PART 2

Sekolah pertama aku, Sekolah Tadika Kemas Kg. Selamat. Tahun 1983 aku masuk sekolah tu. Hari pertama ke sekolah, seronok betul! Ramai kawan! Semua orang aku salam dan semua orang aku nak kawan. Mak yang menghantar ke sekolah hanya senyum dengan gelagat aku. Aku ingatkan semua budak lain macam aku, seronok ke sekolah, rupanya tak. Ada yang menangis. Itulah pertama kali dalam hidup aku, aku rasa hairan yang amat sangat, aku tertanya, apa hal lah si minah ni nangis bagai nak rak. Rupanya, emak bapak kena balik, tak boleh tunggu, itu yang kawan aku sorang tu melalak bagai nak gila!

Insiden ini memang aku ingat sampai sekarang, sebab, semasa aku kecil, aku jarang sekali berjumpa dengan abah. Maklum sajalah, abah beristeri dua. Kadang-kadang bila tiba turn abah balik ke rumah, waktu malam, kami semua dah tidur jadi, tak dapatlah bertemu muka. Bila ke sekolah, aku tengok kawan aku menangis tak boleh berengang dengan ayah, aku hairan dan aku tertanya-tanya, di mana ayah aku? Apakah aku mempunyai seorang ayah seperti kawan-kawan yang lain?

Memang tidak dinafikan, bila aku mula bersekolah aku banyak berfikir dan suka bertanya. Ya lah… baru nak kenal dunia! Aku bertanya pada mak aku, di mana ayah, siapa ayah aku. Mak tengok muka aku, mak kata pada aku, bukan ayah, tapi abah! Aku tanya lagi, abah tu sama ke dengan ayah? Mak aku jawab lagi, sama la! Aku diam sekejap, agaknya mak aku pun rasa lega bila aku dah tak bertanya apa-apa selepas itu. Tapi sekejap aje, kemudian aku bertanya lagi, satu soalan non-stop, sampai mak aku tak terjawab, diam membatu! Aku ingat lagi, aku bertanya dari petang sampai ke malam, dah nak tidur pun aku tanya. Budak kecil, manalah tahu apa, tak ambil kira apa yang sedang mak lakukan, aku terus bertanya, janji aku dapat jawapannya.

Agaknya mak aku dah tension dengan soalan aku yang non stop tu, mak pun apalagi, naik angin la! Jawapan yang diberi, “bapak hang kat rumah bini nu! Nak tau sangat! Dah pi tidoq!” aku menangis, dengan jawapan mak aku tu. Pada masa tu aku kecil lagi, 6 tahun, aku tak tahu apa-apa, yang aku tahu, soalan yang aku nak tanya, aku mahukan jawapannya. Aku tak tahu rupanya aku bagi tekanan pada mak aku. Pada masa itu barulah aku tahu, rupanya mak aku isteri kedua, dan aku punya emak tiri, dan ada kakak dan abang dari emak yang lain. Mak explain pada aku, aku pelik. Walaupun tak faham dengan explaination mak, aku akur dan aku pasti mak aku pun nak aku tahu, walaupun aku terlalu muda untuk memahami, yang pasti, suatu hari nanti, aku akan mengerti.

Sungguh pun begitu, keluarga kami cukup bahagia. Abah tidak pernah melupakan tanggungjawabnya kepada kami. Abah kerap pulang ke rumah selepas ahli keluarga kami bertambah. Dari tahun 1984 sehingga tahun 1989, keluarga kami semakin membesar! Dari 10 orang ke 15 orang! Setiap tahun emak melahirkan seorang demi seorang adik. Itulah yang dinamakan rezeki. Apa yang tertulis olehNya, yang berlaku, pasti akan berlaku.

Kehadiran Norhaini, Muhamad Sulaiman, Norliyana, Norwahida dan Mohd Firdaus, rupanya membawa sinar kepada emak. Abah setiap hari, lewat petang akan berada di rumah bersama kami. Setiap kali abah pulang, ada sahaja buah tangan yang dibawakan untuk kami. Ketika itu aku perlahan-lahan memahami keluarga ku. Pada masa yang sama, aku puas kerana aku dapat merasakan kasih sayang yang sepenuhnya dari abah, yang amat aku kasihi.

Tidak dinafikan aku rapat dengan kedua emak dan abah, dan yang paling aku ‘ngam’ adalah dengan abah. Apa sahaja yang aku mahukan pasti aku beritahu abah. Setiap permintaan aku yang baik pasti ditunaikan. Tetapi ianya bukanlah berlaku dengan segera. Adakalanya perlu tunggu berbulan juga! Itulah abah, lambat atau cepat, dia tetap cuba tunaikan permintaan anak-anaknya.

Bertambahnya ahli baru di dalam keluarga, bertambahlah tekanan emak. Mana tidaknya, kakak aku semuanya sedang sibuk belajar ketika itu. Ada yang melanjutkan pelajaran ke universiti dan sekolah berasrama yang terletak jauh dari kampung. Emak terpaksa meminta bantuan Makcik Esah untuk menjaga adik-adik ku termasuk aku. emak berbuat demikian setelah kasihan melihat aku dan adik-adik aku bergilir ponteng sekolah hanya kerana untuk membantu emak menjaga adik-adik. Emak terlalu risau pelajaran kami terganggu.

Selepas Makcik Esah setuju untuk menjaga kami, bebanan emak agak berkurangan. Di rumah itu, pelbagai perkara yang kami belajar dan ketahui. Makcik Esah seorang yang pandai memasak dan terkenal di kampung itu dengan nasi lemak dan nasi tomato ayamnya yang sungguh enak!

Pak Ibrahim pula seorang yang sungguh baik, sabar dan alim. Beliau banyak mengajar kami tentang agama dan bagaimana untuk menjalankan ibadah. Adakalanya, kami terus tinggal di rumah itu apabila sekolah bercuti. Lagipun, rumah mereka tidaklah jauh dari rumah ku, hanya 800 meter jaraknya. Kami seronok ketika di sana kerana Pak Ibrahim suka bercerita tentang sejarah Nabi-Nabi dan kebesaran Allah. Sepanjang cuti sekolah itu, pelbagai aktiviti yang kami lakukan. Antaranya membantu Makcik Esah memasak, dan membungkus nasi lemak.

Aku amat rindukan suasana itu. Mana tidaknya, udara nyaman pagi hari dan bau harum nasi lemak bersama lauk pauk yang dimasak, amat menyegarkan dan mengiurkan! Setiap hari sepanjang cuti sekolah, aku bangun jam 5.30 pagi bersama anak makcik Esah, Kak Wati. Aku akan turut sama membantu membungkus nasi lemak. Tugas aku amat mudah, masukkan nasi di dalam cawan dan ditekap ke daun pisang yang aku susun sedari awal sebelum mengangkat periuk nasi. Makcik Esah turut sama membungkus nasi lemak dan nasi tomato ayam yang dimasaknya seawal jam 4 pagi. Selesai membungkus, kami menyusunkan semua bungkusan itu ke dalam bakul sambil mengira jumlah bungkusan tersebut sebelum dihantar ke warung Pak Wa Karim. Setelah semuanya dikira, aku dan Kak Wati akan berjalan kaki sejauh 700 meter ke warung tersebut untuk dijual.

Setiap hari nasi lemak dan nasi tomato ayam Makcik Esah pastinya ‘sold out’! warung makan Pak Wa Karim memang terkenal di kampung ku. Bukan sahaja kerana nasi lemak Makcik Esah, tetapi juga kerana meehoon goreng dan laksa Penangnya yang menyelerakan. Setiap petang aku dan Kak Wati akan ke warung itu untuk mengambil wang hasil jualan nasi lemak itu. Bangganya di hati kami berdua apabila nasi lemak habis dijual. Adakalanya, ada juga kutipan wang kurang kerana nasi tersebut tidak habis dijual. Nasi yang tidak dijual menjadi santapan petang kami sebagai upah dan jika nasib kami baik, Makcik Esah akan memberi wang kepada kami. Walaupun hanya sekadar RM1 atau RM2, aku puas dan amat berbangga!

Di samping itu, aku juga menjadi ‘cashier’ mengumpulkan wang sewa tempat meletak basikal di hadapan rumah Makcik Esah. Rumah mereka terletak di bahagian depan kampung, di mana bas yang membawa penduduk kampung ke pekan Padang Serai dan Butterworth, melalui depan rumah mereka. Pak Ibrahim menyediakan pondok meletak basikal di situ. Ianya tidak terhad kepada pelajar sekolah sahaja, malah kepada mereka yang bekerja dan pelbagai bangsa meletak basikal mereka di situ.

Tugas kami menjaga dan mengumpulkan wang yang diletakkan di atas batang kayu pokok yang diletakkan oleh Pakcik Ibrahim di sisi pondok tersebut, yang asalnya hanya sekadar tempat hiasan, tetapi penduduk kampung ku berbudi bahasa. Mereka sedar dengan ‘servis’ yang dijalankan oleh Pak Ibrahim. Jadi, mereka meninggalkan sejumlah wang di situ sebagai upah mengawasi basikal atau motorsikal mereka. Jumlahnya bukanlah banyak, hanya sekadar 20 sen, 30 sen dan 50 sen.

Selain itu, aku juga diajar berniaga. Kami turut menjual buah rambutan dan durian dari dusun Pak Ibrahim. Aku belajar bagaimana memetik buahan tersebut, bagaimana mengikat dan membersihkannya. Jika nasib kurang baik, aku jadi mangsa gigitan semut hitam dan kerengga! Mana tidaknya, kadang-kadang aku turut sama memanjat pokok bersama adik kak wati, iaitu Shahrim dan Izam. Aku juga kerap dijadikan ‘tester’ buah. Naik kembung perut mencuba buah rambutan supaya dapat diasingkan mengikut kualiti untuk dijual.

Itulah pengalaman yang amat berharga ketika aku kecil. Aku berdikari sedari usia ku terlalu muda. Ianya mengajar aku erti kehidupan dan tentang usaha untuk hidup yang baik. Rasa minat berniaga datang dari situ. Kepuasan mendapat hasil usaha sendiri amat berbeza dengan usaha orang lain untuk kesenangan kita. Aku terhutang budi dengan keluarga itu di atas jasa baik mereka menjaga aku dan adik-adik ku. Melalui aktiviti harian yang biasa mereka lakukan, menjadi sesuatu yang amat bermakna kerana aku mendapat sesuatu yang sungguh berharga, yang boleh dijadikan ‘referrence’!
Mak cik Esah meninggal dunia pada tahun 1989. Tiada lagi nasi lemak dan nasi tomato ayam yang popular di kampung ku. makcik Esah meninggal kerana menderita sakit kencing manis. Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman, amin!

Banyak perkara yang aku pelajari dan aku lakukan sepanjang aku meniti usia kanak-kanak. Maklum sahajalah, aku ni semua perkara nak tahu dan ingin aku lakukan. Pada aku ‘Nothing is impossible’.

Dalam pada itu, aku ni suka juga melawa dan suka bergambar! Jika ada sessi bergambar oleh kakak-kakak ku bersama kawa-kawannya – iaitu anak-anak Pak Mat, aku tidak ketinggalan. Adakalanya aku merajuk jika gambar aku tidak diambil. Kakak aku dan kawannya itu, gemar mengambil gambar. Banyak juga gambar yang mereka ambil, dan kebanyakkannya ialah adik aku, Norhaini. Maklum saja, dah lama kami tidak ada adik kecil, jadi, dialah yang paling menjadi perhatian. Aku sentiasa merajuk supaya mendapat peluang untuk bergambar. Mahu atau tidak, kakak aku terpaksa juga mengambil gambar aku yang suka bergaya di depan lensa kamera, mengalahkan model antarabangsa!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: