PART 19 : TERIMA KASIH MAK & ABAH (BEKAS MERTUA YANG AKU HORMATI)…..

TERIMA KASIH MAK & ABAH (BEKAS MERTUA YANG AKU HORMATI)…..

Mak, abah
Ampunkan Nurul kerana menghampakan harapan kalian berdua. Telah dicuba telah diusaha, namun derita itu juga yang menjelma.

Terima kasih di atas segalanya, nasihat mak dan abah, dipegang selamanya. Mengenali mak dan abah, tiada cacat dan celanya di dalam mendidik anak-anak sekeluarga. Mak dan abah berkorban segalanya demi kami semua. Walaupun hanya sementara kita bersama, namun puas rasanya kita berkongsi segalanya.

Semua jasa dikenang selamanya. Kenangan pahit manis, dijadikan satu cerita di dalam satu babak hidup anakanda, yang tidak mungkin dilupa sampai bila-bila. Kenangan itu terlalu indah. Halalkan segalanya. Terima kasih kerana tidak pernah melukai hati anakanda.

Aku beruntung sekali kerana pernah mempunyai mertua yang memahami segalanya tentang aku. mereka banyak membantu aku. jangan tidak tahu, mak mempunyai buku resepinya yang tersendiri kerana kepakarannya memasak! Abah pula yang menjadi tester nya! Seorang pengkritik masakan yang jujur jiwanya. Banyak resepi mak yang aku pelajari. Aku kerap bersamanya di dapur kerana anaknya suka makan masakan mak. Jadi, aku perlu belajar bagaimana memasak mengikut cara mak.

Aku mengenali keyakinan diri dan prinsip hidup apabila aku diterima menjadi ahli keluarga ini. mereka tegas di dalam apa jua yang dilakukan.

Berkunjung ke Kota Mekah kerana mengerjakan umrah sedikit masa dulu bersama Arwah Emak, membuatkan hubungan kami menjadi lebih rapat dari biasa. Mak dan abah amat menyanjungi menantunya yang seorang ini. tidak bermaksud masuk bakul angkat sendiri, tetapi apa yang aku lakukan pada mereka melalui rasa keikhlasan dari hati di atas setiap jasa baik dan budi mereka menyayangi aku kerana siapa aku yang sebenarnya.

Kehadiran Ayu membawa kebahagiaan kepada mereka yang sememangnya mempunyai sifat penyayang yang tinggi. Apabila kesihatan Ayu terganggu, mereka lah yang paling risau. Walau sesibuk mana pun, mereka akan menjengah ke rumah kami hanya untuk menjaga cucu kesayangan mereka itu.

bukan itu sahaja, mereka sanggup berkorban masa dan tenaga membantu aku menjaga Ayu ketika aku sibuk dengan kerjaya ku. beratnya rasa di hati terpaksa meninggalkan anak bersama mertua, bimbang menyusahkan dan membebankan mereka yang telah berusia itu. Namun, kerana memahami keadaan dan kerjaya ku, mereka lakukan segalanya demi cucu mereka.

Kasih sayang dan keikhlasan kedua mertua ku ini lebih jelas apabila mereka menjaga aku dengan baik sekali ketika berpantang kerana melahirkan cucu kesayangan mereka. Susah payah mak mencari dan menyediakan segala persiapan untuk aku yang sedang berpantang. Malah, diet aku juga dijaga! Melihat kasih sayang dan pengorbanan mereka, membuatkan aku berjanji pada diri aku, walau apa jua keadaan aku, akan aku pastikan aku dapat membalas jasa baik mereka itu.

Kami seperti rakan karib yang boleh ketawa dan berjenaka bila-bila masa sahaja. Abah sungguh ramah, emak pula suka berkongsi pengalaman hidup dan pelbagai cerita.

Di dalam membahagiakan mak dan abah yang merupakan mertua aku itu, tidak disangka rupanya aku akan memberi kesengsaraan dan derita buat mereka. Khabar yang diberi kepada mereka itu, amat membuatkan mereka kecewa.

Mak sayang Nurul dan tidak mahu kehilangan Nurul, itu kata-katanya ketika permasalahan kami ke kemuncaknya. Ianya meruntun jiwa lemah ku yang amat menyayangi kedua mertua ku itu. kami berdua pernah berpelukkan menangis bersama kerana terlalu sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku.

aku yakinkan bahawa, biar apa pun yang terjadi, mereka berdua tetap aku sanjung tinggi selagi hayat dikandung badan. Aku berbuat demikian agar masalah itu tidak menambahkan derita sakit tulang dan jantung emak. Abah terkedu dan diam membisu kerana ikhtiar mereka berdua menemui jalan buntu.

Tidak henti mendoakan yang terbaik buat aku dan anak mereka, sudah pasti hanya Tuhan yang tahu betapa sayangnya mereka kepada aku dan dia. Namun, hanya Allah yang Maha menentukan segalanya, jodoh kami tidak lama.

Aku tetap hubungi mereka walau sekadar bertanya khabar kesihatan mereka berdua. Aku layan seperti biasa, sebolehnya tidak mahu membuatkan dua insan ini merasa lebih kecewa.

Kerana status aku dan anak mereka, berita kami tersebar ke serata tempat yang memberikan mereka rasa yang amat kecewa. Mak pernah bercerita ketika aku menghubunginya. Mak meluahkan rasanya tentang publisiti perceraian yang meruntun hatinya kerana adakala berita yang dikeluarkan setengah akhbar mencalarkan maruah dan nama baik keluarganya.

Mendengarkan kata-kata itu, aku juga turut sama merasakan penderitaan mereka kerana aku juga sama. Tambahan pula cerita yang dipaparkan adalah mengenai diri aku sendiri. Aku mohon maaf padanya, lantas mak menangis. Aku yang juga tidak terdaya melawan emosi sedih itu, turut sama menangis.

Menurut mak, abah tidak langsung mahu menonton tv atau membaca akhbar kerana terlalu kecewa dengan perceraian kami. Sanak saudara turut merasakan ‘kesakitan’ yang ditanggung. Masih aku terdengar bagaimana nada suara mak ketika meluahkan segalanya pada aku, sungguh hiba!

Aku pula, berasa sungguh serba salah. Namun aku cuba gagahinya kerana tiada apa yang dapat menyelamatkan lagi hubungan kami, kecuali dengan kekuasaan Allah.

Mak masih seperti biasa dengan aku, begitu juga dengan abah dan beberapa kakak dan abangnya yang pernah menjadi ipar aku dulu. Mereka hormati pendirian aku dan memahaminya walaupun amat berat sekali mereka melepaskan dan membiarkan perkara itu terjadi.

Aku harap tiada pihak yang menambahkan lagi kesengsaraan dua insan yang aku sanjung ini. cukuplah dengan apa yang ditakdirkan untuk kami yang membuatkan mereka menjeruk rasa. Aku terlalu menghormati keluarga itu serta sanak saudara mereka yang tinggi budi bahasanya. Janganlah dibiarkan mereka merana kerana bahana yang menimpa kami ini, mencemarkan nama baik mereka semua.

Semoga Allah melindungi dan merahmati mereka sekeluarga, membahagiakan mereka di mana sahaja mereka berada.

KHAS BUAT SAHABAT-SAHABAT KU………..

Aku beruntung kerana di kelilingi mereka-mereka yang membuatkan aku lebih kuat selain dari ahli keluarga ku.
Sahabat-sahabat ku amat memahami dan kami banyak berkongsi segalanya. Ada di antara mereka terlalu baik sehinggakan aku sendiri merasa terpegun dengan bantuan yang mereka berikan pada aku. bantuan tidak semestinya di dalm bentuk kebendaan, tetapi kata-kata nasihat dan menjadi pendengar setia aku. mendengar segala keluh kesah, kegembiraan dan kedukaan aku.

Segala yang mereka lakukan pada aku tidak mungkin aku lupakan selamanya.

Terima kasih sahabat-sahabat ku. semoga persahabatan kita kekal selamanya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: