PART 14 : 2 WANITA HEBAT DALAM HIDUP KU…..….

Aku punyai idola ku tersendiri. Mereka terdiri daripada para pemimpin Negara dan juga orang penting dalam hidup aku sendiri. Siapa lagi kalau bukan ibu ku sendiri. Emak bukan calang-calang orangnya. Kekuatannya menjadi nadi ku untuk meneruskan kehidupan. Aku banyak menjadikan beliau contoh terbaik di dalam hidup ku.

Dengan status ku sekarang ini, adik beradik ku banyak mengingatkan bahawa emak juga pernah melaluinya. Aku perlu kuat sepertinya. Teruskan kehidupan yang penuh liku kerana itu akan lebih menjadikan kita tabah.

Seorang lagi wanita yang aku kagumi dan sayangi sepenuh hatiku adalah emak mertua ku. Ishah abu Bakar, tidak kurang hebatnya. Berkahwin dengan duda beranak lapan membuatkan aku terpegun apabila mendengarkan ceritanya. Beliau juga merupakan teman rapat ku, segala nasihat dan pengorbanannya untuk ku, amat aku junjung hingga mati.

Cerita 2 wanita ini aku jadikan panduan, kerana aku juga bakal mengharungi rintangan dan ujian yang telah mereka lalui terlebih dahulu. Moga Allah merahmati keduanya. Tempat emak ku diganti oleh mertua ku apabila aku kehilangan kedua bonda tercinta.

Emak meninggal dunia selepas 6 tahun abah pergi. Darah tinggi dan komplikasi jantung emak yang kritikal membuatkan emak gagal meneruskan kehidupannya. Emak menyahut seruan Illahi tanggal 1 Ogos 2003 di pangkuan ku. doa ku dulu, yang mahukan aku berada di sisi sesiapa saja yang bakal pergi, di makbulkan. Aku puas kerana semasa hayatnya, aku tunaikan segala permintaannya. Ketika beliau sakit, aku mengambilnya tinggal bersama. Aku bahagiakan hari-hari terakhirnya walaupun ada beberapa masalah berlaku.

Aku masih ingat ketika kecil, aku bertanya tentang tahi lalat di kedua legan ku. katanya, aku bakal memangku mayat orang mati. Tidak aku hiraukan. Tetapi selepas 27 tahun berlalu, perkara itu memang benar-benar berlaku. Tidak ku sangka, beliaulah rupanya yang akan meninggal di atas ribaan ku. sungguh syahdu apabila terkenangkan kembali. Aku amat merasakan kehilangannya sehingga menyebabkan aku kehilangan selera makan kerana saat-saat akhir, emak koma dan tidak dapat makan walau sedikit pun. Pengalaman melalui peristiwa itu akan ku kenang sehingga akhir hayat ku.

Emak….. kau mengajar ku tentang kehidupan yang fana ini. pengorbanan mu tiada tolok bandingnya. Semoga kau berbahagia di sisiNya. Aku di sini menantikan saat-saat aku dijemput bersamamu di sana. Ketahuilah oleh mu, anak mu ini amat sengsara sepanjang ketiadaan mu kerana kehilangan tempat bergantung untuk mengadu nasib. Tiada perbelaan yang sama dengan ibu bapa sendiri walaupun anak mu ini di kelilingi insan yang baik hati.

Emak…. Tidak sabar ku nantikan detik itu yang pastinya akan ku peluk mu dengan erat, akan ku luahkan segalanya. Namun adakah tempat ku nanti sebaik tempat mu? Apakah kita akan bertemu di sana jika aku tidak di anugerahkan tempat yang sama dengan insan sebaik diri mu….. sementara menantikan detik itu, selautan doa ku hadiahkan pada mu, wahai kedua bonda. Cinta anak mu ini tidak pernah padam pada kalian kerana cinta bonda berdua tidak pernah mengecewakan anak yang seorang ini.

Semoga Allah menempatkan kedua bonda bersama orang-orang yang beriman. Amin….

Ujiannya mengajar aku menjadi dewasa, dewasa menempuh lautan manusia yang hanya mahu melihat kesengsaraan dan kejatuhan orang lain.

PENYOKONG KUAT KU…. RAKAN-RAKAN KU… PENGUAT SEMANGAT KU….

Aku yang dahulunya jarang sekali bertemu dengan rakan-rakan ku, mendapat peluang itu semula apabila masalah berat ini melanda. Bukannya berniat mencari mereka ketika susah sahaja, tetapi melepaskan dendam yang dulunya aku gagal lakukan demi menjaga hati insan yang bernama suami. Aku suka berkawan dari dulu sehingga kini. Mujurlah kawan-kawan aku memahami. Kata-kata semangat yang tidak berbelah bagi, menjadikan mereka lebih dari kawan – maksud aku penyokong kuat ku!
Ingin aku sebutkan satu persatu, takut pula yang tertinggal, akan mengundang rasa kecil hati pada aku. aku tahu mereka tahu siapa mereka.
Keluarga ku jauh, tempat itu diisi oleh penyokong-penyokong ku ini. terima kasih di atas segalanya! Semoga persahabatan kita kekal selamanya…….

MENTOR……..
Pengalaman menjadi salah seorang mentor amat aku hargai. Aku berpuas hati dengan apa yang telah aku curahkan kepada protégé ku. gadis genit berusia 21 tahun itu, amat tekun menerima ajaran dan teguran ku. peluang bekerja dengan production team yang professional itu menggembirakan aku yang ketika itu sedang di kemuncak maslah peribadi. Pening juga, perancangan untuk Nieyl sedang dibuat, dalam masa yang sama, aku menghadapi masalah peribadi yang benar-benar rumit.

Dalam menghadapi situasi itu, memberi satu kelebihan pada ku untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya bagi melupakan kekusutan. Aku curahkan segalanya pada Nieyl. Gadis itu menjadi rapat dengan ku. kami bagaikan adik beradik. Dia amat memahami keadaan ku, memberi kerjasama yang baik.

Banyak juga masalah yang melanda aku ketika program itu dijalankan. Tidak aku hiraukan kerana masalah yang aku hadapi ketika itu lebih besar berbanding dengan yang lain.

Aku berpuas hati dengan pencapaiannya. Hasil kerja keras aku dan Nieyl selama 6 bulan membuahkan hasil. Nieyl berjaya di tempat kedua. Semoga nieyl terus berjaya.

EHSAN …. ORANG KETIGA…. KEKASIH HATI KU…..

Mungkin ramai terkejut apabila aku dedahkan cerita ini. ehsan telah aku kembalikan pada ibunya yang telah berkahwin semula dengan seorang lelaki yang bertanggungjawab. 11 bulan bersama ‘lelaki’ kecil yang aku anggap seperti kekasih ku itu, amat membahagiakan. Aku sayangkannya seperti anak ku sendiri.

Tujuan mengambilnya untuk memberi bapa padanya, terbantut di tengah jalan kerana masalah peceraian kami. Aku tidak mahu dia kehilangan bapa lagi. Ehsan akan membesar di dalam suasana yang tidak sihat kerana bertukat-tukar rumah setiap minggu. Tanggungjawab kami bertambah berat jika sesuatu yang buruk berlaku padanya.

Rintangan yang amat besar adalah untuk memberitahu kepada Ayu. Ayu amat menyayangi adik angkatnya itu. ehsan lah ‘toy’ nya untuk melepaskan kebosanannya. Aku tahu aku dianggap kejam pada anak sendiri, kerana mengganggu emosinya. Percayalah aku sendiri merasakannya. Betapa sukarnya aku untuk membuka mulut ku menerangkan padanya. Aku kuatkan semangat ku, dan aku usulkan padanya. Tidak terdaya aku melihat Ayu menangis, kami berpelukkan dan tidak henti meraung. Perpisahan ini terlalu berat kerana membabitkan perasaan anak kecil. Kami berdua duduk dihadapan ehsan yang sedang nyenyak tidur malam itu.

Kesedihan ku bertambah selepas melihat ayu sedemikian rupa. Aku yakinkannya. Ayu yang berfikiran matang, amat memahami. Ibu bapa ehsan menunggu setelah aku usulkan pendapat ku. sudah pasti mereka bersetuju, niat ku hanya satu, ehsan selamat di bawah penjagaan ibu kandungnya sendiri dan dapat sepenuh perhatian dari ibunya.

Hari perpisahan itu mengundang derita kepada aku. aku tahan air mata dari mengalir kerana telah semalaman aku lepaskan segalanya. Puas aku cium dan aku peluk anak kecil itu, agar selepas diserahkan semula, tidak aku ralat. Melihatkan ehsan yang mnerenung mata ku apabila diambil ibunya, aku gembira. Dia tidak akan melupakan aku, itu kata hati ku. walaupun dia meronta-ronta, namun darah yang mengalir di dalam dirinya, adalah yang sama dengan wanita itu, ehsan tidak menangis seperti selalu jika diambil oleh orang tidak dikenalinya. Ayu aku benarkan seharian bersama ehsan di rumah ibu kandung ehsan.

Rancangan ku itu sama sekali tidak dipersetujui oleh si dia. Aku terangkan segalanya termasuk kepada pengurusnya yang setuju dengan pendapat ku. ehsan menjadi agak malas dan kurang aktif kerana selalu bersama pembantu rumah. Tambahan pula kami dilanda masalah yang berat di dalam rumahtangga. Aku rasa gagal. Gagal di dalam menguruskan rumahtangga dan gagal di dalam tanggungjawab menjaga anak baru itu yang memang bukan dari darah daging ku. adalah menjadi satu dosa jika tidak ku jalankan tanggungjawab yang baik untuk menjaga anak orang lain. Amanah orang perlu dijaga sebaik mungkin. Aku digelar bukan ibu yang baik setelah menyerahkan semula ehsan kepada keluarganya. Itu tanggapan orang lain yang tidak melalui dan merasai apa yang aku rasa. Aku percaya niat ku betul demi masa depan ehsan. Kerana terlalu sayang aku lepaskan ehsan……

Aku dan ayu sering bertemu ehsan. Itu antara janji ku pada ayu yang tidak mahu ehsan melupakannya. Selepas seminggu kami bertemu semula. Ehsan jelas ketara perubahannya yang sungguh aktif berbanding sebelumnya. Aku gembira sehingga menitiskan air mata. Syukur tidak terkira melihatkan keadaan itu. yang amat aku banggakan ialah apabila ehsan memanggil ku mama dan masih ingat dengan mama angkatnya ini. ibunya juga tidak langsung menunjukkan sebarang rasa hati yang tidak suka apabila kami mahu menjenguk ehsan. Dia sungguh memahami kerana dia juga melalui apa yang aku lalui. Kami baik seperti adik beradik!

Ehsan tetap anak angkat aku walaupun dia telah dikembalikan kepada ibu kandungnya. Si dia juga dibenarkan menjenguk anak angkat kesayangannya itu. walaupun si dia berat, namun dia terpaksa akur……

aishah… terima kasih di atas ‘pinjaman’ sementara, yang membahagiakan hari-hari terakhir bersama si dia. Semoga kalian sekeluarga dilindungi dan dirahmati selalu…..

CINTA DATANG DAN PERGI………..
Cinta…. Amat indah diungkapkan. Hanya dengan sebutan telah kita bayangkan keindahan apabila ianya melanda diri kita. Cinta amat disukai oleh semua. Kita mencari-cari cinta untuk membahagiakan hidup kita. Adakalanya, antara kita salah guna cinta. Ada juga yang menjadi hamba cinta. Cinta juga dapat menghancurkan jika terlalu lebih perasaan cinta.

Cinta yang aku rasai mengundang derita yang meninggalkan kesan yang mendalam buat selamanya. Semuanya kerana cinta yang datang dari seorang hamba yang berbeza pendapat. kami menjadi satu kerana cinta. Namun, rasa itu hanya seketika kerana ianya telah pergi. Sukar ku pujuk ia kembali kerana terlalu jauh terbenam di lubuk hati yang derita. Tiada lagi hati, tiada lagi cinta, yang tinggal hanya sengsara. Sengsara yang membawa derita dan hampa.

Cinta pada kerjaya untuk kehidupan merupakan cinta yang membahagiakan. Cinta tuhan, kita tidak tersesat jalan. Terlalu luas maksud cinta. Anugerah tuhan yang besar tetapi terlalu halus perasaannya.

Cinta datang dan ia pergi begitu sahaja jika tidak dibajai. Cinta hadir dengan membawa rasa sayang, kasih, serta simpati. Satu persatu rasa itu akan hilang apabila kita tidak menghargai. Sementara ada, tidak dipeduli, apabila hilang, kita mengharap ia kembali. Mengembalikan rasa itu amat sukar apabila ianya terpadam sama sekali.

Salahnya bukan pada cinta, tetapi kita sendiri – manusia. Fikirkanlah, sementara ada yang boleh diselamatkan, jagalah ia sebelum terlambat.
KATA-KATA DAN PENDAPAT AKU
Apa yang aku ceritakan ini adalah satu cerita yang berlaku pada ku di dalam satu babaK hidup ku. mungkin dapat dijadikan iktibar selain mengetahui sebenarnya yang berlaku. Bukan untuk menunjukkan kesalahan sesiapa, hanya sebagai satu cerita yang mungkin boleh dikongsikan bersama.

Apa yang aku lalui merupakan perkara biasa yang juga dilalui oleh insan lain yang bernama wanita. Tidak kurang juga kaum lelaki yang mungkin juga merasainya. Kita semua sama, cuma cara kita meluahkannya berbeza. Ini cara aku yang bergelar ‘public figure’ . sukar aku jelas secara terperinci melalui orang perseorangan, bimbang mengundang spekulasi yang memburukkan insan yang pernah hidup dengan ku. maklum saja, mulut ke mulut, akan di tokok tambah seperti ajinomoto untuk menyedapkan cerita!

Apa yang dilalui, menjadikan aku tabah dan berani. Berani menempuhi segala yang mungkin terjadi. Ia tidak pula menjadikan aku ego dan bongkak. Tidak sama sekali aku rasa sebegitu kerana kita tidak akan sekuat atau sebesar mana jika kita melupai tuhan yang menjadikan manusia dan sekelian alam. Kekuatan itu akan lebih kukuh jika merapatkan diri dengan Yang Esa. Menjadikan kita hambaNya yang sedar akan kebesaran dan kekuasaanNya. Tiada apa yang akan berlaku jika tidak ditakdirkan olehNya. Semuanya terletak di tanganNya. Allah maha Agung dan Bijaksana mengatur kehidupan manusia. Walaupun yang ditakdirkan itu mengundang sengsara, namun dibahagiakan pula melalui cara yang lain.

Kisah aku, yang berlaku dalam hidup ku ini, aku redha segalanya. Aku terima seadanya kerana Dia lebih mengetahui. Dialah yang mengatur hidup ku, aku hanya menjalani hidup di atas kewarasan fikiran mengikut ketentuanNya.

Aku mengharapkan yang terbaik untuk hidup ku. aku cuba melakukan sebaik mungkin demi kerjaya dan Ayu. Dua perkara yang tidak pernah mengecewakan ku, jauh sekali menyakitkan hati ku. semangat baru aku tanamkan semoga aku elbih tabah menempuhi hidup sendirian.

Telah aku padamkan di kotak fikiran ku tentang perkara yang berlaku. Telah aku tutupkan buku itu, aku biarkan dihanyutkan oleh arus masa. Aku lupakan segala keperitan. Keperluan aku kemahuan aku, aku laksanakan demi menjaga hati ku agar tidak berputus asa dengan hidup ku. insan itu pernah mengajar aku, hidup tidak perlu berputus asa kerana terlalu pendek masa yang ada untuk berbuat sedemikian. Sebaliknya, bangun dan tempuhi derita yang ada, kerana jika berjaya menempuhnya, bahagia akan menjelma, kepuasan terasa……..
KEPADA MU YANG PERNAH BERGELAR KEKASIH…..
Maafkan aku atas segalanya. Atas segala keingkaran mengikut kehendak mu, permintaan mu untuk ku kembali. Aku gagal meneruskannya. Bukannya hati terbalik pada yang lain, tetapi kerana kita sendiri. Cinta ku terpadam sama sekali. Kau tidak pernah buruk malah baik di hati dan jiwa. Aku terlalu buta menilai perbezaan yang ada demi menyelamatkan kasih kita. Telah aku cuba, namun aku tewas dan tersungkur di kaki kecewa. Percayalah, bukan aku tidak merasa peritnya seperti yang kau rasa. Memang sukar kita melaluinya, namun aku pasti, ada sinar bahagia menanti mu, menerangkan kembali kesuraman hati mu. Ada yang lain lebih baik dan luhur berbanding aku.

Ku tahu segala kasih dan sayang mu yang terlalu pada ku. Kerana itu kita sengsara. Telah ku lakukan yang terbaik sepanjang aku bersama mu. Aku harap ianya memuaskan hati mu.

Semoga kau tabah menghadapi segalanya. Aku ada di sisi jika memerlukan aku sebagai penguat semangat mu. Tiada salahnya sebagai kawan membantu kawan yang lain. Kejayaan atas segala usaha mu amat berharga, jangan disiakannya. Kecapi setiap detik yang ada untuk mencari kebahagiaan bagi mengubati derita.

Terima kasih di atas segalanya. Nasihat, tunjuk ajar, menjadikan aku siapa aku dan membahagiakan aku dulu. Semoga Allah berikan yang terbaik di dalam hidup sebagai membalas jasa yang telah kau lakukan pada ku.

Aku percaya, tanpa aku, kau akan lebih bahagia…..

Seperkara yang aku mahu kau tahu, Bukannya mudah menjadi wanita yang bekerja dan berstatus isteri serta ibu. Ianya memerlukan pengorbanan. Moga kau lebih mengerti dan semakin matang dalam merencanakan kehidupan akan datang…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: