PART 13 : PENCERAIAN ITU…….

PENCERAIAN ITU…….

Ramai yang bertanya pada aku, pendapat aku tentang penceraian ku dengan si dia. Tidak takut kah aku hidup sendirian, dan bagaimana penerimaan umum mengenainya. Tambahan pula dengan jolokkan ‘pasangan serasi’ tidak bimbangkah aku peminat akan marah dan sukar menerima.

Telah aku fikirkan segalanya semasaknya. Aku pasti ada yang suka dan ada yang sebaliknya. Sudah pasti ramai yang tidak menyukainya. Tidak kurang juga yang bersedih dan marah dengan tindakan kami sehingga ada yang menyalahkan kami berdua.

Beberapa peminat menghantar surat dengan bertujuan membantu kami menyelamatkan rumahtangga kami. Aku yang kesedihan menghubungi peminat itu, dan kami bersama menangis semasa berhubung melalui telefon pejabat ku. petang itu sungguh sayu seakan turut sama berkongsi kesedihan aku dan peminat ku itu.

Sungguh perit keadaan itu. perit kerana menjelaskan sesuatu yang peribadi memberi tekanan yang amat hebat. Namun, aku bersyukur kerana ramai yang mengambil berat. Terima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan kami berdua, namun kehampaan yang kami berikan kepada kalian. Maafkan kami.

Pernah dulu aku menerima surat dari salah seorang peminat yang berasal dari Terengganu. Katanya, lagu-lagu si dia duet bersama aku, berjaya menyelamatkan rumahtangga ibu bapanya yang sebelumnya retak menanti belah. Kami dijadikan contoh dan diangkat setingginya. Aku bersyukur sekiranya melalui bakat dan kerjaya kami berdua dapat memberi banyak kebaikan kepada para peminat kami.

Sungguhpun begitu, kami berdua gagal menggunakan lagu-lagu nyanyian kami sebagai memujuk hati ku. tidak pula berlaku seperti peminat aku yang aku nyatakan tadi. Konflik dalam diri semakin teruk apabila aku kenangkan semuanya.

Bagaimanakah keadaan pasangan-pasangan yang menjadikan kami contoh, apabila mendengarkan berita perceraian kami? Adakah mereka juga terikut dengan perpisahan kami? Aku bimbang kerana terfikir yang fanatik mungkin akan bertindak yang sama. Mohon dijauhkan oleh Tuhan kerana tidak pula aku mahu apa yang aku lalui ini menjadi ikutan mereka yang menjadikan kami contoh sedari awal kami memulakan imej artis suami isteri yang bahagia.

Bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan apabila gagal mempertahankan hubungan terutamanya rumahtangga. Aku jawab setiap pertanyaan diajukan kepada ku. aku jelaskan seterangnya agar tiada yang membuat kesimpulan yang tidak tepat.

Apabila kami bersetuju untuk berpisah, kami berdua menjalani kehidupan seperti biasa. Malah kami lebih selesa sebagai kawan. Si dia menerima baik keadaan itu walaupun sukar membendung hatinya yang kecewa.

Penyesalan tetap ada dalam diri kami berdua kerana gagal memujuk hati aku yang membatu. Namun, bagi aku, hidup perlu diteruskan sungguhpun berlakunya beberapa insiden yang memerlukan ketabahan dan kesabaran yang tinggi.

Semenjak tinggal berasingan, aku semakin tenang dan merasa amat bahagia walaupun aku sering tinggal sendirian apabila anak aku mengunjungi bapanya. Tidak langsung aku rasa rindu kepada kehidupan lalu. Aku bagaikan terlupa dengan apa yang telah aku lalui.

Aku sendiri tidak pasti bagaimana aku laluinya sehingga aku melupakan terus kesemuanya. Focus ku hanya kepada kehidupan sekarang dan masa depan ku. mungkin juga kerana aku terlalu sibuk merangka kerjaya ku membuatkan aku senang untuk memadamkan kesan kekecewaan yang aku tanggung. Aku tidak langsung menoleh ke belakang! Jangan pula melabelkan aku sebagai seorang yang kejam. Ada sebabnya.

Nekad ku terlalu kuat didalam diri ku. adakala aku terfikir yang aku ini seperti kamikazeˆ! Tipu jika aku katakan tiada ketakutan dalam diri ku apabila keputusan ini yang aku ambil.

Aku pasti kerana ketakutan yang ada membuatkan aku gagah berusaha mengejar cita-cita. Aku menjadi seorang yang berbeza, tidak seperti sebelumnya. Aku lebih focus kerana determination yang tinggi serta keyakinan diri yang hadir kerana kekecewaan dan kehampaan yang aku hadapi.

Aku sendiri dapat rasakan perubahan ku. aku pelik dan gembira juga kerana aku lebih tegas dan tahu apa yang aku mahukan dalam hidup dan kerjaya ku.

Hati yang dulunya kosong, tidak lagi ku rasakan kesakitannya. Tiada lagi hati yang perlu aku jaga sehingga tidak menghiraukan diri sendiri. Disebabkan itulah agaknya aku happy kerana menyedari hakikat aku yang sudah tiada hati, tiada perasaan pada sesiapa; dan hidup sendirian dengan keadaan itu, menyenangkan aku! ini semua kerana sebelum itu, aku tetap sama merasa kekosongan itu walaupun ada suami.

Ianya memeritkan apabila ada insan di sisi sebagai peneman tetapi kami berdua gagal melaksanakan tanggungjawab menjaga hati, dan mengambil kesempatan ke atas diri masing-masing. Tiada siapa yang salah dan tiada seorang pun dari kami berdua yang betul.

Semuanya kerana komunikasi yang berbeza sehingga kami membiarkan perasaan kami jauh mengenali hati budi masing-masing. Ditambah pula dengan pemikiran yang berbeza, memberi tekanan yang amat hebat kepada kami berdua.

Cuba juga kami perbaiki, tetapi gagal. Si dia berusaha dengan keras, tetapi hati aku juga menjadi semakin keras kerana telah jauh rasa itu hilang. Harapannya musnah sama sekali apabila aku gagal mengembalikan rasa itu. tiada gunanya hidup bersama apabila tiada komunikasi, tiada persefahaman dan lebih teruk lagi dengan perasaan cinta yang telah hilang.

Pada aku, kenapa perlu menipu diri sendiri sehingga ianya dapat menyiksakan zahir dan batin masing-masing. Itulah kesimpulan yang boleh aku buat di atas apa yang berlaku sehingga menyebabkan kami berpisah.

Aku perlu bertanggungjawab dan mengambil sebarang risiko yang bakal aku terima dengan keputusan yang aku ambil. Aku bukannya mementingkan diri sendiri, tetapi aku perlu berfikir tentang diri aku sendiri setelah sekian lama tidak ku pedulikan rasa hati ini yang adakalanya tertekan kerana terlalu menjaga hati yang lain. Selama ini aku hanya mementingkan perasaan orang lain tetapi tidak diri aku sendiri.

Pendapat aku, segalanya perlu melalui dua hala di dalam menjalinkan hubungan yang baik dan harmoni, tanpa mengira apakah bentuk sesuatu pertalian itu. Ini termasuklah hubungan suami isteri. Jika hanya sebelah pihak sahaja yang asyik menjaga, penat juga, malah rasa hampa mudah menjelma.

Apa yang penting, emosi dan perasaan yang harus didahulukan sebelum menghargai pasangan melalui kebendaan. Material hanyalah sampingan sebagai bukti fizikal dihargai.

Hati ada perasaan, ada emosi. Di dalam perasaan itu, ada rasa cinta, kasih, sayang, suka, benci, iri hati dan cemburu. Jika rasa cinta terus dibajai dan disiram dengan kasih sayang, maka terhindarlah dari rasa benci kerana hadirnya rasa kekecewaan dan kehampaan.

Cemburu dan iri hati harus ada, tetapi biarlah yang boleh membawa kepada yang positif di dalam hubungan, dan bukannya yang terlalu sehingga dapat menyusahkan hati dan perasaan pasangan.

Kesemua ‘rencah’ ini haruslah diadunkan dan digunakan dengan secukup rasa sahaja, jangan terkurang atau terlebih. Jika digunakan sebaik mungkin, dan di dalam serba sederhana, akan mendatangkan kebahagiaan yang hakiki.

Apa yang penting adalah ilmu dunia dan akhirat. Ilmu dan perasaan kasih sayang yang seimbang akan cepat mematangkan sesuatu hubungan serta dapat membawa kebaikan. Dengan bantuan ilmu, kita tidak akan tersesat malah dapat menyenangkan kehidupan di dunia dan di akhirat.

Ingin aku tekankan bahawa, kaum lelaki sebagai pembimbing haruslah peka dan sentiasa mencari ilmu di dalam membimbing wanita yang dijadikan isteri, kerana kaum wanita dijadikan dari tulang rusuk lelaki yang bengkok.

Aku masih ingat dengan nasihat seorang ustaz di kaca tv, fizikal tulang yang bengkok itu, sudah pasti sukar untuk kita luruskan, jika dipaksa akan patah hasilnya. Jadi, perlulah bijak menggunakan ilmu yang ada di dalam mendidik dan membentuk kaum hawa yang lemah itu. iman yang tinggi juga penting kerana adakala kesabaran boleh tercabar di dalam menjaga hati dan perasaan pasangan.

Isteri pula akan lebih menyayangi sepenuh hati jika perasaan dijaga dan dibelai dengan rasa penuh kasih sayang. Seseorang wanita itu tidak akan berubah hati kepada pasangannya jika tidak ada tindakan yang dapat menyakitkan hati dan perasaannya sehingga menyebabkan mereka berubah sama sekali; menjadi seorang yang berbeza dari awal mengenalinya. Begitu juga sebaliknya yang boleh berlaku kepada kaum lelaki.

Pada aku, bukan lelaki sahaja yang perlu berbuat demikian, wanita juga sama. Jangan pula mengambil kesempatan di atas sebarang kelemahan yang ada pada pasangan kita.

Semoga tidak ramai pasangan yang merasai dan terpaksa melalui seperti keadaan yang pernah aku dan si dia lalui. Jika perpisahan adalah jalan terbaik, maka terimalah keadaan itu dengan positif kerana tiada apa yang akan berlaku jika tanpa keizinan Tuhan.

Benar perceraian dibenci, perlu dielakkan tetapi jika mendatangkan kemudaratan kepada diri masing-masing, ianya tidak dapat dijauhkan, ada pula cara penyelesaian yang baik mengikut hukum agama yang adil dan saksama yang digariskan Allah mengikut panduan Al-Quran yang suci.

Tiada yang tidak baik yang Engkau berikan kepada hamba mu walaupun kami engkar melakukan tanggungjawab kami kepada Mu. Semua yang baik datangnya dari Allah, dan buruk itu datangnya dari kita sendiri yang gagal menggunakan kewarasan fikiran di dalam merencanakan kehidupan.

Semoga Allah merahmati kehidupan kita semua.

HARI-HARI PERBICARAAN ITU…….kisah yang tidak mungkin aku lupakan!

Hari-hari yang amat memberi tekanan kepada ku! sudahlah cukup tertekan, ditambah pula dengan pelbagai spekulasi yang menyakitkan halwa telinga ku. aku yang mudah tersenyum dan ketawa dikatakan gembira dengan kes cerai ku!

Siapa yang gembira apabila bercerai?! Rasa aku mana-mana wanita atau lelaki, tidak ada yang gembira dengan keadaan yang sedemikian. Aku ini pula, apabila di dalam keadaan tertekan, aku suka ketawa dan tersenyum. Malah, aku akan lebih mudah bercakap dan adakalanya berjenaka.

Kes aku dikatakan amat rumit untuk diselesaikan. Sebenarnya, tidak. Biarlah aku terangkan di sini dengan terperinci supaya hal ini tidak disalah ertikan.

Aku merujuk pada pejabat agama pada Oktober 2006 kerana dinasihatkan berbuat demikian kerana mahu mendapatkan kaunseling dan mendapatkan kepastian tentang lafaz cerai yang pernah dilafazkan pada ku. apabila Ustazah di pejabat agama meneliti laporan ku yang menyatakan lafaz cerai telah diberikan, beliau menasihati peguam ku supaya memfailkan pengesahan lafaz cerai di mahkamanh kerana hanya hakim syarie mahkamah syariah sahaja yang dapat memutuskan samada talak itu jatuh atau tidak.

Memikirkan bagaimana harus aku failkan permohonan pengesahan lafaz cerai itu mmbuatkan aku buntu. Mana tidaknya, aku mahu menyembunyikannya dari pengetahuan media kerana tidak mahu keadaan menjadi kecoh. Aku mahu segalanya berjalan dengan cara yang terbaik dan ‘senyap’ dari pengetahuan umum kerana bimbang pelbagai spekulasi.

Aku bersama peguam ku memfailkan pengesahan lafaz cerai di mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya 4 hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tujuannya bukannya apa, hanya untuk mengelak dari pengetahuan media. Si dia belum aku beritahu ketika aku memfailkan kes tersebut.

Namun, namanya pun artis, aku gagal menyembunyikannya dari pengetahuan media. Selepas Harti Raya yang keenam, aku dihubungi Si dia dan aku mendapat khabar darinya yang bersedia melepaskan aku sebagai isterinya. Aku diarahkan Si dia untuk menarik semula kes pengesahan lafaz cerai dan memasukkan permohonan cerai di Mahkamah yang sama pada 8 November 2006. Selepas beberapa perbincangan dibuat bersama peguam ku, kami berdua menetapkan tarikh sebutan kes pada 11 November 2006.

Aku masih ingat, sehari sebelum ke mahkamah untuk memfailkan permohonan cerai, aku dihujani dengan panggilan telefon beberapa rakan media yang telah mendapat berita dari mahakamah yang aku akan hadir keesokkannya untuk tujuan memfailkan permohonan. Jenuh juga menjawab soalan-soalan yang diajukan. Aku takut jika kenyataan yang diberikan akan menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan peminat dan keluarga kedua pihak.

Namun aku terpaksa. Keadaan dan status memaksa aku menjawab setiap soalan yang diajukan. Aku tidak mahu pelbagai kesimpulan dibuat oleh orang luar yang akan memburukkan lagi keadaan meskipun si dia dan aku bersetuju untuk bercerai.

11 November kami berdua menghadirikan diri di mahkamah seperti yang dijanjikan. Bagaikan bintang Hollywood atau Bollywood rasanya. Begitu ramai sekali wartawan dan jurugambar menanti kami berdua tiba. Kami tidak dapat mengelak dari pelbagai pertanyaan mereka kerana perbicaraan itu dilakukan dimahkamah secara terbuka.

Aku yang tidak tahu bahawa kami boleh memohon kepada pihak mahkamah untuk menjalankan perbicaraan secara tertutup, terpaksa mengharungi pelbagai tanggapan media apabila mereka mendengar hujah yang dinyatakan oleh peguam ku.

Si dia yang pada mulanya tidak diwakili mana-mana peguam, telah menandatangani beberapa perjanjian tentang hak penjagaan anak, pembahagiaan harta dan perjanjian aku dan dia sebagai rakan kongsi syarikat. Segalanya telah selesai. Tetapi tidak tahu di mana silapnya, si dia melantik peguam syarie di saat-saat akhir sehingga menimbulkan beberapa kekeliruan.

Keadaan itu menjadi kelam kabut kerana peguamnya menyoal pendirian aku dan beberapa perjanjian yang telah ditandatangani. Aku berang juga kerana kami berdua telah bersetuju untuk berpisah cara baik dan segalanya dibahagikan dengan adilnya. Aku tidak pasti tujuan peguam berkenaan berbuat demikian, dan ianya seolah-olah beliau mahu memburukkan keadaan sehingga boleh menimbulkan kontroversi.

Sessi pertama perbicaraan, ada kenyataan akhbar dan berita tv menyatakan permohonan aku ditolak. Sebenarnya, bukan permohonan cerai yang ditolak, tetapi permohonan pengesahan lafaz cerai yang mana, sedari awal aku dan si dia bersetuju untuk menarik kes itu dan digantikan dengan permohonan cerai. Sekali lagi aku terpaksa menjelaskan kepada umum atau sesiapa yang bertanya kerana kepada mereka kami ‘berlawan’ di mahkamah kerana si dia tidak mahu melepaskan aku. semua yang mengikuti kes ku menjadi keliru!

Menurut hakim syarie yang bertugas ketika itu, undang-undang syariah amatlah adil. Jika telah ada lafaz, dan dimasukkan fail pengesahan lafaz. Ianya harus dijalankan kes itu dahulu dan tidak boleh ditarik kerana telah difailkan. Jadi, mahkamah terpaksa menunda fail permohonan cerai kami.

Peguam ku cuba memohon untuk meneruskan perbicaraan pada hari yang sama agar dapat diselesaikan dengan segera kerana kes kami terlalu kecil. Ini adalah kerana kami berdua telah bersetuju untuk bercerai bukannya sebaliknya. Disebabkan pihak defenden telah melantik peguam di saat-saat akhir; di mana peguam belum sempat mengkaji kes itu, jadi perbicaraan ditangguhkan ke satu tarikh yang ditetapkan iaitu 13 Disember 2006.

Aku terdiam sejenak kerana aku sendiri bagaikan keliru dengan keadaan itu. aku terpaksa menurut sahaja kehendak mahkamah kerana itulah yang telah termaktub di dalam pelaksanaan undang-undang syariah. Yang membuatkan aku bingung adalah dengan tindakan si dia yang berbuat demikian. Nyaris aku bertengkar dengan peguamnya yang seakan gilakan kontroversi dan glamour itu, apabila beliau juga naik berang kerana aku asyik bersembang dan berjenaka dengan si dia mengenai kes itu.

Pelik, tapi itulah kenyataannya. Aku mendapat beberapa informasi mengenai peguam berkenaan yang hanya mahu meraih nama dan popularity untuk bisnes. Khabarnya beliau mempunyai beberapa runner untuk mendapatkan nombor telefon mana-mana artis jika terdapatnya kes perceraian. Aku tidak pasti kebenarannya. Tetapi biarlah, kerana apa jua status seseorang itu, kita semua tetap manusia biasa yang mempunyai sikap yang adakalanya menjengkelkan.

Ada juga di antara kita yang suka mengambil kesempatan di atas nama baik orang lain demi diri sendiri. Kesempatan yang sebeginilah yang aku rasakan tidak patut dibuat sesama kita, manusia. Bukankah itu bermaksud penting kan diri sendiri? Mungkin mereka ini tidak berfikir panjang di atas tindakan seperti itu akan memberi tekanan dan menyusahkan orang yang digunakan itu.

Sekali lagi aku nyatakan, aku tidak pasti walaupun ianya seakan menjuruskan kepada perkara sedemikian. Aku bersama si dia berbincang tentang keadaan itu. si dia kebingungan. Kasihan juga aku melihatkan keadaannya yang dijadikan mangsa keadaan. Namun, aku hormati pendiriannya untuk di wakili oleh peguamnya yang dilantik walaupun pada mulanya, peguam aku mewakili pihak kami berdua.

Pelbagai berita yang keluar di dada akhbar mahupun tv, sedikit sebanyak merunsingkan kami berdua. Aku pasti si dia merasa yang sama. Ada juga akhbar tabloid yang memaparkan wakalah perceraian kami secara terangan dengan mencetak semula butiran kenyataan affidavit kami berdua. Ketika aku membaca akhbar tabloid itu, aku rasa seperti kami berdua seperti ‘dibogelkan’! kenapa sehingga tergamak sekali berbuat demikian? Aku tidak menafikan itu tugas mereka, tetapi janganlah pula menjatuhkan air muka kami.

Paling merisaukan aku, jika ada yang ketawakan si dia kerana tuntutan mutaah dan nafkah iddah ku. aku yang tidak mahu menuntut segala wang atau harta di dalam jumlah yang tinggi kerana memahami keadaan si dia serta aku tidak mahu menyusahkan si dia. Si dia juga perlu hidup selepas bercerai dengan aku.

Pendedahan itu aku rasakan tidak sepatutnya dilakukan sedemikian rupa. Agaknya syarikat itu terlalu ‘kempunan’ cerita kami! Sebelum ini kami berdua jarang sekali menghiasi muka hadapan akhbar tabloid kerana tiada kontroversi. sementara ada peluang, mereka gunakannya sebaik mungkin!

Aku terpaksa mengambil tindakan dengan menghantar surat peguam sebagai peringatan kerana beberapa kenyataan kami di akhbar itu dikeluarkan tanpa menemubual salah seorang dari kami; atau pun peguam yang mewakili kami berdua.

Selepas itu, aku dapat melihat perbezaannya kerana wartawan tabloid itu hadir sendiri ke mahkamah, tanpa menggunakan orang tengah yang ada di mahkamah untuk bahan cerita. Maksud aku, orang tengah yang bertugas di mahkamah juga! Mungkin saudara mara wartawan tersebut.

Nasib kami berdua agak baik kerana tidak semua akhbar atau tabloid ‘membogelkan’ kami sebagaimana yang dilakukan oleh tabloid yang aku katakana tadi. Media agak menghormati pendirian kami yang tidak mahu terlalu mendedahkan perceraian kami kerana kami berdua telah merencanakan kehidupan kami selepas tidak tinggal sebumbung lagi.

Sementara menanti tarikh sebutan semula kes kami, kehidupan kami berdua berjalan seperti biasa, malah kami mejadi kawan kerana sering berhubungan demi anak kesayangan kami.

Dalam pada kami mengekalkan hubungan baik kami sebagai kawan, diganggu oleh beberapa insiden yang adakalanya menyakitkan hati kami berdua.

Si dia dijemput oleh satu rangkaian televisyen swasta untuk sessi temubual di dalam satu program terkenal mereka. Si dia yang bertanggungjawab dan komited dengan tugasnya menghadirkan diri untuk rancangan temubual itu setelah pembantu peribadinya bersetuju untuk si dia mengambil rancangan tersebut. Aku faham, dan itu adalah haknya untuk menjalankan tugasnya.

aku yang ketika itu sedang menjalani rakaman lagu ku, terkejut mendengarkan berita tersebut yang disampaikan oleh rakan ku yang bertugas di sebuah stesen tv swasta yang lain. Aku terkejut kerana kami telah berjanji untuk bersama-sama muncul di dalam satu program temubual tv di stesen yang lain. Segalanya telah diatur dan dirancangkan dengan baik serta kami berdua berjanji untuk memberi komitmen kepada temubual yang dirancang itu secara eksklusif kepada stesen yang popular itu.

Tujuan aku ingin berbuat demikian kerana mahu menghentikan spekulasi buruk tentang si dia yang sering digembar gemburkan di laman-laman web dan akhbar. Aku tidak mahu si dia disalah ertikan sehingga menjejaskan kariernya sebagai penyanyi dan komposer terbaik tanahair. Maklum saja, ada sebilangan kita yang tidak dapat menerima mana-mana artis yang tidak mempunyai keperibadian yang baik, kerana mereka lebih mementingkan personality dan bukannya bakat.

Aku terpaksa memberi penjelasan kepada stesen tv yang telah kami janjikan sedari awal. Mendapatkan semula kepercayaan mereka bukanlah mudah. Aku cuba menjelaskan kepada mereka yang si dia dijadikan mangsa keadaan kerana dirinya ketika itu belum betul-betul pulih dari kekecewaan di atas keputusan perceraian kami.

Nasib baiklah penjelasan ku diterima mereka. Lebih melegakan aku apabila si dia bijak menjawab setiap soalan sensitive tentang kami yang diajukan pengacara komedi yang terkenal itu. aku pasti si dia berpegang kepada janji kami berdua yang tidak akan bercerita apakah factor utama kepada perceraian kami, dan tidak akan memburukkan sesiapa kepada mana-mana media.

Lebih memeranjatkan apabila si dia tidak tahu menahu tentang kehadiran anak sulung kami berdua. Sepatutnya rancangan itu memaparkan latar belakang pencapaian si dia dan beberapa kejayaan yang telah diraih. Tidak dinafikan mereka memang memaparkannya, tetapi si dia lebih banyak diajukan soalan berkaitan peribadi iaitu kontroversi perceraian kami.

Aku agak kurang suka apabila ada yang menyebut ‘kontroversi perceraian’ kepada kes kami kerana pada aku tiada yang boleh dijadikan kontroversi tentang perpisahan kami.

Aku hanya berpeluang menonton siaran ulangan rancangan tersebut 2 hari selepas rancangan itu disiarkan secara langsung. Aku kasihan melihat si dia yang merah padam menjawab segala pertanyaan seorang diri. Si dia bagaikan di ‘dera’ oleh pengacara itu. maksud aku mengambil kesempatan di atas kesengsaraan si dia memang benar-benar nyata. Si dia kelihatan seperti mahu menangis, dan aku yang menonton, seperti mahu menjerit memohon menghentikan segala soalan yang boleh menambahkan derita si dia!

Aku yang pada mulanya kasihan bertukar menjadi marah apabila tindakan penerbit melibatkan anak kami berdua. Aku tidak langsung diberitahu oleh mana-mana pihak yang mereka mahukan anak kami turut serta. Aku bukanlah cemburu atau cuba mengawal pergerakan anak atau bekas suami ku itu, tetapi sekurang-kurangnya jelaskan kepada aku agar tidak menampakkan keburukkan mana-mana pihak.

Tiada salahnya menjemput anak ku bersama hanya untuk membantu si dia mendapatkan kembali simpati dan kepercayaan peminat kerana si dia juga perlu meneruskan hidupnya. Tetapi janganlah pula menampakkan seolah-olah aku ini seorang ibu yang kejam sehingga sanggup meninggalkan anak bersama bekas suami hanya kerana mementingkan kerjaya!

Soalan yang diajukan kepada gadis kecil itu seperti mahu menunjukkan keburukkan aku. aku sungguh kecewa dengan tindakan mereka itu yang membuatkan keadaan kami berdua yang asalnya baik menjadi tegang seketika.

Si dia menjelaskan perancangan awal bukanlah begitu, tetapi sebaliknya berlaku apabila anak kami turut diundang juga tanpa pengetahuan si dia. Aku terima penjelasannya itu kerana memahami keadaannya ketika itu. aku pasrah jika ada yang bakal menuduh aku yang bukan-bukan ekoran rancangan temubual itu.

Ada juga dikalangan rakan-rakan yang menelefon aku dan memohon aku pulang ke pangkuan si dia kerana bersimpati dengan nasibnya yang kononnya dianiaya oleh bekas isteri sendiri! Mendengarkan kata-kata sedemikian, aku sekali lagi menjeruk hatiu. Aku luahkan segalanya kepada pengurus si dia.

Abang Amin yang sememangnya rapat dengan kami mendengar sahaja dan turut memberi penjelasan yang sama kepada ku. aku tidak mampu Manahan rasa kecewa kerana ianya dapat menjejaskan kerjaya dan imej ku. sudahlah ketika itu aku tertekan dengan memikirkan keadaan anak angkat aku.

Dengan kekecewaan itu, aku ada juga bertindak di luar kawalan dengan mematikan talian telefon bimbitnya yang didaftarkan di atas nama aku! bukannya apa, aku terlalu kecewa dengan si dia yang mungkir janji untuk tidak membuat tindakan yang boleh mencalarkan imej kami berdua ekoran perceraian kami. Teruknya sikap aku jika difikirkan semula. Tidak lama, hanya 1 hari dan 1 malam sahaja.

Keesokkannya aku bukakan semula talian telefon bimbit itu setelah berfikir sedalamnya, dan menganggap si dia adalah mangsa kepada keadaan itu dan bukanlah dengan sengaja memburukkan nama aku dengan cara yang sedemikian.

Si dia memohon maaf dan menyatakan akan lebih berhati-hati di masa akan datang. Aku juga tidak pasti mngkin juga ada sesetengah kenyataan aku yang mungkin juga menyakitkan hatinya. Aku juga harus berfikir adakalanya aku juga menyakitkan hatinya diluar jangkaan aku sungguhpun aku berniat tidak mahu berbuat demikian. Aku timbang tara sebaik mungkin, dan kami tetap baik seperti sebelumnya sebagai kawan.

Itulah bebrapa insiden yang mengganggu keadaan kami yang baik selepas perceraian. Orang luar yang rapat dengan kami adakalanya yang terlebih kuah dari sudu, yang tidak tahu kata sepakat yang kami ambil dan keadaan kami, menambahkan rencah yang pedas untuk media dan umum melabelkan penceraian kami adalah satu kontroversi.

Selepas itu, kami berdua lebih memahami keadaan kami yang sentiasa dijadikan mangsa, mengambil ianya sebagai teladan dan sentiasa berhati-hati untuk mengeluarkan kenyataan atau membuat tindakan yang mungkin dapat melukakan lagi hati masing-masing serta keluarga kedua belah pihak.

Sebutan semula kes diadakan pada 13 Disember 2006. Setelah sebulan menanti tanpa berbincang tentang kes yang dibicarakan, kami tidak mendapat kata sepakat untuk memudahkan kes yang pertama itu.

Aku agak kecewa dengan tindakan peguam si dia yang menyarankan si dia mengangkat sumpah penafian di atas lafaz yang pertama. Aku terkejut dan sekali lagi dengan tindakan itu menampakkan aku menipu mahkamah dan umum dengan lafaz tersebut. Aku hanya berdoa moga kami berdua dilindungi yang Maha Esa dan mengampunkan segala dosa-dosa kami berdua. Itu sahaja yang terbaik yang dapat aku lakukan. Kenapa meletakkan si dia di dalam situasi itu, yang menjadikan dia mangsa keadaan sekali lagi.

Pengalaman di dalam mahkamah syariah dan bagaimana ianya dijalankan benar-benar membuatkan aku serik. Tidak semestinya walaupun kita pernah satu ketika hidup dengan seseorang sebagai suami isteri akan sepakat dalam apa juga keadaan. Aku lebih mengenali pelbagai keletah manusia yang adakalanya tidak dapat menggunakan akal fikiran untuk berfikir tentang sesuatu yang logic dan positif.

Campur tangan orang luar yang kurang arif walaupun di dalam bidang yang arif juga mendatangkan kemudaratan dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Aku terima segalanya yang telah terjadi atau yang bakal terjadi. Segalanya di atas ketentuan Yang Maha Esa. Aku pasrah dan aku redha walaupun adakalanya mencabar kesabaran dan keimanan ku.

Aku mohon kepada semua, supaya jangan menggunakan keadaan kami untuk kepentingan sendiri dan jangan meletakkan kami berdua di dalam keadaan serba salah.

Semua yang berlaku sememangnya kerana aku yang tidak mampu hidup di dalam kepuraan lagi. Kepuraan kepada diri sendiri dan penipuan kepada umum. Aku tidak mahu hipokrit lagi……. Kerana itu bukanlah diri aku sebenarnya.

Buat apa jika luaran sahaja yang ‘cantik’, tetapi dalaman sebaliknya. Pada aku, ‘you have to be truthful to yourself then only you will be true to others!’ dalam hidup aku, kejujuran adalah segalanya yang akan membantu aku terus hidup!

One Comment on “PART 13 : PENCERAIAN ITU…….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: