PART 12 : KISAH AKU DAN SI DIA….. APA YANG TERJADI SEBENARNYA…..

Ingin aku tekankan bahawa, bab ini yang amat sukar bagi aku terangkan ke dalam bentuk tulisan yang bakal menjadi tatapan kalian semua. Bukannya mudah menggarapkan perasaan yang membabitkan individu lain dari diri sendiri. Bimbang pula ada yang salah tafsir di atas apa yang bakal aku terangkan kelak jika ianya terlalu terperinci.

Harus diingatkan, semua dari kita yang bergelar manusia biasa, tidak lari dari melakukan kesalahan. Namun, kesalahan itulah, yang akan menjadi pedoman dan teladan kepada setiap individu yang melakukannya secara sengaja ataupun tidak; bagi memperbaiki kehidupan yang mendatang.

Menulis tentang kisah hidup ku ini, yang sebelumnya telah aku selesaikan 6 bulan lebih awal, mengundang rasa sangsi dan ‘pening kepala’ untuk ku luahkan hasil nukilan bagi babak duka yang berlaku di dalam hidup aku dan si dia.

Ini adalah kerana aku tidak mahu memburukkan insan yang pernah membahagiakan, dan pernah membimbing aku sebagai seorang isteri, serta menjadikan aku manusia yang mempunyai fikiran yang positif dan terbuka. Aku bukanlah jenis yang suka membuka segalanya hingga mengaibkan mana-mana individu, walaupun hati ku terluka. Ini tidak terhad kepada insan yang aku maksudkan sahaja, tetapi kepada sesiapa sahaja yang aku kenali secara jauh mahupun dekat.

Tidak semua dari kita mempunyai fikiran yang sama. Cara pandangan dan pendapat kita berbeza di dalam menilai pelbagai perkara yang berlaku di dalam hidup kita mahupun orang lain.

Oleh kerana sedar dengan perkara tersebut, aku beberapa kali menukar babak ini ke dalam garapan bahasa yang mungkin amat mudah difahami semua, tentang apa yang berlaku antara kami sebenarnya.

Namun, tidak dapat aku nafikan, aku harus meluahkan jua apa yang berlaku antara kami kerana terlalu ramai yang meneka dan membuat spekulasi yang boleh memburukkan kedua insan yang digelar ‘pasangan ideal’ atau ‘pasangan serasi’.

Aku akui, sepanjang berlakunya perkara duka ini, beberapa akhbar mahupun majalah memberi liputan yang meluas kerana nama kami yang unik dan besar di dalam industri muzik yang serba mencabar ini.

Bukannya mudah untuk mengelakkan dari pengetahuan media serta awam. Kami berdua tersepit di antara kerjaya dan hal peribadi. Kami berdua cuba juga mengelakkannya, tetapi tidak berdaya sama sekali.

Mungkin kepada mereka yang mempunyai pekerjaan yang tidak membabitkan media, tidak merasa tekanan yang kami berdua rasakan. Mudah bagi mereka menyelesaikan masalah peribadi dengan cara yang tersendiri. Namun, kepada yang bergelar selebriti, tidak mudah meredah perhatian yang diberikan oleh media dan orang awam, yang ingin mengetahui perkara sebenarnya.

Memang benar tidak baik bagi mana-mana individu yang bergelar selebriti meluahkan rasa kecewa sehingga memburukkan pasangan, walaupun ada di antaranya, tidak berniat sedemikian. Walaubagaimanapun, Ianya terpulang kepada masyarakat untuk menilai dengan apa yang diceritakan.

Kepada yang membaca dan meneliti setiap permasalahan rumahtangga selebriti, haruslah menggunakan kewarasan fikiran yang ada, jangan membuat sebarang kesimpulan yang dapat menimbulkan fitnah.

Setiap dari kita suka bercakap dengan bercerita tentang pelbagai perkara, ini termasuklah gossip golongan artis. Adakalanya, aku juga begitu! Seronok sebenarnya apabila mendapat peluang bercerita kisah orang lain, yang boleh dijadikan topik untuk meredakan tekanan seharian.

Namun, harus kita sedar, apabila kita bercerita mengenai orang lain sesama kita, tidak mengira perkara itu fakta ataupun tidak, ia adalah umpatan! Mengumpat – adalah satu perkara yang sememangnya dilarang keras oleh agama untuk melakukannya.

Adakala, umpatan berlaku dengan cara tidak sengaja, di bawah kewarasan fikiran. kita sering terpengaruh dengan rakan atau mereka di sekeliling walaupun kita cuba mengelaknya. Ada juga di antara kita suka bercerita mengenai orang lain untuk mendapatkan perhatian dari rakan.

Orang yang sebegini sebenarnya tiada kawan yang ramai atau menjadikan sesuatu isu itu sebagai bahan hiburan. Ini berlaku mungkin disebabkan kita bosan dengan perkara yang sama dilakukan setiap hari atau sememangnya telah dilahirkan dengan sikap yang suka merekacipta cerita ke atas sesuatu bahan cerita yang dari sejengkal, jadinya semeter seterusnya ke satu kilometer!

Sebagai manusia biasa, siapalah kita jika tanpa petunjuk dari yang Esa. Jika ada kesedaran, adanya doa memohon dijauhkan dari perkara yang dapat menjuruskan kita kepada melakukan dosa, insyaAllah, ianya akan dimakbulkan Allah Taala, tetapi mestilah beserta dengan usaha!

Itu pendapat aku tentang kehidupan dan manusia, tidak berniat memburukkan mana-mana pihak. Apa yang aku katakan ini, semuanya adalah hasil dari pengalaman dan apa yang telah aku lalui sepanjang penghidupan ku. kita semua berhak menyuarakan pendapat tentang sesuatu perkara, dan tidak terhad kepada mereka yang punyai status tinggi dan kerjaya yang glamour sahaja.

Melalui pendapat yang diberikan oleh orang lain, mungkin ada yang boleh digunakan dan dijadikan nasihat untuk memperbaiki sikap diri dan kesalahan seseorang individu di dalam kehidupan yang sementara ini. lagipun, bagi umat Islam, menegur kesalahan sesama umat, sebagai mengingatkannya dari melakukan dosa adalah dituntut keras oleh agama.

Semuanya adalah kerana ianya dapat membentuk perpaduan dan menyatukan umat manusia. Ingat-mengingati adalah tangungjawab yang besar kepada umat Islam. Namun, ramai yang suka salah tafsir. Apa-apa pun terpulang kepada seseorang individu itu untuk menilai pendapat dan teguran yang diberi.

Setakat bab ini yang dibaca oleh kalian, pastinya mengundang kehairanan dan kebosanan kenapa aku berhujah panjang mengenai perkara yang aku tulis di atas tadi. Semuanya kerana pengalaman yang aku tempuh semenjak aku berpisah dengan komposer yang menjadi kegilaan ramai itu. akan aku terangkan apa yang berlaku kepada sku dan si dia, di akhir bab ini nanti.

Berbalik kepada perkara yang menjuruskan kepada perpisahan kami, terlalu panjang untuk aku ceritakan. 10 tahun bersama, banyak yang kami tempuhi. Setiap hari ada sahaja cerita menarik, suka, duka gembira dan bahagia. Ingin aku kongsi dengan kalian semua.

Telah aku coretkan sebelumnya, namun keadaan memaksa aku menukar keseluruhannya. Semasa aku menulis bab ini dulu, ketika itu aku terlalu emosional dan tidak dapat mengawal perasaan yang kecewa, hampa dan terluka. Jadi, tulisan ku itu terlalu telus dan terperinci mengenai apa yang berlaku antara kami.

Tujuan asalnya adalah untuk memberi pemahaman dan gambaran jelas kepada pembaca dan semua peminat kami.
Namun, apabila aku di dalam keadaan yang normal seperti sediakala, membuatkan aku berfikir sejenak apabila membacanya semula. Aku letakkan diri ku di dalam diri si dia. Aku dapat merasakan si dia akan kecewa dan malu dengan apa yang aku tuliskan. Bagi pihak aku juga, aku tidak mahu meludah ke langit!

Cukuplah sekadar melepaskan rasa kecewa dengan bercerita kepada rakan rapat dan saudara mara sahaja, kerana mereka yang kenal perwatakkan kami berdua akan memahami situasi kami ketika kami di landa ujian yang maha dashyat ini.

Ada juga di antara rakan kami berdua yang menyalah tafsir luahan hati kami terutamanya aku yang terlebih awal meluahkan padanya. Rakan seharusnya menjadi pendengar dan memberi nasihat yang berguna sekiranya perlu diberi kepada rakan yang bermasalah itu. jangan pula disampaikan semula kepada pihak yang memberi masalah kepada pihak yang pertama. Ini namanya batu api!

Bagi kami berdua yang menghadapi masalah itu, kami hanya mahukan seseorang yang boleh mendengar dengan baik dan boleh dipercayai. Bukannya seseorang yang mahu memihak kepada mana-mana pihak antara kami berdua.

Ini terpulang kepada akal fikiran seseorang individu untuk menggunakan fikirannya. Biarlah menggunakan kewarasan fikiran untuk menegur agar menjadi pihak yang neutral. Barulah yang bermasalah itu akan merasa tenang.

Aku berhadapan dengan situasi yang amat mengecewakan apabila mengenangkan seorang rakan yang baik kepada kami berdua. Pada mulanya beliau agak neutral tetapi sebaliknya berlaku apabila kami memutuskan untuk berpisah. Aku tidak tahu apa yang membuatkannya berubah.

Apabila diceritakan semula oleh bekas suami ku dan rakan baik yang lain tentang ‘mulut jahat’nya itu, aku terlalu sedih. Manakan tidak 5 tahun mengenalinya, kami sama-sama menhormati diri masing-masing.

Aku mohon maaf kepadanya dengan merendahkan diri ku serendahnya. Tetapi lain pula penerimaannya. Beliau menuduh aku dengan pelbagai cerita yang kononnya didengarinya sehingga membabitkan individu yang tidak aku kenali! Pelik benar dengan sikapnya itu yang tidak ku sangka begitu sekali jadinya jika dibandingkan paras rupanya yang menawan itu.

Aku faham dengan setiap nasihatnya yang ada diantaranya, aku gunapakai di dalam mengharungi hidup berstatus janda. Katanya jangan memburukkan bekas suami, cuma caranya terlalu keras yang dapat mengundang rasa sakit di hati apabila mendengarkan kata-katanya. Fanatik betul rakan baik ku ini kepada bekas suami ku. aku tidak marah malah jauh sekali cemburu dengan sikapnya yang sedemikian. Tetapi biarlah teguran dan nasihat itu tidak menampakkan kebencian dan berat sebelah kepada satu pihak sahaja.

Aku tetap menganggapnya kawan walaupun beliau tidaklah berada di pihak yang neutral. Aku maafkan beliau di atas setiap apa yang dituliskannya di dalam sms yang aku terima. Aku tidak akan memburukkannya kepada mana-mana individu yang mungkin mengenali dirinya kerana beliau pernah menjadi kawan baik aku dan banyak juga menasihati aku. wala bagaimana pun, aku berterima kasih padanya, kerana menyedarkan aku tentang sesetengah perkara yang dapat memberi kebaikkan pada aku.

Kerana kejadian di ataslah, menyedarkan aku agar membuang semua cerita yang terperinci itu kepada umum. Itulah kesedaran yang aku maksudkan, yang ditunjukkan oleh rakan ku di dalam cerita aku tadi. Ada kebaikkannya, kerana beliau menyelamatkan aku dari mana-mana pihak yang bakal mensensasikan bab perceraian ku dan mungkin juga akan menjadi kontroversi lagi. Aku bimbang juga ada pihak yang bakal menyalah tafsirkan tulisan ku lantas menyarankan bekas suami ku mengambil tindakan undang-undang yang akan menimbulkan masalah kepada syarikat pencetak ku dan diri aku sendiri.

Walaupun ianya adalah fakta, namun, boleh dijadikan bahan atau bukti yang dapat digunakan di mahkamah dunia yang maha adil. Cukup-cukup lah dengan kontroversi, aku tidak mahu lagi perkataan itu digunakan di dalam cerita hidup ku yang akan datang. Apa yang kami berdua fokuskan hanyalah pada karier kami. Jika berlakunya lagi kontroversi, maka akan mengganggu konsentrasi kami kepada apa yang sedang kami lakukan.

Bagaimana untuk aku mulakan cerita bab yang amat sensitive ini? berkali-kali soalan yang sama berlegar di ruang benak ku. telah ku putuskan untuk bercerita secara jeneral sahaja kerana bimbang fakta aku ini disalah tafsir sesetengah pihak yang mungkin akan mengambil kesempatan.

Pada aku, biarlah ianya menjadi tanda tanya kepada sesiapa sahaja yang ingin mengetahuinya. Ini semua adalah kerana menghormati sanak saudara dan nama baik keluarga serta pasangan aku yang pernah bergelar suami.

Biarlah rahsia…. Hasil nukilan Datuk Siti Nurhaliza itu, menjadi lagu tema kepada aku ketika berlakunya perkara duka itu. ianya terlalu sesuai dengan apa yang aku lalui serta apa yang aku rasai dijiwa ku.

Seperti yang kalian sedia maklum, kami bertemu dan berkahwin di dalam usia yang muda. Cara pemikiran ketika itu amatlah berbeza jika disbandingkan dengan sekarang ini. maklum sajalah, semua dari kita belajar dari setiap apa yang kita lalui dalam hidup kita.

Semua pasangan mempunyai cerita yang sendiri yang mungkin ada di antaranya terlalu unik. Unik yang aku maksudkan ialah seperti apa yang telah kami berdua lalui. Setiap lelaki dan wanita mempunyai pandangan yang berbeza tentang pelbagai perkara. Begitu juga aku dan si dia. Namun kami berjaya jua tempuhinya di dalam tempoh yang agak lama.

Ramai yang berkata, sudah 10 tahun bersama, sayangnya jika disiakannya. Ya, benar sekali kenyataan itu. aku dan si dia juga merasakan begitu. Tetapi mahukah kalian hidup di dalam keadaan yang sunyi, seperti perkataan Inggeris – lonely, kerana antara kami berbeza pendapat sehingga gagal menjaga hati masing-masing. Semuanya adalah kerana komunikasi kami yang berbeza serta sentiasa mengundang prasangka dan pertengkaran.

Kedua kami mempunyai perwatakkan yang berbeza – strong character, apabila berdebat, masing-masing mahu menang! Sungguhpun begitu, kerap juga antara kami yang mengalah mengikut situasi yang bagaimana kami berada.

Si dia seorang yang amat tekun bekerja begitu juga aku. kami sama-sama bermula dari bawah sehinggalah kami berdua berada di tahap yang sekarang ini. aku gembira melihatkan setiap kejayaannya di dalam bidang yang amat disenanginya. Cita-citanya terlalu besar di dalam mewarnai industri ini.

Pendapat kami menjadi sama apabila aku juga perlu menjadi sepertinya di dalam bidang muzik. Dia melatih aku menjadi seorang ‘perfectionist’ di dalam kerjaya. Aku juga menjadi tekun sepertinya; mahukan kesempurnaan di dalam pelbagai perkara. Senang sekali bekerja dengannya. Kami amat memahami di antara satu sama lain di dalam kerjaya. Bahasa kami menjadi satu.

Perkara yang sentiasa membuatkan aku ‘melekat’ padanya adalah kerja dan karier kami berdua. Aku suka bekerja dengannya. Kerana itulah apabila kami putuskan untuk berduet, ramai yang menyenangi kami kerana kami kelihatan intim dan mesra kerana kami selesa di antara satu sama lain apabila di dalam kerjaya.

Sementelah itu, kami juga bukanlah pasangan yang terlalu sempurna apabila melihatkan kehidupan peribadi kami. Telah kami cuba melakukan yang terbaik agar tiada hati yang kecewa.

Namun, gagal juga kami pertahankannya kerana kami terlalu jauh disebabkan komunikasi yang berbeza. Bahagia di tempat kerja sahaja tidak mencukupi kerana di rumah sebaliknya. Sebagai manusia, seperti yang aku katakan tadi, kita tidak lari dari melakukan kesilapan yang adakalanya tidak kita sedari.

Aku dan si dia juga sama. Kami tidak sedar dengan keadaan kami yang ‘workaholic’ itu mengundang keraguan di dalam hati kami. Kita semua ada perasaan yang dapat menerbitkan pelbagai rasa. Apabila perasaan tidak dijaga, pelbagai perkara boleh berlaku di dalam hubungan suami isteri.

Bukanlah menjadi satu kebanggaan bagi aku untuk menuding jari mencari kesalahan kepada insan yang bergelar bapa anak ku, begitu juga sebaliknya dengan si dia.

Cerita duka kami itu, kami tempuhi di dalam keadaan yang amat memeritkan. Melalui perkataan yang aku garapkan ini, mungkin tidak dapat kalian bayangkan kesukarannya. Punca yang meretakkan hubungan kami biarlah kami simpan di dalam diri kami sendiri. Kesedaran itu timbul apabila aku mengambil kira konteks penghidupan manusia yang tiada yang sempurna.

Selama 5 bulan kami berdua sengsara memikirkan keadaan kami berdua yang gagal menyatukan kembali hubungan kami. Pelbagai usaha dibuat termasuklah berjumpa pakar psikologi dan ditalbiah oleh kakak sulung ku dan suaminya! Aduh…. 4 jam itu amat menyakitkan dengan pendapat mereka yang kurang menyenangkan halwa telinga kami berdua.

Banyak juga nasihat yang berguna apatah lagi ianya adalah melalui konteks agama yang sememangnya baik untuk dijadikan panduan.namun cara pendekatannya salah sehingga merendahkan martabat kami sebagai penghibur dengan membabitkan keberkatan rezeki yang dikurniakan Allah Taala.

Perkara itu terlalu sensitif kerana Allah sahaja Yang Maha Mengetahui tentang segala sesuatu yang diberikan kepada setiap umatnya. Siapalah kita untuk menyoal kurniaanNya. Yang nyata, kita sebagai manusia yang tidak tahu menganalisa sesuatu situasi yang dihadapi. Sikap menjadi punca utama kepada segala yang kita lakukan. Jika sikap yang baik, maka baiklah yang kita perolehi dan begitulah juga sebaliknya.

Sessi di rumah Kak Shah itu bukanlah membawa kepada kebaikkan, malah menjadi lebih rumit. Aku percaya semuanya ada hikamhnya yang membawa kepada keberkatan yang telah Allah takdirkan buat kami.

Sepanjang berlakunya masalah itu, kak Shah merupakan perantaraan yang neutral di dalam menyelesaian masalah kami. Sungguh tulus hatinya mahu merebut peluang membuat pahala menyatukan rumahtangga kami.

Aku berterima kasih kepada si dia yang menghubungi Kakak Angkat ku itu tatkala masalah kami terlalu meruncing. Aku percaya si dia mengambil langkah itu kerana si dia mengetahui bahawa kakak angkat ku itu pandai memberi nasihat dari aspek agama dan kehidupan ini. kak Shah berusaha bersungguh-sungguh dan adakalanya kami berdua berpelukkan menangis mengenangkan apa yang telah berlaku dan bakal aku dan si dia tempuhi kelak.

Percaya atau tidak, aku dan si dia pernah dimasukkan ke hospital kerana terlalu tertekan dengan masalah kami. Si dia terkena sawan dan serangan asma yang teruk kerana fikirannya tidak mampu menanggung kesakitan lagi. Si dia tidak dapat menerima keadaan itu dan amat takutkan kehilangan aku. bukan itu sahaja malah, risaukan perniagaan yang kami jalankan bersama dan juga nama serta imej yang kami bentuk sehingga menjadi satu peluang perniagaan yang menguntungkan kepada kami.

Bayangkanlah betapa kecewanya si dia apabila aku tidak juga mahu pulang kepadanya setelah beberapa kali perbincangan dibuat.nasib baiklah serangan asmanya itu tidak terlalu teruk, walaupun hanya bebrapa jam di wad kecemasan, ianya tetap membimbangkan kami yang berada di sekelilingnya termasuk rakan baiknya.

Aku pula? Bagaimana keadaan aku? lebih parah! Aku yang terlalu sibuk dengan jadual harian program Mentor menjadi lebih rawan apabila aku sendiri gagal memujuk hati untuk kembali padanya! Terlalu jauh hati aku pergi. Di dalam diri ku bagaikan 2 manusia yang berbeza, fikiran tidak henti berfikiran logic dan mahu kembali tanpa memikirkan perasaan, tetapi tidak pula hati.

Aku sendiri terlalu hampa dengan rasa aku itu! terpaksa ku putuskan untuk tidak bersamanya lagi kerana memikirkan kebaikkan kedua pihak melalui hati dan perasaan.

Ini juga berkaitan rapat dengan prinsip diri aku yang terlalu telus di dalam menilai kehidupan melalui fakta bukannya fantasi. Jika telah tiada perasaan, kenapa perlu kita menipu diri sendiri, yang mana hanya mengundang keperitan. Aku tahu, kerana prinsip aku itu, aku akan mengecewakan individu yang lain.

Aku terpaksa juga kerana tidak mampu hipokrit kepada insan yang bernama suami. Lagipun, telah terlalu lama aku hidup di atas prinsip orang lain yang merubah diri aku menjadi seorang yang lain, bukannya menjadi diri aku sendiri.

Keputusan yang aku ambil mengundang kesakitan kepada ku juga kerana aku juga merasakan yang sama dengan si dia. Yang membezakannya ialah perasaan aku yang telah pupus sama sekali kepada si dia. Ada beberapa factor yang menjuruskan kepada keadaan ku itu, tetapi sekali lagi ingin aku nyatakan di sini – BIARLAH RAHSIA!

Aku juga dimasukkan ke hospital apabila rebah selepas satu majlis yang diadakan oleh penerbitan Mentor. Selama 3 hari di hospital, kerana tekanan, amat menyedihkan aku. aku menangis tidak henti-henti mengenangkan segala yang berlaku. Aku terpaksa dimasukkan ke hoapial kerana mengalami demam panas, bengkak buah pinggang, gastric; dan yang paling memeranjatkan aku dan juga doctor ku, aku ialah apabila mengetahui aku mengalami komplikasi jantung! Ianya dinamakan SVT.

Ia terjadi kerana terlalu tertekan dan terlalu memendam rasa. Aku dinasihatkan menjaga diri sendiri dengan membuat perkara yang aku suka lakukan dan tidak menghadkan diri ku berfikir perkara yang membabitkan perasaan hati. Ternyata tekanan atau lebih dikenali sebagai stress dapat membahayakan kesihatan.

Penyakit jantung ku itu semakin ketara apabila aku sentiasa diasak atau dipaksa tentang sesuatu perkara yang membabitkan perasaan yang tidak gemar aku lakukan.

Sepanjang di wad hospital itu, aku dikunjungi rakan-rakan ku serta Kak Shah yang sentiasa di sisi. Kami bagaikan ‘berparti’ di dalam bilik yang berkatil satu itu!

manakan tidak, kawan-kawan ku –seperti Hanim, Kak Zura, Inud, Kak Haza, dan Faizal membuatkan aku ketawa dengan setiap jenaka tentang sesuatu perkara yang kami bualkan malam itu. pihak hospital terpaksa menegur kami yang berdekah-dekah ketawa kegirangan!

Perkara itu sedikit sebanyak membuatkan aku gembira dan tidak dibelenggu dengan masalah tekanan emosi dan perasaan ku mengenai masalah rumah tangga ku.

Setelah aku pulih sepenuhnya, doctor membenarkan aku pulang – tetapi pulang ke rumah Kak Shah, yang telah 2 bulan aku bersamanya ketika itu.

Apabila berjauhan dengannya, aku gembira dan segala tekanan ku hilang. Simpati juga kepada si dia yang menjeruk rasa.

Aku kuatkan iman ku dan sentiasa berfikiran positif untuk memulakan semula hubungan kami dengan sentiasa berdoa serta sering bertadarus Al-Quran memohon keredhaanNya.

Kami berdua juga sering mengerjakan solat tarawikh di masjid apabila bulan yang suci itu menjengah. Kami bersama anak kesayangan kami bersama-sama menaiki kereta si dia setiap malam ke masjid yang paling aku suka kunjungi itu.

Di rumah Allah tempat aku menenangkan hati dan perasaan aku yang berkecamuk. Enam kali aku mengerjakan sembahyang istiqharah kerana mahukan kepastian keputusan yang mana satu harus aku pilih.

Ianya terlalu cepat ditunjukkan Yang Esa sementelah bulan itu tiada hijab untuk menghalang segala doa dan petunjuk yang hambaNya mahukan.

Semakin aku berserah, semakin aku peroleh pelbagai jawapan yang menunjukkan arah perjalanan aku selepas ini.

Ada juga antaranya yang mengecewakan aku, namun sebagai hambaNya, aku terlalu kerdil untuk mengelakkannya daripada berlaku.

Trauma yang teruk itu tidak dapat dibendung lagi. Pendirianku masih sama kerana aku gagal memupuk rasa cinta semula padanya.

Hajat kami berdua yang selama ini mahu melakukan solat sunat tersebut termakbul walaupun ianya bukanlah di dalam suasana hubungan yang harmoni. Kerap juga kami mengaji bersama, memohon petunjuk dari Allah di dalam membaik pulih hubungan kami.

Keputusan dibuat si dia pada tanggal 6 Syawal setelah meneliti segalanya.
Kami berbincang tentang beberapa perkara yang penting terutamanya mengenai kebajikan anak-anak. Kata sepakat kami perolehi. Si dia menerima pendapat awal ku dulu yang mahu menganggapnya sebagai kawan bukan lawan.

Si dia juga memberi beberapa syarat, antaranya aku perlu melepaskan jawatan di syarikat kami sebagai pengarah dan pemegang syer. Aku menghormati pendiriannya walaupun aku masih boleh bekerja bersamanya selepas tidak bergelar suami isteri.

Aku terima seadanya. Lagipun aku memang telah bersiap sedia menyusun beberapa perancangan jika perpisahan yang berlaku.

Kami lebih selesa selepas itu apabila segalanya telah capai kata sepakat. Kami senang berbicara kerana tidak lagi dibelenggu dengan masalah yang rumit.

Dalam masa yang sama, aku mula menyedari lama mana aku dan si dia boleh menyembunyikan kebenaran berhubung pergolakan rumah tangga yang kami hadapi.

Keretakan rumah tangga kami akhirnya dapat dihidu oleh media. Aku tahu bagaimana ia berlaku namun biarlah aku simpan sahaja siapa orang yang bertanggunghjawab membocorkan rahsia itu.

Aku yang sememangnya mempunyai hubungan akrab dengan rakan media, menjawab setiap panggilan mereka seperti biasa.

Diajukan soalan berkenaan permasalahan kami, aku hanya memberi jawapan secara umum. Kepada rakan-rakan wartawan yang rapat denganku, aku tidak mampu untuk menyembunyikan keadaan sebenar lantaran terpaksa berterus-terang supaya mereka faham.

Pada aku, apa sahaja pekerjaan kita, kita semua masih bernama manusia yang melalui kehidupan yang sama.

Nasib baiklah mereka amat memahami, namun tanggungjawab pada kerja terpaksa jua mereka lakukan. Aku faham situasi mereka yang serba salah, antara kawan dan cerita artis yang mahu disiarkan.

Aku tidak dapat menahan mereka daripada berbuat demikian, kerana itu tugas mereka. Aku juga tidak dapat lari daripada kenyataan hidup.

Sibuk dengan program Mentor membuatkan aku terjerat. Setiap episod dikunjungi wartawan hiburan yang mendapat jemputan untuk membuat liputan program yang unik itu. Apabila masalah aku dan si dia hangat diperkatakan, aku diminta untuk memberi komen.

Aku cuba lari, tetapi gagal. Keadaan itu amat perit sekali. Sudahlah perit menghadapi si dia, bertambah rumit apabila perkara itu diketahui media.

Memandangkan aku seorang sahaja yang memberi kenyataan, aku dituduh lagi. Si dia mengambil sikap berdiam diri daripada media tetapi tidak apabila bersama aku.

Jenuh aku menjelaskan padanya tentang keadaanku. Nasib baiklah kenyataan yang keluar ditapis dan diolah sebaik mungkin.

Aku seorang yang realistik, tidak suka dengan hipokrit. Apa yang betul-betul berlaku akan aku berikan jawapan jika ditanya. Pada aku jika menipu pada umum, ia hanya akan merumitkan keadaan dan dapat memberi tanggapan buruk orang lain tentang sikap diri.

Aku tidak mahu malu apabila hal sebenar di ketahui kemudian hari. Ketelusan dan sikap lurus bendul aku adakalanya mengundang pelbagai spekulasi. Susah betul, agaknya sudah menjadi resam kita, yang telus itu sering tidak dihargai, tetapi yang menipu pula dihormati.

Aku yang sedari awal risau dengan pengetahuan media, akhirnya merasa lega selepas cerita kami tersebar satu Malaya! Aku begitu tenang apabila certa masalah kami difahami media dan umum. Lebih lega apabila si dia juga ada memberi beberapa kenyataan yang menunjukkan media adil dan tidak berat sebelah.

Perjalanan aku menjadi mudah dan perlahan-lahan aku dapat memberi perhatian pada kerja ku. Masalah yang selama ini menghimpit aku dan si dia, semakin jauh.

Aku teruskan kehidupanku. Begitu juga dengan si dia. Kami lebih banyak meluangkan masa bersama anak-anak kami. Walaupun bergilir-gilir seminggu dengannya dan seminggu denganku, kami bahagia dan gembira.

Aku bersyukur dengan ketenangan yang Allah beri. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Terjadinya masalah ini, membuatkan aku lebih mengenali siapa kawan dan siapa lawan.

Ramai yang menganggap seseorang perempuan yang mahukan perceraian biasanya mempunyai hubungan dengan lelaki lain yang membuatkan kaun Hawa itu kuat.

Dan aku, sekali lagi tidak terlepas daripada tuduhan itu. Namun begitu, aku sekadar mendiamkan diri. Aku tahu siapa aku dan faham benar dengan diri aku. Lagipun siapa yang berani mencuba aku tambahan pula dengan imej bersih dan nama yang besar sebagai isteri seorang yang popular dan disegani.

Siapa yang berani, memang cari pasallah jawabnya!

Aku kuat kerana aku telah lalui pelbagai rintangan yang mengajar erti kesabaran dan ketabahan. Si dia salah satu sebab utamanya yang menjadikan aku kuat semangat.

Banyak jasanya yang aku hargai setingginya kerana membawa aku mengenali diri sendiri. Tidak dapat aku nafikan sepanjang menjadi isterinya, dia merupakan sumber kekuatanku.
Sungguhpun banyak perbezaan antara kami berdua, sedikit sebanyak ia membantuku. Aku kenal kehidupan, aku kenal resam hidup manusia, yang ikhlas, yang jujur, yang telus, dan yang hipokrit.
Si dia banyak memberi tunjuk ajar tentang kerjaya. Ini juga membuatkan aku mempunyai keyakinan diri yang tinggi yang sebelum ini tiada dalam diriku.

Aku menjadi positif dan lebih terbuka yang mana sebelumnya terlalu sensitif dan naïf. Terima kasih buat si dia!

Banyak yang aku pelajari sepanjang berlakunya perkara ini. aku percaya si dia juga sama. Pelbagai perkara yang berlaku yang ada di antaranya lebih memburukkan keadaan hubungan kami yang seumpama telur di hujung tanduk. Namun aku percaya, ada sebabnya.

Advertisements

3 Comments on “PART 12 : KISAH AKU DAN SI DIA….. APA YANG TERJADI SEBENARNYA…..

  1. semoga kak nurul bahagia dengan kehidupan baru bersama Kurnian Allah yg comel tu… :’)

  2. Terima kasih berkongsi cerita kak nurul. Baru faham

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: