PART 17 : AUNTY SITI – PENYAMBUNG SEMANGAT IBU KU

AUNTY SITI – PENYAMBUNG SEMANGAT IBU KU
Aku mengenali wanita ini apabila dikenalkan oleh bekas pengurus ku 12 tahun yang lalu. Beliau yang bertugas sebagai auctioner di Ipoh menjadi rapat dengan aku apabila dia amat meminati aku. hubungan kami bagaikan ibu dan anak sehinggakan aku mengambilnya sebagai ibu angkat. Banyak kenangan kami bersama.

Sungguhpun beliau hidup keseorangan selepas suami tercinta meninggal dunia, namun semangatnya sungguh kental mengharungi kehidupan ini. kesetiaannya kepada Arwah suaminya membuatkan aku terpegun. Ketaatannya kepada cinta, lebih membuatkan aku menghormati wanita pertengahan usia ini.

Ketabahan wanita ini sungguh tebal. Sungguhpun begitu, hatinya mudah tersentuh apabila sesuatu berlaku. Beliau sering menitiskan airmata tatkala aku mengucapkan selamat tinggal selepas bertemu di rumahnya ataupun ketika beliau berkunjung ke rumah ku. dapat ku rasakan kasih sayangnya kepada aku walaupun kami bukan dari darah daging yang sama.

Sifat penyayangnya membuatkan aku lebih mesra apabila bersama beliau. Anak-anaknya juga menjadi rapat dengan ku, termasuk cucu-cucunya yang comel itu!

Hubungan kami sebagai emak dan anak menjadi lebih baik apabila aku kenalkan Aunty Siti pada Arwah Emak. Aku seperti ‘dilupakan’ selepas mereka berdua begitu akrab sekali! Aku gembira melihatkan keadaan itu.

Arwah Emak banyak menghabiskan masa bersamanya. Aunty Siti tempat Arwah meluahkan rasanya terhadap aku. banyak yang mereka kongsi bersama.

Aunty juga menjadi tempat mengadu aku kerana sikapnya yang mudah memahami sesiapa sahaja. Aunty juga rapat dengan kakak angkat ku, Kak Shah. Kami bagaikan satu keluarga yang bahagia.

Hubungan kami agak jauh selepas aku mendirikan rumahtangga. Aku tidak tahu apakah sebabnya yang membuatkan Aunty Siti jarang berkunjung ke rumah baru ku ketika itu. aku agak jauh dan mula merasai kehilangannya kerana jarang bertemu seperti selalunya.

Sungguhpun begitu, aku kerap juga menghubungi melalui telefon. Adakalanya, Kak Shah yang menjadi perantaraan komunikasi kami.

Setelah arwah Emak dan Abah meninggal, kami sering bertemu semula. Menurut Aunty, kedua arwah ibu bapa ku berpesan kepadanya untuk menjaga kami sekeluarga walaupun hanya dari jauh. Aunty menerima pesanan itu sebagai satu tanggungjkawab yang perlu dilaksanakan kerana ianya bagaikan satu wasiat.

Semenjak aku kembali solo, Aunty banyak memberi semangat dan menasihati aku. katanya, doanya sentiasa mengiringi kehidupan ku kerana beliau sering berbuat demikian untuk aku yang beliau sayangi.

Aku bertuah kerana mempunyai pengganti kepada kehilangan arwah emak sebagai tempat bergantung. Banyak rahsia yang Aunty simpan mengenai pendapat arwah emak pada aku. aku sedih setiap kali teringatkan apa yang pernah disampaikan oleh arwah. Kenapa semasa arwah hidup, tidak disuarakan pada ku? mungkin arwah tidak mahu aku bersedih dan tidak mahu merumitkan keadaan.

Arwah pernah menyatakan yang beliau amat risau dengan keadaan rumahtangga aku, risau dengan kami yang tidak ‘satu kepala’. Bukanlah arwah mendoakan, tetapi aku percaya, naluri seorang ibu dapat membaca air muka anaknya yang banyak memendam rasa. Arwah tidak yakin yang jodoh kami akan berpanjangan. Perkara ini aku ketahui semasa berhari raya di rumah Aunty selepas keputusan telah kami ambil untuk berpisah.

Mendengarkan cerita itu, aku yang menghidap komplikasi jantung, terkena serangan penyakit itu kerana tertekan. Aku tidak boleh tertekan lagi kerana tahap stress emosi ku telah tidak mampu dibendung oleh mental ku. yang menghairankan aku, hanya stress mengenai peribadi sahaja penyakit ku itu akan menyerang, tetapi tidak pula jika aku tertekan dengan kerja.

Aku dibawa ke tingkat atas rumah Aunty untuk aku baring dan merehatkan diri. Aku yang tidak membawa ubat bersama, terpaksa mengambil ubat tidur supaya aku lupakan cerita itu.

apabila terkena serangan penyakit itu, aku perlu tidur kerana jantung aku akan berdegup dengan laju. Degupan berganda menyebabkan darah tidak mencukupi untuk disalirkan ke seluruh badan. Kesannya aku akan pitam, jika silap hari, jantung berhenti begitu sahaja.

Oleh sebab itulah, aku dinasihatkan agar jangan terlalu banyak memendam dan berfikir sehingga dapat memberi tekanan kepada mental dan jantung ku. biasanya, selepas beberapa jam tidur, barulah degup jantung ku yang laju itu berhenti.

Lebih menyedihkan aku yang sentiasa rindu dengan kedua arwah orang tua ku; apabila mendengar cerita Aunty, yang mengatakan arwah emak kenal benar dengan aku, seorang yang tekun dan sentiasa berusaha di dalam sesuatu perkara yang dirasa mampu untuk dilakukannya.

Cerita Aunty, Kata arwah lagi, “uda seorang yang sabar dan akan cuba mempertahankan sesuatu selagi dia suka, tetapi jangan sampai sabarnya hilang. Uda akan tinggalkan segalanya tanpa belas dan simpati jika hatinya terus disakiti. Jika itu yang berlaku, dia tak akan mendengar nasihat dan pujukkan dari sesiapa lagi. Apa yang dia nak, dia akan buktikan”.

Kenal benar arwah emak ku dengan sikap aku. namanya pun emak aku, beliau yang melahirkan, membesarkan dan mendidik aku, sudah pasti beliau amat arif dengan anaknya yang seorang ini.

Pasti arwah bersedih sekiranya beliau masih ada, apabila melihatkan keadaan ku ketika ini. sudah pasti belaiu akan sentiasa di sisi aku. namun, siapalah aku untuk melawan takdir tuhan yang lebih menyayangi arwah lebih dari kami anak-anaknya.

Pulang berhari raya di kampung ku, lebih meruntun jiwa ku yang luka itu. kubur kedua orang tua itu, aku kunjungi bersama adik beradik ku dan Aunty Siti. Aunty yang sememang seorang yang sentimental, akan menangis setiap kali mengunjungi pusara kedua bonda ku itu.
Di pusara itu, aku tidak dapat menahan kesedihan ku. ketika di pusara emak, aku dapat rasakan semangat kekuatannya yang lebih dahulu pernah mengharungi hidup yang penuh liku. Tidak pula aku hiba ketika itu, malah menjadi semakin tabah seakan emak.

Sebaliknya yang berlaku apabila berada di hadapan kubur abah. Aku menangis tersedu-sedu apabila aku mengenangkan yang arwah pernah berkata kepada ku agar taat kepada suruhan suami. Aku bercakap sendiri di hadapan pusaranya, seakan memberitahunya yang aku telah melakukan yang terbaik, aku setia dan aku taat terhadap suami seperti apa yang pernah diajarkan olehnya kepada ku, namun aku gagal. Semuanya kerana aku terlalu taat dan mengikut setiap kehendaknya yang adakalanya menyakitkan aku sendiri.

Aunty yang menanti aku berada tidak jauh dari belakang ku, turut sama menangis kesedihan melihatkan keadaan aku itu. aku sekali lagi diserang penyakit jantung ku. namun ku gagahkan juga kerana telah ku luahkan segalanya kepada kedua arwah walaupun hanya kepada batu nisan dan tanah yang menyaluti tubuh kedua arwah orang tua ku itu.

Itu sudah memadai bagi aku. aku pasti mereka mengetahui tentang keadaan ku. walaupun aku berada di dalam tekanan dan kesedihan yang terlalu, tetap bersyukur kerana tempat arwah digantikan dengan Aunty ku yang cekal ini sebagai ibu ku. aku sayangi beliau seperti mana aku sayangkan diri aku sendiri.

Bukan itu sahaja, hikmah Yang Esa, aku dan keluarga ku rapat semula malah lebih baik dari dulu kerana kejadian duka yang melanda hidup ku. syukur di atas petunjukNya ini.

Aunty,
Terima kasih kerana memahami dan menyayangi aku seadanya seperti anak mu sendiri. Aku sanjungi jasa mu membantu menjaga adik beradik ku. kasih mu kepada kami ibarat ibu kami sendiri yang melahirkan kami. Semoga hidup mu dirahmati dan sentiasa di dalam lindungan Allah S.W.T.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: