PART 16 : CAHAYA MATA KU…..

CAHAYA MATA KU…..

Ayu nazirah dilahirkan tanggal 11 September 1998 jam 1.56 tengahari. Aku masih ingat hari itu hari Jumaat. Kesakitan melahirkan selama 6 jam setelah 2 hari menanti kelahiran insan yang paling aku sayangi hilang apabila Doktor meletakkan sebujur tubuh yang merah di sisi ku.

air mata keriangan ku menyambut kelahiran bayi perempuan yang aku kandung selama sembilan bulan. Sepanjang di dalam kandungan, aku banyak berkata-kata kepada insan yang tidak pernah menjawab segala percakapan ku. hanya mendengar, hanya mengenali aku melalui darah yang mengalir di dalam tubuhnya.

Aku menanti saat-saat untuk melahirkannya dengan sabar. adakalanya tidak sabar kerana ingin benar melihat perkembangannya di dalam kantung perut ku. setiap kali sessi pemeriksaan dijalankan, aku memohon agar Doktor membuat imbasan walaupun pada ketika ianya tidak perlu dilakukan. Aku mahu melihat wajahnya, bagaimanakah rupa insan yang amat aku banggakan.

Saat khabar gembira diberitakan pada aku yang sedang berbadan dua, aku melompat kegirangan kerana Tuhan memberikan cahaya yang dapat menerangi hidup ku yang suram. Itulah hasil yang tidak ternilai kepada rumahtangga yang dibina bersama si dia selepas setahun setengah.

Gumpalan Alaqah yang terbentuk di dalam tubuh ku menjadikan aku sungguh istimewa. Perasaan itu tidak dapat aku gambarkan. Sungguh indah.

Aku jaga, aku atur, aku susunkan segala pemakanan dan penyediaan agar seketul daging itu menerima segala kebaikkan zat yang aku jamah. Tekanan, aku hindarkan walaupun ianya ada. Berat badan meningkat dan merubahkan wajah aku kepada seorang yang berbeza, aku sendiri tidak kenal dengan wajah ku! semuanya demi cahaya yang sememangnya aku nantikan.

Pengalaman itu sungguh menarik. Melihatkan perut yang cepat ‘membuncit’, membuatkan aku makin bahagia. Tahulah aku yang di dalam itu sihat dan mengharapkan ianya sempurna.

Aku nyaris kehilangannya ketika di bulan kedua kerana pendarahan yang membuatkan aku sedikit kecewa dan risau akan kemungkinan kegagalan yang kedua kalinya. Rahmat Tuhan, ianya selamat.

Insan istimewa ini amat kuat ‘melekat’ di dalam kandungan ku. sememangnya telah ditakdirkan engkau bakal dilahirkan untuk lebih membahagiakan aku yang digelar ‘mama’.

Dia lah sahabat ku, dialah kekasih hati ku, pendengar setia ku, pengkritik yang jujur tentang aku, peneman kesunyian ku tatkala sendirian, dialah warna hidup ku.

Tidak mahu aku lepaskan setiap saat bersamanya. Aku mahu diisi dengan keriangan cahaya yang dipancarkan oleh insan ini. aku banyak menghabiskan masa bersamanya di dalam tenang, suka dan duka.

Tidak langsung aku penat menjaganya siang dan malam kerana dia memberi kebahagiaan dan keriangan yang sukar dicari atau diganti dengan harta kekayaan.

ternyata dia memilikki bakat ku dan papa nya. Sedari kecil, sentiasa menggelikan hati kami dengan keletahnya bergelek apabila mendengar muzik! Bangga tidak terkira melihatkan ‘buah cinta’ bijak dan sempurna, ciptaan Tuhan yang Maha Agung.

Miracle, itu yang aku katakan kepada diri ku apabila menyedari kebesaran penciptaanNya, yang mencipta satu tubuh asing di dalam satu lagi tubuh yang sempit. Allahuakbar!

Dilahirkan dengan sempurna fizikal dan mental yang sungguh baik. Setiap yang dikatakan padanya, seakan faham walaupun belum mampu berkata-kata. Aku ajarkannya menjadi seorang yang berfikiran positif dan terbuka. Yang nyata, yang pelik, yang jelik, yang logic dan khayalan.

Insan ini menjadi seorang yang sungguh memahami setiap situasi yang dihadapinya. Adakala bimbang timbul juga kerana risau dewasa sebelum waktu kerana aku yang mengajarnya menjadi seorang yang matang, agar mudah menyerap segala ilmu pelajaran yang bakal diterima kelak.

Memang benar, dia menjadi seorang yang matang. Sehinggakan dia sendiri mampu menasihati mama dan papa nya ketika kesukaran menimpa kami sekeluarga. Seorang yang sungguh berdikari kerana menjadi anak tunggal dalam jangkamasa yang lama.

Bijak berkomunikasi di dalam bahasa antarabangsa, membuatkan mama dan papa nya risau akan kemahirannya bertutur dan menulis bahasa ibunda. Semuanya gara-gara kesibukkan kedua ibu bapanya, membuatkan dia banyak menghabiskan masa di hadapan kaca tv dengan menonton saluran pendidikan berbahasa Inggeris.

Namun, kami berbangga, lagipun itu memang menjadi hasrat aku untuk anak-anak aku mahir bertutur dalam bahasa asing itu kerana aku tidak dapat belajar bahasa unik itu ketika seusianya.

Setiap yang berlaku kepada ku, dialah yang menjadi secret keeper ku. kami berdua tidak pernah menyembunyikan apa-apa perasaan yang kami rasa. Pada aku, berbuat demikian, kami akan lebih akrab bukan hanya sekadar hubungan ibu dan bapa, malah teman baik!

Aku tidak mahu anak ku suka berahsia dengan aku apabila dewasa kelak. Biarlah dia tidak malu bercerita segalanya kerana tidak mahu menjadikan yang lain sebagai tempat mengadu. Bimbang pula jika tempat yang lain itu menyesatkan kesayangan ku yang tunggal ini kelak.

Dia sentiasa melatih aku bersabar. Sabar dengan segalanya. Dia berjaya merubah diri ku menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab.

Hari pertama ke sekolah, menimbulkan keraguan di dalam diri ku. adakah dia akan selamat bergaul dengan dunia luar walaupun aku tahu tempat belajarnya itu selamat. Pelbagai rasa dan ketakutan berlegar di dalam fikiran ku. dia sungguh seronok ke sekolah kerana mempunyai ramai rakan untuk bermain.

Bersekolah dalam usia yang muda, membuatkan dia bertambah bijak. Mama dan papanya sungguh bangga apabila seawal usia 4 tahun dia telah mahir menghafal ABC!

Dia memohon untuk menjadi seperti papanya apabila semalaman melihatkan papanya bermain piano. Tidak kami jangka yang si kecil ini berfikir sepanjang malam itu untuk belajar piano. Kami berdua menyokong keinginannya itu kerana hasratnya untuk menjadi sebaik dan sebagus papanya. Mahu jadi komposer lagu katanya!

Tidak susah dan tidak senang memerhatikan anak kecil ini membesar. Kini, dia belajar di tahun 3 di salah sebuah sekolah yang terbaik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Semuanya kami beri yang terbaik kepadanya kerana mahukan kesempurnaan dalam menuntut ilmu yang dituntut agama. Impian kami seperti ibu bapa yang lain, mahu melihat anak berjaya kelak. Kerja keras kami hanyalah untuk kesenangannya di masa hadapan.

Ayu ….. mama sayang Ayu sepenuh hati mama, dunia akhirat. Begitu juga dengan papa terhadap Ayu. Mama bersyukur dengan pemberian Yang Esa dengan memberi mama kebahagiaan yang mutlak melalui kehadiran Ayu. Terima kasih kerana memahami walaupun mama tidak meminta Ayu faham keadaan mama dalam usia Ayu yang terlalu muda.

Maafkan mama dan papa kerana meletakkan Ayu di dalam situasi yang sukar. Mama tidak pinta dan papa tidak jangkakan ianya berlaku. Mama dan Papa menembusi tembok keegoaan demi seorang insan yang bernama Ayu Nazirah.

Jadilah manusia yang berbakti kepada agama dan Negara. Mama mahu Ayu berjaya dan tidak merasa apa yang telah mama lalui. Sukar hidup sendirian menempuh ujian.

Ayu kekuatan mama, jangan hancurkan hati mama seperti mana yang mama rasa ketika ini.

Ayu sentiasa mahu membahagiakan mama, mama juga begitu. Sayangilah kami berdua sepenuh hati mu kerana pengorbanan mama dan papa untuk Ayu bukanlah sedikit. Tiada apa yang mama dan papa mahukan, hanyalah seorang anak yang menjadi manusia yang menghargai ibu dan bapanya dan berjaya di dalam hidup. Ya Allah, selamatkan anak ku di mana sahaja dia berada, jauhilah dia dari kesesatan, amin.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: