PART 3 & PART 4

Apabila semakin meningkat dewasa, gaya rambut dan penampilan menjadi perkara utama. Aku mula pandai memujuk emak untuk ke salon rambut apabila kakak aku membuat eksperimen ke atas aku dengan menggunting rambut aku. habis dikerjakannya! Niatnya mungkin untuk menggunting rambut aku supaya kelihatan kemas ke sekolah. Tetapi sebaliknya yang berlaku. Sengget benget rambut aku! aku malu apabila ditegur oleh kawan kakak ku. Beliau bersimpati dan kesian dengan rambut ku yang tidak sama rata itu. Rupaku dah jadi macam anak orang asli! Sudahlah bersedih dijadikan ‘bahan eksperimen’, di ejek pula oleh abang aku yang boleh tahan nakalnya, dengan gelaran anak orang asli atau yang paling kerap dipanggil, anak sakai! Marah betul aku.

Semenjak insiden itu, emak mula membawa aku ke kedai gunting rambut yang terletak di belakang kampung ku. Kali pertama ke salon rambut, bangga betul rasanya! Harapan aku hanya satu, untuk menghilangkan imej anak orang asli dengan fesyen rambut yang baru! Emak memberitahu tukang gunting rambut untuk mengguntingkan rambut ku dengan gaya dan stail Lady Diana! Aku yang tidak pernah dengar dengan nama itu, hanya mendengar dan menunggu rambut ku digunting. Ketika rambut ku digunting, fikiran ku melayang jauh kerana perasaan ingin tahu terlalu kuat menerjah untuk mengetahui siapakah gerangan wanita yang bernama Lady Diana itu. Aku pasti orangnya mesti seseorang yang amat popular dan diminati ramai sehingga emak pun kenal. Aku yang tidak sabar untuk bertanya pada emak, yakin bahawa rambutku akan cantik selepas itu kerana apa yang disarankan emak selalunya yang terbaik untuk ku..

Apabila rambut selesai digunting, aku segera bertanya pada emak, jawapannya hanya secara kasar, tidak dapat aku menggambarkan wajah si jelita itu. Beberapa kali aku cuba mencari siapakah gerangan orangnya, sehingga timbul minat pada puteri kegilaan ramai itu. Lama juga mencari, aku Tanya pada semua orang termasuklah si penggunting rambut ku. Aku berpesan dan memaksanya untuk mencari dan menyimpan gambar Lady Diana. Hajat aku dipenuhi oleh ‘hair stylist’ ku!

Bangganya rasa di hati apabila melihatkan wajah Lady Diana itu sungguh menawan dan manis sekali! aku yang memang suka berangan, mulalah perasan yang aku juga secantik dia! Wah! Bukan main perasannya.

Selepas itu, aku tidak perlukan bantuan emak lagi kerana yakin dengan pilihan gaya rambut emak itu dan aku sendiri telah kenal serta minat dengan Lady Diana. Aku mula berani pergi ke salon itu seorang diri. Aku yang penuh keyakinan yang aku bakal secantik idola dunia itu, apabila rambut aku dipotong sepertinya, aku meminta untuk tidak mengubah stail itu! Ianya berlarutan sehingga umur aku mencecah usia 9 tahun, sehinggakan setiap kali aku ke kedai itu, aku tak perlu lagi memberi arahan pada si penggunting rambut itu, hanya sekadar memberi tahunya – “macam biasa”!

Hanya itu salun yang satu-satunya aku kenali sewaktu kecil. Penggunting rambut itu berbangsa cina dan amat jelita sekali. Aku masih ingat namanya, Lucy. Aku amat kecewa sekali apabila Lucy berkahwin dan membuat keputusan untuk menetap di tempat lain dan tugasnya diambil alih oleh saudaranya.

Apabila Lucy tidak lagi bekerja di kedai milik ibunya itu, aku memutuskan untuk tidak mengguntingkan rambut ku di situ lagi. Pada aku, hanya Lucy seorang yang mampu memotong rambut ku dengan stail rambut seperti Lady Diana! Selepas itu aku tidak lagi ke sana, hanya kerana Lucy tiada lagi di situ!

Lagak aku adakalanya macam seseorang yang telah dewasa walaupun usia aku ketika itu hanya 9 tahun. Celoteh aku, gaya aku sungguh matang, mungkin kerana aku punyai adik yang ramai dan pergaulan dengan kawan-kawan yang lebih dewasa, membuatkan aku sedemikian.

aku berkawan dengan sesiapa saja, termasuk kawan-kawan lelaki abang. Entah kenapa, sedari kecil aku suka berkawan dengan lelaki. Seperti yang aku katakan tadi, aku ni lasak dan kasar, disebabkan itulah agaknya aku mudah bergaul dengan lelaki. Apa sahaja yang dilakukan oleh kawan-kawan lelaki, aku juga mahu join sekaki! Aku ingat lagi, tahun tu 1986, Dalam tahun yang sama, trend basikal BMX menular dek penangan filem kanak-kanak E.T. Budak-budak di kampung aku tak ketinggalan merasa ‘demam’ nya.

Ceritanya, kawan abang aku ni ada basikal BMX, aku yang ketika itu tidak tahu untuk mengayuh basikal; telah memaksa abang supaya memujuk kawannya untuk memberi aku ‘rasa’ basikal BMX nya. Abang pada mulanya tidak mempedulikan permintaan aku. As usual, aku gunakanlah kelebihan aku yang suka bertanya berkali-kali! Akhirnya abang tidak dapat menahan lagi. Mahu atau tidak, dia buka mulut pada kawannya dan meminta kebenarannya untuk aku mencuba. Dengan berat hati, kawan abang terpaksa meminjamkan basikalnya kepada aku yang mentah dalam mengayuh basikal. Aku tersenyum lebar dan seronok dengan kebenarannya.

Tangan ku gagah memegang basikal BMX tersebut, kaki kanan sudah berada di atas pengayuhnya, tibalah giliran kaki kiri dan imbangan badan mengambil bahagian supaya aku dapat mengayuh basikal yang hebat itu! Belum sempat mengimbang badan, basikal yang aku kagumi itu gagal dikawal dan ahhh…. Tersepit dicelah longkang di hadapan klinik emak! Belum pun sempat mengayuh satu pusingan, aku dah terjatuh dari basikal. Aku pantas bangun dan terus melihat muka empunya basikal yang merah dan dah naik biru! Nak marah, takut dengan abang aku; dia bingkas mengangkat basikal kesayangannya dan mengusap-usap bahagian basikal serta memeriksanya jika ada catnya yang tercalar. Aku… seronok bukan kepalang! Walaupun terjatuh dan gagal mengawalnya dengan baik, sekurang-kurangnya aku telah mencuba dan ‘merasa’ pegang BMX macam budak lelaki yang lain!

Entah kenapa, aku bagaikan tercabar dan suka berkawan dengan lelaki, apa yang mereka lakukan, mesti aku nak buat juga, walaupun kenyataannya aku adalah seorang perempuan. Nasib baiklah tak jadi ‘tomboy’!

Itu mengenai basikal BMX, ada lagi cerita yang aku rasa patut aku ceritakan di sini. Jika semua masih ingat, Filem Negara banyak mengeluarkan pelbagai dokumentari mengenai proses bahan kraftangan dan juga pembuatan kain sutera. Bercerita mengenai proses pembuatan kain sutera, aku masih ingat yang aku amat suka menonton dokumentari itu. Kali pertama menonton dokumentari itu, timbul keinginan di hati nak cari ulat sutera dan teringin nak lihat rupanya. Maklum sajalah, aku ni semua benda nak tahu.

Seperti yang aku katakan tadi, aku suka berkawan. Selain anak-anak Pak Ibrahim dan Makcik Esah, aku juga berkawan dengan anak tauke warung Pak Wa Karim. Rumah mereka tidak jauh dari rumah ku, hanya seberang jalan sebelah rumah ku.

Satu hari, seperti biasa pulang dari sekolah (masih dalam uniform), aku akan menjengah ke rumahnya. Kami biasanya akan bermain bersama. Macam-macam yang kami main. Apabila sudah merasa bosan main di dalam rumahnya, kami keluar. Kawasan rumah kawan aku ni banyak pokok pisang. Ada beberapa bahagian pelepah daun pokok pisang yang bergulung, dan aku yang memang mempunyai rasa ingin tahu, memberanikan diri membuka gulungan daun pokok tersebut.

Alangkah terkejutnya apabila mendapati di dalam gulungan itu rupanya ulat! Aku yang memang tidak tahu takut dengan serangga atau ulat, telah memegang ulat yang berwarna putih itu dan menyangka ianya adalah ulat sutera! Aku pun cubalah mengikut cara proses yang ditunjukkan di dalam televisyen. Aku hairan, kenapa tak keluar seutas benang pun dari ulat itu sedangkan aku ikut cara yang betul, yang keluar hanya isi perut ulat yang berwarna hijau. Aku tidak berputus asa, aku terus mencari daun pokok pisang yang bergulung. Setiap kali terjumpa ulat yang saiznya kecil atau besar, aku lakukan perkara yang sama yang dilakukan sebelumnya.

Apa yang nyata, aku hampa kerana eksperimen tak menjadi! Semua pelepah daun pokok pisang telah aku koyak dan tarik dari pelepahnya. Aku hampa hingga tidak boleh tidur malam kerana memikirkan kain sutera tak menjadi. Aku bertanya pada semua orang, tetapi mereka hanya mentertawakan aku tanpa menjelaskan perkara yang sebenarnya; ulat itu adalah ulat pokok pisang bukannya ulat sutera walaupun warnanya sama iaitu putih. Seingat aku, lama juga aku jalankan ‘eksperimen’ itu, hingga emak aku kena ‘komplen’ dengan emak kawan aku! Mana taknya, habis pokok pisang mereka aku kerjakan!

Akhirnya, baru aku tahu rupanya aku salah tafsir. Nasib baik emak explain,kalau tak, habislah pokok-pokok pisang itu. Apabila difikirkan semula, aku ketawa sendiri dan betapa bodohnya aku yang terpengaruh dengan televisyen. Jelas dokumentari itu menyatakan ulat-ulat sutera itu bukannya berasal dari pokok pisang!

Setelah kecewa dengan ulat sutera yang gagal ditemui sehingga ‘membotakkan’ pokok pisang Pak Wa, aku mengambil hati ibu bapa kawan aku itu dengan membantu ibunya mengangkat tong susu getah yang telah ditoreh, dari basikal tuanya. Bukannya apa, hanya sekadar ingin tahu bagaimana memproses susu getah, daripada cair, dibekukan dan dileperkan untuk dijemur sebelum dijual pada peniaga getah.

Bukan sekadar mengangkat tong-tong itu, malah memasukkan kepingan getah yang telah dibekukan ke mesin untuk dileperkan. Bahagian yang paling aku gemari ialah ketika getah telah beku dan dikeluarkan dari acuan, dan ditekan-tekan dengan tangan sehingga leper untuk dimasukkan ke mesin! Aku ingin sekali menyentuh susu getah yang telah beku. Tetapi malangnya, tidak pernah mendapat peluang untuk berbuat sedemikian. Ye lah, aku masih kecil, sudah pasti Mak Wa tidak yakin dengan aku untuk menolongnya.

Selalunya, selesai Mak Wa memproses susu getah itu, beliau akan ke bangsal membuat laksa yang terletak di kawasan rumahnya. Aku turut sama membantunya. Tetapi Mak Wa kurang ‘sporting’ kerana proses membuat laksa untuk dimakan bukannya untuk dibuat bahan mainan. Jadi, agak sensitive dan perlu menjaga kebersihannya. Ketika itu, proses membuat laksa menggunakan beberapa alatan tradisional. Itulah yang menarik perhatian ku. Kerja aku hanya membantu menumbuk beras dengan memijak kayu penumbuk beras yang dibuat oleh Pak Wa sendiri.

Tidak banyak yang dapat aku lakukan apabila berada di rumah Pak Wa. Oleh kerana ‘fed-up’ tidak mendapat peluang mencuba apa yang ingin aku lakukan, aku jarang ke situ lagi. Jika aku ke sana pun, hanya sekadar bermain dengan kawan aku itu. Itu pun tidak lama kerana aku kurang gemar bermain mainan yang kurang mencabar. Itulah aku, seorang yang suka mencuba pelbagai perkara yang dapat memberi cabaran pada aku. ini termasuklah mengambil upah dari kilang Mattel untuk menggunting lebihan benang pada baju patung Barbie yang telah siap dijahit. Aku bersama kakak, Norhafizah, bersengkang mata menghabiskan ratusan baju-baju yang comel itu setiap malam. Penuh satu rumah dengan benang yang telah digunting. Pernah juga kerana terlalu letih dan mengantuk, dengan kain baju tu sekali aku tergunting! Banyak juga yang kena reject.

Kak Fizah juga merupakan salah seorang kakak yang rapat dengan aku. semasa kecil beliau tinggal bersama atok. Apabila atok berpindah ke rumah yang emak belikan, kak Fizah tinggal bersama kami. Atok terpaksa berpindah dari rumahnya yang terletak di Sungai Bakap kerana satu insiden yang menakutkan berlaku. Bak kata orang, ‘kerana mulut, badan binasa’. Atok aku ni mulut laser sikit. Jadi, ada sajalah yang tidak puas hati dengannya.

Emak terpaksa membawa atok dan anak2nya keluar dari kampung itu. semenjak kak fizah tinggal bersama kami, aku punyai ‘buddy’. aku adalah secret keeper nya! Begitu juga dengan dia. Ketika itu aku baru melangkah ke alam remaja. Jika dia ada boyfriend, aku lah orang pertama yang tahu, dan juga sebaliknya. Aku ni banyak menyimpan hati pada lelaki yang aku suka, tetapi tidak pernah meluahkannya. Kami berdua kerap bersama kerana masing-masing menyimpan rahsia masing-masing.

Di waktu petang kami berdua akan membawa adik-adik bersiar-siar. Emak yang bertugas sebagai jururawat mempunyai motorsikal yang diberi pihak kerajaan, bertujuan untuk digunakan ketika emak membuat lawatan rumah ke rumah. Habis motor emak kami kerjakan. Bukan saja aku dan kak fizah menggunakan motor itu, malah abang juga sama.

Di kampung itu, kami memang terkenal dengan anak misi yang suka bawa motor laju! Tambahan pula ketika itu, aku dan abang gemar menonton perlumbaan motor di kaca tv. Jadi, motor emak lah yang jadi mangsa. Aku pernah menyimpan angan-angan untuk menjadi pelumba motor!

Di sekolah, aku terkenal dengan keramahan, bakat nyanyian dan keberanian yang ada pada aku. Mana tidaknya, jika ada apa-apa aktiviti dan persembahan, aku mesti ambil bahagian, aku yang pertama yang mengangkat tangan. Bukan itu sahaja, di dalam kelas, ketika selesai cikgu mengajar, biasanya cikgu akan memberi tugasan untuk dibuat sebelum kelas tamat, sedang asyik menyiapkan tugasan yang diberi, selalunya, aku akan menyanyi dengan secara tidak sengaja. Macam-macam lagu yang aku nyanyi. cikgu tidak pernah melarang, agaknya beliau suka dengan nyanyian aku!

Ketika di Sekolah rendah itu, aku punyai kawan yang juga pandai menyanyi. Tetapi lagu-lagu yang dinyanyikannya hanyalah lagu-lagu nasyid. Aku masih ingat dengan namanya – Yusni. Pernah berlaku insiden ‘peminat-peminat’ aku menyuruh aku ‘merampas’ kedudukannya sebagai penyanyi nasyid terbaik! Penyokong aku dan penyokong Yusni menjadi musuh. Bagaikan penyokong ahli politik, cara mereka berkempen untuk aku. akhirnya, aku menasihati mereka jangan berbuat demikian kerana aku sendiri tidak selesa apabila kawan-kawan kami berpecah belah. Penyokong aku hanya mengikut saranan aku. agaknya mereka dah letih berkempen tetapi gagal menempatkan aku sebagai pengganti penyanyi nasyid sekolah yang hebat itu. Selepas itu, kami semua berkawan baik semula.

Dari sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah, aku terus menyanyi di dalam pelbagai program sekolah tanpa mengira lagu-lagu yang dinyanyikan. Kenangan yang tidak mungkin aku lupakan ialah ketika memenangi pertandingan nyanyian lagu-lagu nasyid sekolah dan pengalaman menyanyi di hadapan semua ibu bapa murid dimajlis penutupan sessi sekolah. Lagu yang aku nyanyikan ketika itu ialah lagu ’Kawan’ yang dipopularkan oleh Ruhil Amani Hussien. Ketika itu, aku berusia 10 tahun. Pengalaman pertama itu menaikkan semangat ku apabila ada di antara ibu bapa yang memberi pujian pada aku! itulah juga pengalaman pertama aku merasa gementar di hadapan ratusan penonton!

Alam persekolah amat indah bagi aku yang memang diminati oleh ramai rakan sekolah ku. Selain menyanyi, aku juga aktif di dalam acara sukan. Aku pernah mewakili sekolah rendah di dalam acara perlawanan bola jaring. Sekolah aku mendapat tempat ke-2 antara sekolah Seberang Perai Utara.

Ketika di sekolah menengah, Sekolah Menengah Bakti Tasek Gelugor, aku tetap aktif di dalam bidang sukan dan aktiviti sekolah yang lain. Alam remaja amat mencabar bagi aku. segalanya berbeza dari apa yang aku lalui di sekolah sebelum ini. maklum saja, usia pun dah meningkat dan cara pemikiran juga berbeza. Segala-galanya baru, kawan baru, sekolah baru, cara baru dan segalanya baru! Rindu betul pada rakan-rakan lama ketika di sekolah rendah dulu. Semuanya terpisah, ada di antara mereka layak masuk ke sekolah berasrama penuh kerana pencapaian yang baik di dalam UPSR. Aku, takut nak tinggalkan mak & abah serta adik-adik. Walaupun keputusan aku ok setakat 3A 2B, emak amat berbangga dan padanya, akulah anak yang menjadi harapan untuk berjaya di dalam pelajaran.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: