PART 5 & PART 6

Sungguhpun begitu, lain pula ceritanya berlaku apabila di sekolah menengah. Aku yang minat dengan bidang nyanyian & muzik, makin terdedah dengan bidang itu apabila mengenali beberapa orang rakan baru yang juga meminati bidang yang sama. Emak tak pernah melarang, hanya beberapa kali tu, adalah kasi ‘warning’, tapi emak sporting betul apabila beliau menjadi ‘secret keeper’ aku. abah sporting juga cuma dia tak mahu anak-anaknya terlibat dalam bidang muzik selepas kakak aku, Syaliati menjadi penyanyi rakaman. Oleh Kerana minat yang mendalam, datangnya rasa degil melanggar perintah abah!

Aku kerap juga memasuki beberapa pertandingan nyanyian sekitar kawasan Butterworth. Emak yang sedar dengan bakat dan kemampuan ku, memberi sepenuh sokongan padunya. Dalam pada itu, emak sentiasa berpesan supaya menjaga diri dan maruah abah. Jangan melakukan perkara yang boleh membuatkan abah marah.

Dalam kebanyakkan pertandingan nyanyian yang aku sertai dan menangi, yang paling menyeronokkan aku ialah apabila diterima untuk memasuki Asia Bagus! Aku yang baru sahaja memasuki sekolah menengah, melompat kegirangan apabila mendapat surat tawaran dari syarikat produksi Asia Bagus itu!

Aku di kehendaki ke Kuala Lumpur. Mahu atau tidak terpaksa juga aku beritahu abah. Melalui emak, aku mendapat kebenaran dari abah! Tetapi dengan syarat, tidak boleh pergi ke Kuala Lumpur seorang diri, mesti emak dan abah yang hantar. Mulanya aku ingatkan abah tak beri kebenaran, rupanya syarat itu tidak seberat mana pun pada aku. memang aku sendiri mahukan emak dan abah ada bersama ketika ke Bandar besar itu. Seronoknya tidak terkata! Ketika itu, aku dapat merasakan yang abah telah memahami kemahuan dan minat anak perempuannya yang seorang ni!

Aku amat terharu, dan merasakan peluang yang diberi ini amat berharga dan aku perlu menjaga kepercayaan dan hati emak dan abah sebaik mungkin.

Di pejabat pengurusan Asia Bagus, kami bertemu dengan pegawai perhubungan awam syarikat itu, yang bernama Siti. Pengurusnya seorang yang berbangsa Jepun dan mampu berkomunikasi dalam Bahasa Melayu.

Selepas sessi ujibakat dijalankan, aku diterima menyertai pertandingan itu. Aku perlu ke Singapura kerana pertandingan yang menggabungkan 3 negara itu, dijalankan di sana. Pulang dari sessi ujibakat itu, abah segera membawa aku ke imigresen untuk membuat passport. Aku boleh rasakan yang abah semakin sporting dan begitu supportive terhadap aku. sikap yang ditunjukkan abah menaikkan semangat aku untuk membuat yang terbaik di dalam pertandingan itu nanti. Harapan aku hanyalah satu, buat yang terbaik agar abah dan emak akan merasa bangga dengan pencapaian ku.

Hari dan masa yang ditunggu untuk ke Kota Singa itu pun tiba. Emak dan abah tidak dapat menghantar aku ke Kuala Lumpur sebelum aku ke Singapura. Emak menghubungi pegawai perhubungan awam itu dan berpesan kepadanya untuk mengambil dan menjaga aku ketika di sana.

Aku melangkah dengan penuh keazaman dan membawa harapan emak dan abah yang mahukan aku berjaya. Setibanya aku di Kuala Lumpur, aku segera menghubungi emak untuk memaklumkannya aku selamat tiba di pejabat Asia Bagus yang terletak di Studio Finas Hulu Kelang.

Aku giat menjalankan latihan dengan menyanyikan lagu pilihan – ‘Madah Berhelah’ dan ’Bukan Kemahuan Fikiran’ nyanyian Ziana Zain dan Fauziah Latiff.

Pengalaman pertama menyertai pertandingan yang besar itu, membuatkan aku agak tertekan. Tekanan itu telah membuatkan aku jatuh sakit dan mengalami demam selsema. Punah harapan aku untuk menyanyikan lagu yang bernada tinggi itu! Lagu itu terpaksa digantikan dengan lagu pilihan kedua – ‘bukan kemahuan fikiran’.

Kali pertama menaiki pesawat, meyeronokkan aku. aku ditemukan dengan 2 lagi peserta pertandingan itu. satu kumpulan dan peserta solo berbangsa Cina. Kami menjadi rapat dalam masa yang singkat. Kami berempat begitu bangga sekali kerana berpeluang mewakili Malaysia di dalam pertandingan gergasi itu.

Setibanya kami di Singapura, kami dibawa ke studio rakaman, yang aku sendiri tidak perasan di mana letaknya studio itu. yang pasti krew penerbitan produksi itu, begitu professional sekali! Aku diberi pakaian yang telah disediakan. Aku begitu teruja, sesekali agak kecewa kerana kesihatan kurang memberansangkan.

Aku mendapat tempat kedua apabila tempat pertama diraih oleh peserta Indonesia. Itu sudah memadai dan aku cukup berbangga.

Selepas menyertai pertandingan itu, peluang aku di dalam bidang nyanyian semakin cerah. Maklum sajalah, dah dapat ‘lesen besar’!

Aku punyai kumpulan muzik ku sendiri. Di antara mereka ialah kawan-kawan sekolah ku dan 2 lagi merupakan orang luar dan sudah bekerja. Aku kerap kali jamming bersama mereka. kumpulan muzik kami itu diberi nama “Istilah”. Nak tahu kenapa nama itu dipilih? Semuanya kerana ketua kumpulan kami yang suka sangat dengan lagu Ramli Sarip-Istilah Bercinta, lagu yang amat popular ketika itu.

Setiap minggu kami akan ke studio jamming yang terletak di pekan Kulim, Kedah. Macam-macam lagu yang aku nyanyi, semuanya lagu-lagu rock! Dari lagu-lagu Ella, hingga lah ke lagu-lagu Wing dan Search! Seronok betul bila diingatkan semula. Emak berani melepaskan aku bersama kumpulan muzik itu kerana beberapa anggotanya adalah saudara aku sendiri. Emak mengenali mereka melalui abang ipar yang berkahwin dgn kakak sulung aku. selamat lah… jika tidak, jangan harap!

Dengan kumpulan inilah, aku mendapat pelbagai tawaran dari kumpulan-kumpulan muzik yang lain. Mereka mengenali aku melalui ‘BATTLE OF THE BAND’ di tapak pesta Pulau Pinang. Kumpulan aku berjaya hingga ke separuh akhir. Kami gagal ke peringkat akhir, semuanya kerana tali gitar terputus ketika guitarist kami syok ‘layan’ solo lagu ‘Madah Berhelah’! mmm… kata rock tapi masuk pertandingan, main lagu pop pulak! Ini semua kerana aku, penyanyinya yang tidak bersuara serak atau garau. Yelah… rock kan kena suara macam tu! Berbagai cara sebenarnya aku cuba nak serakkan suara ni, tapi gagal.

Bayangkan, pernah sekali tu, emak sedang di dalam pantang kerana melahirkan adik aku yang ke-11, emak makan nasi dengan lada hitam yang telah dikisar untuk memanaskan badan. Keesokkannya suara emak serak. Aku yang betul-betul nak suara serak, apa lagi ambillah ‘peluang’ yang ada! Emak menyindir, aku hanya berdiam dan meneruskan niat untuk serakkan suara. Tetapi, apa yang berlaku sebaliknya. Tidak pula suara aku serak, tetapi semakin nyaring dan lantang! Nampaknya, tak adalah peluang aku nak nyanyi lagu rock dengan suara yang serak.

Selepas bersama kumpulan muzik tersebut, aku semakin serious di dalam bidang seni. Aku terus mendapat undangan nyanyian termasuk tawaran menyanyi bersama beberapa kumpulan muzik yang lain. Antaranya kumpulan muzik pasukan Batalion 3 Polis Hutan Kulim Kedah dan kumpulan Selasih. Bersama mereka aku banyak mengutip beberapa pengalaman baru tentang bagaimana untuk menghiburkan penonton dan pelbagai lagi.

Kawan baik, siti aminah shohid adalah penyokong kuat aku. beliau merupakan antara yang banyak memberi kata-kata semangat. Apabila bercerita tentang kawan baik, aku teringat pula ketika di tingkatan 1, aku mengenali seorang rakan kelas yang namanya sama dengan emak, cukuplah hanya dengan singkatan ‘S’. Kami menjadi rapat apabila aku suka dengan cara dia dan dirinya yang agak matang dari aku walaupun usia kami sama. Dia seorang yang sungguh lemah lembut sehinggakan emak aku sendiri pun berkenan untuk bermenantukan ‘S’.

kami begitu rapat sehingga keluarga masing-masing tidak kisah jika kami berkunjung ke rumah masing-masing dan bermalam di sana. ‘S’ telah mengajar aku tentang erti persahabatan. Di dalam kelembutan itu, ‘S’ perlahan-lahan berubah apabila terdedah ke dunia luar. ‘S’ bekerja sementara ketika menunggu keputusan peperiksaan SRP. Sebagai kawan baik, aku amat berharap dia masih ‘maintain’ sebagai kawan baik aku sampai bila-bila. Tetapi apabila kita mengharapkan sesuatu, pastinya tidak akan tercapai apa yang dihajati. Dia berubah apabila mempunyai teman lelaki, mungkin ‘S’ dah memasuki fasa baru di dalam hidupnya hingga sanggup menikam belakang sahabat sendiri dengan menfitnah aku dengan cerita yang bukan-bukan. ‘S’ meninggalkan sekolah selepas keputusan SRP diumumkan. Selepas dari itu, aku tidak lagi mendengar khabar berita darinya. ‘S’ hilang begitu sahaja. Aku mendapat berita dari kawan-kawan aku yang mengatakan dia tidak mahu lagi belajar dan mahu bekerja untuk membantu keluarganya. Aku amat sedih sekali kerana dia merupakan seorang yang berkebolehan di dalam bidang seni lukisan, dan pandai menulis. Aku tidak mampu berbuat apa-apa, itu adalah kemahuannya. Aku hanya dapat mendoakan kebahagiaannya.

Untuk melupakan semua perkara itu, aku terus bergiat di dalam bidang muzik dan aktiviti sekolah.

Walau bagaimanapun, emak tak pernah lupa mengingatkan aku tentang bidang pelajaran aku. beliau mahu aku berjaya di dalam bidang akademik walau sedalam mana sekali pun minat aku dalam bidang muzik.

Nasib baik aku berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SRP, jika tidak jangan harap dapat menyanyi lagi! Begitu lah betapa indahnya ketika remaja, semuanya mahu dicuba apabila kita telah mengetahui apa kelebihan serta minat dan bakat yang ada di dalam diri sendiri.

Aku meneruskan persekolahan di tingkatan empat dan tahun itu merupakan tahun yang agak ‘relax’. Maklumlah, setahun lagi baru nak menduduki peperiksaan SPM. Aku yang masih lagi aktif menyanyi, banyak menerima undangan nyanyian di sekitar Pulau Pinang dan Kedah.

Tahun berikutnya, aku menghadkan aktiviti menyanyi kerana mahu focus kepada pelajaran. Emak sentiasa mengingatkan bahawa tahun itu amat penting sekali. Jadi, aku perlu bersungguh-sungguh berusaha untuk mencapai keputusan yang cemerlang.

Sesuatu berlaku dalam tahun itu yang membuatkan aku berubah. Bukanlah berubah menjadi buruk tetapi menjadi seorang yang tekun dan mahu membalas jasa orang tua. Ceritanya begini, hari itu merupakan hari terakhir sekolah mengutip yuran SPM. Aku ni selalunya, last minute baru nak bayar yuran. Bukannya kerana apa, emak dan abah banyak tanggungan, jadi aku perlu faham dengan keadaan itu. biasanya emak akan mendahulukan yang mana lebih penting dalam perbelanjaan kami sekeluarga. Aku yang amat memahami, mengalah; dan meminta emak memberi wang yuran itu ketika hari terakhir, iaitu, pada tarikh tutup wang dikutip.

Emak memberi wang yang berjumlah sebanyak RM120.00, kalau tidak silap aku. setiap pagi ke sekolah bersama Aminah, kami akan segera ke kantin untuk sarapan pagi. Ketika itu terlalu awal jadi, aku rasa selamat jika meletakkan beg di kerusi kantin. Wang yuran itu aku tinggalkan di dalam beg sekolah. Bukanlah jauh sangat beg kami tinggalkan dengan tempat kami membeli makanan.

Dalam sekelip mata sahaja jika sesuatu perkara itu berlaku. Apabila loceng pertama sekolah berbunyi, kami masuk ke kelas. Perkara pertama yang aku lakukan pagi itu ialah membayar yuran SPM. Bersemangat betul aku, maklumlah, aku saja yang belum bayar yuran tersebut! Alangkah terperanjatnya aku apabila aku dapati wang yuran itu telah hilang. Puas aku mencari, aku kosongkan beg sekolah ku itu. pada sangkaan aku mungkin aku tersalah letak. Kecewanya di hati apabila mengetahui, wang itu benar-benar hilang. Aku tergamam dan berfikir, siapalah agaknya yang tahu aku ada wang sejumlah itu dan mencurinya? Tidak masuk di akal kerana beg kami berdekatan dengan kami ketika di kantin. Jika ada sesiapa yang membuka beg itu, aku mesti perasan.

Dalam kebuntuan itu, wajah emak dan abah terus terbayang di dalam benak fikiran ku. Aku amat sedih kerana awal tahun emak dan abah memerlukan wang yang banyak untuk perbelanjaan sekolah aku dan adik-adik.

Aku memohon pada cikgu untuk menghubungi emak. Apabila membuat panggilan telefon ke rumah, aku menangis tak henti-henti sehingga emak panik! Emak memujuk aku supaya jangan menangis dan dia akan segera menghantar wang yuran itu. selepas waktu rehat, emak pun tiba di sekolah dengan berpakaian uniform kerjanya. Aku tidak henti-henti memohon maaf pada emak atas kelalaian aku. aku bertanya pada emak, adakah abah marah dengan aku. emak hanya tersenyum dan meminta aku jangan bimbang, kerana wang itu mungkin telah tertulis bukan rezeki aku untuk membayar yuran itu. Aku tahu, emak pastinya terpaksa meminjam wang ganti itu dengan kawannya, kerana budget sekolah kami hanya cukup-cukup sahaja!

Apabila terdengarkan kata-kata emak itu, timbul satu perasaan dalam diri aku. aku berazam untuk belajar bersungguh-sungguh demi membalas jasa emak dan abah yang banyak berkorban. Aku berjanji pada diri aku, apa sahaja yang berlaku, aku tidak akan membelakangkan emak, abah dan keluarga! Apa sahaja yang emak dan abah mahukan nanti, akan aku adakan. Itulah antara janji-janji aku pada diri ku.

Semenjak kejadian itu, aku tidak lagi cuai. Aku pastikan wang atau sesuatu yang penting disimpan ditempat yang selamat supaya ianya tidak berulang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: