguna tentang bagaimana untuk menyimpan wang hasil dari persembahan pentas. Emak amat gembira sekali apabila aku dipindahkan oleh pengurus ku untuk tinggal bersama Kak Shah. Kami banyak berkongsi cerita kehidupan kami. Sebagai seorang yang lebih senior, Kak Shah banyak memberi nasihat yang berguna kepada aku. sesungguhnya Allah Maha Kaya. Aku yang sedih dengan ‘kehilangan’ kakak yang aku kasihi, Dia menggantikan aku dengan seseorang yang boleh aku anggap seperti kakak kandung ku sendiri. Kak Shah hidup seorang diri di Kuala Lumpur apabila 2 perkahwinannya gagal. Aku bersimpati dengan nasibnya.

Kak Shah seorang tukang jahit dan mempunyai butiknya sendiri di Pertama Kompleks. Beliau begitu sibuk kerana butiknya itu agak terkenal. Beliau amat mahir menjahit pakaian melayu lelaki dan perempuan.

Walaupun kami tinggal bersama, kami jarang bertemu. Aku yang sememangnya mempunyai jadual yang padat, dan kak shah pula, asyik menjahit hingga ke subuh hari yang berikutnya. Itu jadualnya ketika hari biasa, bila tiba Ramadan, lebih teruk lagi. Kak Shah perlu bekerja ‘double time’! oleh kerana keadaan yang sedemikian, adakalanya aku kesunyian juga!

Selain Kak Shah, aku mempunyai pembantu peribadi iaitu Elly. Elly diambil bekerja oleh pengurus aku untuk membantu dan menemani aku ke mana sahaja aku berada. Elly seorang yang aktif seperti aku. hidupnya tidak kurang juga likunya. Beliau pernah berkahwin dengan seorang pemuzik yang agak terkenal ketika itu. dia terpaksa bekerja keras demi kehidupan anaknya apabila bercerai dengan pemuzik itu. kami kerap bersama ketika bekerja.

Sungguh pun begitu, Elly dan Kak shah mempunyai jadual mereka yang tersendiri. Adakalanya aku keseorangan. Di Kuala Lumpur, aku tak punya kawan yang ramai. Aku tidak berani berkawan kerana takutkan pada pengaruh yang tidak baik. Mungkin aku terlalu memikirkan kerja sehingga aku tidak sempat untuk mempunyai kawan. Itu mengenai kawan, jauh sekali untuk mempunyai kekasih!

Pernah satu hari, aku tiba-tiba bagaikan tersedar yang aku tidak pernah mempunyai seorang kawan pun kerana terlalu fikirkan kerjaya yang aku cintai. Kesunyian itu benar-benar ‘menyakitkan’. Aku mula merangka perjalanan hidup aku sebagai manusia biasa seperti yang lain juga supaya aku tidak merasa sunyi dan merasai kehidupan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: