PART 10

Aku berpeluang meluahkan segalanya kepada pengurus ku. Dia terdiam dan tergamam apabila aku memberitahunya yang aku telah mengetahui segala perancangan dan strateginya. Dia malu dan tidak mampu berkata-kata. Dia akur juga dengan keputusan aku untuk berkahwin dan aku terpaksa memecat jawatannya sebagai pengurus.

Bagi aku, aku tidak perlukan seorang pengurus yang mementingkan diri sendiri dan suka memburukkan artisnya yang di’kerja’kan siang dan malam sehingga tidak merasa kehidupan sendiri! Kami menyelesaikan masalah itu secara diplomasi, lagipun, hutangnya pada aku ketika itu agak tinggi. Dia berjanji melangsaikan semuanya.

Satu hari sebelum pernikahan kami, aku dikejutkan lagi dengan satu berita yang dibawa oleh Tok Kadi yang bakal menikahkan kami. Katanya aku tidak boleh berkahwin kerana kami tidak mendapat kelulusan dari pejabat kadi daerah Kuang (alamat tempat kami bernikah terletak di Selayang). Aku panicˆ, dan Tok Kadi yang kesian dengan keadaan itu menyarankan untuk aku segera ke Pejabat Kadi Kuang untuk mendapatkan tandatangan bagi meluluskan pernikahan kami. Aku lihat jam di dinding telah menunjukkan pukul 4 petang. Allah Maha Kaya, jika mahu melakukan perkara yang baik, dibukakan juga jalannya.

Kereta aku ketika itu digunakan oleh si dia kerana perlu membuat persediaan pernikahan sebelah keluarganya. Jadi, untuk ke Kuang, aku tak punya kenderaan ke sana. Ketika itu, abah yang baru sahaja tiba di rumah aku dari Butterworth, segera memberi kebenaran kepada abang aku untuk membawa aku ke sana. Aku yang sibuk sepanjang hari belum sempat mandi, segera mengambil kain tudung kepala, dan terus bergegas ke Kuang.

Mr. N seorang yang boleh tahan juga nakalnya. Walaupun usianya ketika itu di dalam lingkungan 40-an, beliau tidak ubah seperti lelaki yang berusia 20-an! Isterinya seorang yang sungguh baik hati dan suka menolong orang lain, serta suka membuat kerja-kerja kebajikan. Aku banyak menghabiskan masa dengan beliau. Aku juga banyak berubah apabila aku sentiasa diberi nasihat yang berguna dan bagaimana menangani masalah rumah tangga. Beliau memang seorang wanita yang hebat.

Bayangkan, ketika aku melahirkan anak pertama ku, beliau lah yang berada di sisi. seawal pagi lagi beliau telah berada di hospital. Kehadirannya bukan sahaja memberi semangat kepada ku, malah beliau turut sama menjadi ‘jururawat’ ku. setiap kali sakit menyerang, beliau akan menyapukan minyak di pinggang ku dan mengurut ku supaya sakit itu berkurangan. Ketika Ayu Nazirah menjengah ke dunia buat kali pertama, beliau lah yang menjadi saksi melihat kebesaran Allah itu. Aku banyak terhutang budi padanya. Ayu bagaikan anaknya sendiri. Begitu juga dengan anak-anaknya.

Terlalu banyak kenangan yang manis ketika kami bersama mereka dulu. Ya… bunyinya macam hubungan kami telah terputus. Memang benar. Kami tidak berhubung lagi. Ceritanya terlalu sensitive dan terlalu panjang. Semuanya gara-gara suaminya.

Tahun 2001 merupakan tahun ‘hitam’ dalam kehidupan rumahtangga ku. tahun yang sama juga aku begitu aktif bersenam di gim. Si dia mula risau dengan aku yang terlalu banyak menghabiskan masa dengan bersenam. Ianya adalah kerana aku bosan menghabiskan masa di rumah tanpa berbuat apa-apa sehingga aku semakin berisi. Lagipun Si dia tidak suka jika aku makin berisi. Atas keizinan si dia, aku memasuki kelab kesihatan wanita yang terkemuka di ibu kota KL. lagi pun, kerjaya aku sebagai penyanyi, sentiasa perlu kelihatan kurus dan cantik, aku mengambil keputusan untuk berbuat sedemikian.

Kerana terlalu komited dengan rutin senaman ku, menimbulkan syak pada suami ku. mana tidaknya, kawan baiknya itu kerap menghubungi aku melalui telefon dan selalu menghantar sms. Adakalanya, kami berhubung kerana perniagaan yang kami jalankan bersama (termasuk suami ku), dan ada juga hanya sekadar bersembang kosong. Pada aku, dia bagaikan abang dan kawan baik suami ku, tidak mungkin dia mempunyai maksud di sebaliknya. Aku ini pula adakalanya terlalu lurus dan jujur.

Kenakalannya membuatkan aku keliru. Dia suka berseloroh, perkara yang serius dijadikan jenaka dan perkara yang jenaka itu dijadikan serius. Memang pelik mamat sorang ni! Jika tidak dilayan panggilannya, takut pula dia nak bercakap tentang bisnes kami.

Melihatkan kami sentiasa berhubung, suami ku mula menyimpan rasa ragu sehingga menimbulkan syak. Kebetulan aku ini yang setiap hari keluar pagi ke gim, si dia terfikir yang mungkin aku ini masuk mana-mana hotel untuk bertemu dengan kawan baiknya itu! aku tidak pula pernah terfikir begitu. Hanya si dia yang mengenali kawan baiknya itu dengan jelas kerana mereka sering menghabiskan masa bersama. Aku pernah bersumpah kepadanya untuk membuktikan aku tidak pernah lakukan perkara itu, terlintas di fikiran pun tidak!

Mr N sentiasa menghantar sms di waktu pagi kepada ku. si dia menerima sms itu apabila dia memeriksa telefon bimbit ku. si dia menghubungi kawan baiknya itu untuk bertanya kepadanya tujuan menghantar sms sedemikian kepada ku. sms itu hanyalah ucapan selamat pagi, tetapi yang tidak sedap tu, bila ada perkataan honey di belakang ucapan itu! kita sebagai orang melayu, mendengarkan perkataan honey itu, sudah pastinya akan terfikirkan kepada sesuatu yang buruk berbanding maksud perkataan itu.

memang benar Mr. N agak tersimpang dari batas-batas yang sepatutnya. Dia mula menunjukkan rasa minatnya pada aku. pernah juga aku mengingatkannya bahawa dia seperti bapa ku sendiri dan aku amat sayangkan isterinya sebagai kakak ku yang banyak membantu aku. itulah lelaki, adakalanya hanya berfikir mengikut nafsu yang sikit itu, bukannya akal fikiran yang tuhan anugerahkan, yang sudah pasti jauh lebih banyak dari nafsu. Aku sendiri tidak pasti apa yang membuatkan dia jadi begitu.

Susah juga untuk aku mengelak lelaki buaya itu. si dia berada di dalam keadaan yang benar-benar mengelirukannya. Mana kan tidak, siang dan malam dia bersama bosnya itu sehingga dia sendiri tidak mengenali isterinya! Jelas aku seorang yang taat pada suruhan suami, tetapi dia tidak mempercayainya. Setahun kami sengsara. Aku merasa penat kerana aku perlu sentiasa memberi penjelasan di atas setiap pertanyaannya yang bertalu-talu itu. pernah juga kerana terlalu runsing dengan masalah itu, dia memutuskan untuk kami berpisah.

Ketika itu, aku benar-benar mengerti dengan sifat dan sikap si dia. Aku menolak keputusannya kerana aku tidak melakukan apa-apa kesalahan, apatah lagi curang pada suami. Kasih dan sayang ku padanya ketika itu masih sama, malah tidak pernah padam. Bagaimana pula aku mahu menjalinkan hubungan dengan lelaki lain jika aku masih cintakan suami ku! Oleh sebab itu, aku masih mahu menyelamatkan rumahtangga kami. Aku sabar dengan setiap tuduhan yang dilemparkan kepada ku. aku ‘telan’ dan aku terima demi rumahtangga yang kami bina.

pada hari si dia mendapat sms itu, aku memang sedari awal berniat untuk memberitahunya. Tetapi aku bimbang yang si dia akan kecewa dan tidak dapat menerimanya, kerana kawan baiknya itulah segala-galanya baginya. Sudah pasti si dia akan memutuskan hubungan dengan bosnya itu dan akan menjejaskan kerjayanya. aku serba salah. Kerana terlalu lambat bertindak, keadaan menjadi lebih rumit. Beberapa kali kami bersemuka dengan bosnya itu. terang-terangan bosnya memohon maaf dan berjanji tidak akan menghubungi aku lagi jika itu yang tidak disukai oleh suami ku.

niat aku menyelamatkan hubungan si dia dan kawan baiknya itu disalah ertikan. Padanya, aku mahu mereka berbaik supaya kami mudah berhubung lagi. Ternyata si dia langsung tidak mengenali aku. orang tua ku selalu berpesan, jika bergaduh macam mana sekali pun dengan kawan atau saudara mara, cubalah baiki dan jaga silaturrahim yang sememangnya dituntut agama. Emak selalu menyebut pepatah – ‘tarik rambut dalam tepung jangan sampai rambut terputus dan tepung berselerak’. Maksud pepatah itu amat dalam sekali jika ditelitikan.

Demi mendapatkan semula kepercayaan dan mahu menjaga hati suami yang betul-betul tidak tenteram ketika itu, aku terpaksa menyalahkan diri sendiri. Aku mengaku yang aku ini ramah terlebih dan melayan panggilannya. Aku terpaksa kerana tidak mahu lagi ditanya dengan soalan-soalan yang tidak sepatutnya. Aku berharap, jika aku mengaku bersalah, si dia akan kembali seperti sedia kala, tetapi sebaliknya. Si dia menjadi lebih teruk sehingga tidak mampu focus pada kerjanya.

Selepas itu dia tidak lagi menghubungi kawan baiknya itu, malah mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Aku cuba memujuknya, tapi keadaan semakin teruk. Aku terpaksa mengikut kemahuan hatinya yang tidak boleh lagi bekerja dengan bosnya itu. si dia mengambil perkara itu dengan serius sekali walaupun tiada apa yang berlaku antara aku dan kawan baiknya itu.

Aku dilarang menghubungi isteri kawan baiknya itu, bimbang mereka akan mengalami masalah yang sama dengan kami. Tetapi kawan baik ku itu dapat menghidu perubahan kami dan suaminya. lalu, beliau menghubungi aku dan bertanya apa sebenarnya yang berlaku. Itu pun setelah beberapa kali aku mengelak dari menjawab panggilan telefonnya. Aku yang tidak pernah berahsia dengannya menggunakan perkataan yang paling mudah difahami dan bercerita perkara sebenar. Dia menarik nafas yang panjang apabila mendengar segala cerita ku. menurutnya ia bukanlah kali pertama berlaku.

Selepas daripada itu, beliau ada juga menghubungi aku beberapa kali. Kami bersembang seperti biasa. Sehinggalah suaminya terpaksa berhenti kerja kerana mendapat tawaran bekerja dengan syarikat lain yang luar dari industri muzik. Khabar yang aku dengar dari kawan-kawan, mereka berpindah dan tinggal di Negara jiran kerana suaminya ditugaskan di sana.

Setelah perkara itu berlaku. Si dia tidak lagi kelihatan bersama kawan baiknya itu. ini menimbulkan kehairanan di kalangan penggiat dan orang kuat industri. Si dia hanya berdiam diri dan tidak bercerita kepada sesiapa kerana bimbang memburukkan kawan baiknya itu.

Aku dan si dia merasa kehilangan kawan baik kami. kami tertekan dan amat rindukan mereka. maklum saja, kami sering bersama dulu. Aku ralat dan kecewa. Semuanya kerana satu insiden yang tidak disengajakan berlaku, merosakkan hubungan kami. Pada aku, asalkan aku tidak menyimpan hati pada kawan baiknya itu, apa salahnya memaafkan dan tidak memutuskan silaturrahim yang baik itu. aku langsung tidak memikirkan kawan baik suami ku itu kerana aku lebih rapat dengan isterinya. Aku kehilangan tempat mengadu dan kawan baik yang banyak memberi motivasi kepada ku. sehingga ke hari ini aku masih mengingati beliau dan sentiasa mendoakan beliau di dalam lindungan Yang Maha Esa, serta dirahmati selalu.

Kami langsung tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka suami isteri selepas mereka berpindah. Pastinya anak-anak mereka telah meningkat dewasa. Pernah juga anak perempuan mereka menghubungi aku selepas setahun kejadian itu berlalu. Dia hanya Sekadar bertanya khabar dan memberitahu tentang dirinya yang telah menempuh alam remaja. Si dia agak ‘cuak’ apabila aku dihubungi keluarga itu lagi.

Setelah 5 tahun berlalu, aku tidak pernah jumpa atau terserempak dengan mereka. Malah, panggilan telefon juga tiada lagi. Aku berharap mereka sekeluarga bahagia dan suaminya mengambil iktibar dari apa yang berlaku.

Kematangan kita akan teruji apabila berlakunya sesuatu masalah yang perlu kita tangani. Ianya adalah satu ujian yang akan lebih mematangkan kita. Dari situ kita dapat mengukur kebijaksanaan seseorang di dalam menerima ujian tuhan. Nyata kesabaran itu penting di dalam mengharungi kehidupan.

Dalam kes aku ini, sebenarnya tuhan mahu menunjukkan bahawa jangan mengabaikan dan meninggalkan isteri selalu sehingga tidak mengenali dan memahami isi hatinya. Jangan terlalu mementingkan kerjaya dan kawan-kawan sahaja. Selepas peristiwa hitam itu, kami banyak berubah. Aku sering menjeruk hati kerana salah anggap si dia. Aku nekad untuk membuktikan aku tidak bersalah walaupun aku terpaksa mengaku di awal masalah itu, oleh kerana sebab-sebab tertentu yang sukar untuk aku terangkan. Si dia pula, tidak lagi ada teman yang sentiasa mahu bersama, sebaliknya banyak menghabiskan masa dengan ku. itulah hikmah di sebalik ujian itu. kami agak bahagia…….
KONTROVERSI ITU…………
Walaupun banyak yang kami lalui bersama sedikit sebanyak memberi kesan kepada hubungan kami, namun kami tetap bahagia kerana anak dan kerjaya kami. Kami tidak mahu mengenang kembali segala sejarah hitam yang pernah melanda rumahtangga kami. Kami hanya menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya. Kerjaya tidak pernah mengecewakan kami. Kejayaan demi kejayaan kami kutip bersama. Apabila nama semakin kukuh, kami tidak dapat lari dari gossip dan fitnah manusia.

Kontroversi, perkataan yang paling aku kurang gemar untuk disebutkan. Apatah lagi jika memang ianya benar-benar terjadi pada aku. tetapi sebagai artis, aku tidak mampu lari atau sembunyi daripadanya.

Sepanjang menjadi isteri orang, aku pernah menerima beberapa gossip yang benar-benar mengecewakan aku. gossip yang pertama adalah ketika kami baru setahun berkahwin. Ada satu surat khabar tabloid memaparkan kisah kami mempunyai masalah dan bercerai! Aku yang begitu berang sekali menghubungi wartawan dan jurugambar itu. aku kecewa dengan kenyataan itu yang hanya mahu menghangatkan jualan akhbar itu. aku hairan, dari mana agaknya wartawan itu mendapat cerita berkenaan, sedangkan dia agak rapat juga dengan suami aku ketika itu. malah ketika hari persandingan kami diadakan di Johor dulu, jurugambar dan wartawan inilah yang kami jemput untuk merakamkan gambar-gambar kenangan hari bersejarah kami.

Aku mendapat khabar itu dari seorang teman di bahagian pakaian TV3, yang mana ketika itu kami sedang bertanding di dalam separuh akhir Juara Lagu kategori balada untuk lagu ‘Aku Cinta Aku Rindu’. Berita itu diberitahu sebelum kami membuat persembahan. Mulanya aku tidak mempedulikannya, tetapi apabila berada di pentas, aku terpandang wajah wartawan itu, dan beberapa penonton sedang memegang tabloid itu yang diedarkan secara percuma! Apalagi, aku yang gagal menahan kemarahan dan kesedihan, menangis ketika sedang menyanyi! Aku yang terlalu banyak memendam rasa semenjak berkahwin, melepaskan rasa hati melalui insiden itu.

Kecoh satu Malaysia, dan ada yang marah kerana lagu itu tidak terpilih ke akhir pertandingan lagu yang berprestij itu. lagu itu menjadi pilihan pertama penerbit dan juri sebenarnya. Jenuh aku menjawab pelbagai pertanyaan wartawan tentang insiden itu.

Keluarga si dia amat risau dan begitu juga dengan keluarga ku. perkara ini terlalu sensitif dan dapat mencemarkan maruah keluarga. Aku berbincang dengan si dia dan memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang. Apabila mendengarkan kami mahu menyaman mereka, wartawan itu memohon maaf kepada ku. aku memberitahunya untuk menghentikan fitnah itu dan fikirkan juga tentang hokum agama. Mungkin aku tidak dapat berbuat apa-apa sebagai balasan kepada tindakan akhbar itu, tetapi Allah akan membalasnya. Si dia memohon agar aku biarkan sahaja perkara itu berlalu, jangan mengambil tindakan undang-undang. Si dia meminta aku memaafkan kawannya itu. aku maafkan dia dunia akhirat walaupun atas perbuatannya itu menjejaskan persembahan ku.

Selepas beberapa bulan, aku mendapat berita yang wartawan itu mengalami satu penyakit ganjil sehingga beliau lumpuh. Aku kasihan juga, tetapi dalam hati berdetik, mungkin agaknya aku antara orang-orang yang berdoa agar diberi petunjuk kepada wartawan lelaki itu, yang boleh tahan juga kesnya menganiaya anak gadis orang dan artis-artis lain. Apa boleh buat, kehendak Allah sebegitu. Kita hanya mampu berdoa agar diampunkan kesalahannya.

selepas aku melahirkan Ayu Nazirah pada tahun 1998, aku giat membuat promosi untuk album ke-3 ku. ketika majlis pelancaran album diadakan, aku mendapat berita yang kurang sedap didengar. Si dia digosipkan mempunyai teman wanita yang merupakan penuntut Uitm! Bayangkan bagaimanakah perasaan ku bila aku mendengar khabar itu! hanya mereka yang bergelar isteri sahaja yang memahaminya.

Majlis itu dihadiri ramai wartawan yang dekat dengan ku. seorang wartawan dan juga kawan kepada aku, bertanya sendiri kepada si dia, yang kononnya menerima panggilan dari peminat. Peminat itu memberi tahu yang beliau ternampak suami aku bersama seorang gadis yang dia kenali. Beberapa kali juga dia terserempak mereka berdua sedang makan di sebuah restoran di Shamelin. Aku naik bingung mendengar cerita itu. bila pulak si dia ni ada masa ke tempat itu? dia yang jarang membawa kereta sendiri, memang agak kurang arif dengan jalan raya di KL ni. Aku lah yang menjadi pemandu tetapnya, menghantar ke mana sahaja dia pergi.

Si dia memberitahu ku, perkara itu tidak aku saksikan sendiri, hanya orang yang bercakap. Mungkin itu satu fitnah, sangka ku. kami berdua melupakan gossip itu selepas aku mendapat satu jawapan yang pasti dari seorang teman wartawan di majalah tersebut. Focus kami tetap kepada kerjaya kerana tidak mahu memikirkan soal remeh.

Setibanya aku di Pejabat Kadi itu, aku terus masuk ke pejabat dan pegawai di sana menerangkan keadaan sebenarnya. Aku bernasib baik kerana Pegawai atau kadi yang perlu menandatangani surat itu masih berada di pejabat tersebut. Dia segera menandatangani dokumen itu dan memohon maaf di atas kesilapan kerana mereka tidak menerangkan pada kami prosedure berkahwin di luar kawasan alamat kad pengenalan kami. (alamat aku di P.Pinang & dia di JB).

Tidak semua ahli keluarga hadir di majlis pernikahan kami. Ada yang langsung tidak bersetuju sedari awal aku jadi penyanyi sehinggalah ke hari penting dalam hidup aku. aku terima keadaan itu kerana Allah Maha Mengetahui segalanya. Apa sahaja tanggapan mereka, aku tahu apa yang aku lakukan itu, demi menjaga maruah dan nama baik keluarga. Itu yang diajar dan dipesan abah ketika aku mula mengenali erti kehidupan.

Majlis pernikahan itu sederhana, tiada yang istimewa. Ada yang berkata bagaikan majlis pertunangan. Bagi kami, yang afdalnya apabila pernikahan itu sah, besar mana majlis itu, bukanlah ukurannya. Islam sendiri menuntut kesederhanaan. Aku tidak mengendahkan segala tanggapan orang.

25 Disember 1996 itu, hari yang paling sibuk dan paling gementar dalam hidup aku. segala persiapan aku lakukan sendiri. Elly sebagai pembantunya. Aku agak sedih kerana tiada seorang pun ahli keluarga yang bersemangat membantu menyiapkan barangan hantaran. Aku terpaksa ‘mengamuk’ dan merayu mereka membantu aku.

jam 2 ptg, segalanya selesai. Juru mekap ZulFazli telah bersedia untuk merias wajah ku yang keletihan kerana tidur yang kurang. Rombongan si dia tiba jam 3.30ptg, jam 4.30ptg kami selamat diijabkabulkan. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Bermulalah perjalanan baru hidup kami berdua sebagai suami isteri.
ALAM RUMAHTANGGA
Kami bertemu ketika usia muda, kami bercinta dan menemui jodoh yang awal. Aku bersyukur walaupun ada yang tidak setuju dengan keputusan kami untuk berkahwin dalam usia yang muda. Takdir tuhan tiada siapa yang boleh menyekatnya dari berlaku. Aku menyedari KebesaranNya apabila ketika itu aku mengenang semula perancangan awal kami yang asalnya mahu berkahwin pada tahun 2000. Segalanya berubah sekelip mata atas keizinanNya, yang berlaku pasti akan berlaku.

Nasib baiklah aku menemui seorang insan yang boleh membimbing untuk menjadi seorang insan yang bertanggungjawab dan berfikiran positif serta terbuka. Kami berdua amat tekun dan rajin berkerja, atas sebab itulah aku memilih Si Dia dan tidak kisah apabila berkahwin dengannya. Tipu jika aku katakan aku tidak punya rasa cinta dan sayang padanya, dan hanya memikirkan kerjaya dan minat di dalam bidang yang sama.

Kami melayari alam rumahtangga dengan cara kami sendiri. Dia seorang yang mudah dijaga, tidak banyak ‘songeh’! sungguhpun begitu, dia amat tertekan dengan peristiwa yang berlaku sebelum kami berkahwin dulu. Jadi, sedikit sebanyak menganggu kehidupan kami berdua. Aku tersepit di tengah-tengah, antara keluarga dan suami. Walau bagaimanapun, ianya dapat kami atasi. Kami bahagia, kerana fitnah dan tanggapan negatif telah lenyap, dan apa yang kami fikirkan ketika itu hanyalah – kerja!

Rezeki semakin bertambah setelah mendirikan rumahtangga. Si dia yang hanya bekerja sebagai jurutera bunyi di Utusan Audio, mendapat tawaran pekerjaan yang lebih baik, iaitu sebagai A&R consultant. Tawaran itu datangnya dari A&R Director Warner Music, Mr. N. Beliau menerima suami aku itu kerana percaya dengan bakat dan kebolehan yang ada dalam dirinya. Setelah itu, mereka berdua menjadi rapat sebagai kawan baik, malah seperti belangkas, ke sana ke mari bersama; sehingga digelar ‘Batman & Robin’!

Aku yang ketika itu menanti jawapan dari syarikat rakaman ku, yang hanya mengambil sikap berdiam diri untuk melakukan promosi album kedua ku, agak tertekan dengan keadaan diri ku. Aku cuba tangani sendiri masalah itu. pada aku kerjaya adalah segalanya. Jika sesuatu yang buruk berlaku pada kerjaya aku, apa lagi kerja yang boleh aku lakukan? Karier menyanyi adalah segalanya bagi ku.

Aku hampir berputus asa dan gagal mengawal emosi ku apabila orang besar syarikat rakaman enggan membuat apa-apa promosi untuk album kedua ku kerana pada sangkaan beliau, peminat tak mungkin menerima aku selepas aku berkahwin. Katanya aku bagaikan mendaki Gunung Everest untuk mendapatkan semula popularity yang pernah dibina! Aku amat terkejut dan kecewa. Betapa sempitnya pemikiran seorang yang mempunyai ilmu dunia yang tinggi.

Ketika itu, si dia lah yang banyak memberi motivasi kepada ku. Dia memberi nasihat dan mencari penyelesaian kepada kekusutan aku. dia sentiasa memberi kata-kata semangat kepada aku dan membuka minda ku dengan memberi beberapa idea untuk meneruskan karier, serta bagaimana untuk membuktikan bahawa artis yang telah berkahwin juga boleh berjaya. Dia banyak memberi pandangan yang positif supaya aku tidak berputus asa. Walaupun cara Si Dia menasihati menggunakan bahasa yang agak kasar dan keras, sebenarnya itulah yang membuatkan aku kuat dan bersemangat meneruskan kerjaya.

Aku tidak mahu kerjaya ku gagal disebabkan perkara yang baik yang aku lakukan. Bukannya popularity dan glamour yang aku cari, tetapi kepuasan dan mahu berkongsi bakat anugerah tuhan, yang aku jadikan kerjaya, periuk nasi yang menjadikan aku insan yang mengenali kehidupan. Tanpa bakat dan bidang ini, aku tidak tahu apa yang boleh aku lakukan. Aku mengambil keputusan meninggalkan syarikat rakaman pertama ku.

Dalam pada itu, rezeki kami tidak pernah putus. Aku banyak menerima undangan nyanyian dan dia pula menerima pelbagai tawaran untuk mencipta lagu. Kami sama-sama bertungkus lumus untuk memajukan diri masing-masing supaya kedudukan kami lebih selesa di dalam kerjaya kami.

Kehidupan peribadi kami, tidak berbeza dengan orang lain. Sungguh pun di dalam kerjaya, kami berdua amat bersatu hati; tetapi tidak pula dalam kehidupan kami sebagai manusia biasa. Maksud aku, secara peribadinya, kami berdua sungguh berbeza. Minat dan hobi yang tidak sama, mentality, personality, dan wavelength, segalanya berbeza.

Alam perkahwinan mana-mana pasangan mempunyai cerita yang tersendiri. Perjalanannya bukannya mudah, sentiasa dipenuhi dengan ujian dan dugaan dari tuhan supaya kita lebih tabah dan sabar. Dalam usia yang ‘hijau’ itu, aku belajar menjadi seorang yang matang dalam semua perkara. Setiap masalah kami cuba selesaikan bersama. Pada aku, permulaan perkahwinan kami tidak seperti orang lain menempuhi alam perkahwinan mereka.

Apabila kita tinggal serumah sebagai suami isteri, kita perlu berkongsi segalanya. Dalam perkongsian itu, mulalah semua ‘belang’ pasangan kita akan kita ketahui. Itu sebenarnya yang membuatkan aku belajar tentang sikap bertolak ansur. Tolak ansur itu amat penting kerana tidak ada lelaki dan perempuan itu, mempunyai perangai dan pemikiran yang sama.

Aku agak terkejut juga kerana dia tidak pernah menunjukkan sebarang perbezaan ketika kami di alam percintaan. Segalanya berbeza, yang membuatkan Kami kerap bergaduh. Di dalam pergaduhan itu,kami belajar mengenali hati budi masing-masing. Perit juga kerana dia mempunyai satu tabiat iaitu membebel, seperti yang selalu disebut lelaki yang mempunyai mulut perempuan.

Mungkin ramai yang akan terkejut apabila aku katakan di sini, 4 bulan pertama kami berkahwin, aku telah memohon dari si dia untuk melepaskan aku. ketika itu, aku telah dapat merasakan bahawa, kerana perbezaan yang ketara yang ada pada kami akan mendatangkan masalah yang agak merumitkan kemudian hari. Aku usulkan padanya, dan menekankan bahawa adalah lebih baik kami berdua menjadi kawan sahaja bukannya suami isteri.

Sudah pasti dia tidak mahu menurut cakap dan saranan ku! Apabila perbincangan tergantung, aku hanya menanggungnya seorang diri kerana tidak mahu membebani fikirannya yang ketika itu agak sibuk dengan kerja-kerja penciptaan lagu-lagunya. Aku menghormati bakat dan pendirian hidupnya. Jadi, aku perlu bersabar dengan keadaan dirinya. Baik atau buruk dia suami aku. aku menerimanya sebagai suami jadi aku perlu juga menerima segala tabiat dan tingkah lakunya.

Pada kawan-kawan Si dia lah tempat aku mengadu. Semenjak mengenali si dia, aku rapat dengan kawan-kawan baiknya. Antara mereka ialah Ujang, Dino dan isterinya Lin. Kak Lin banyak menasihati aku tentang kerjaya kerana beliau sendiri merupakan penyanyi dan pernah bekerja bersama beberapa penghibur tanahair. Suaminya Dino, seorang yang serius tetapi kelakar!

Tetapi kesemua mereka menjauhkan diri apabila si dia terlalu sibuk dan rapat dengan bos tempat si dia bekerja. Aku sering juga menghubungi mereka walaupun hanya melalui telefon, sekurang-kurangnya aku tidak memutuskan silaturrahim kami. Aku tidak faham dan mencari jawapan kepada tindakan mereka itu. dalam kesibukkan tugas masing-masing, kami renggang dan adakalanya tidak berhubungan langsung. Aku yang sememangnya tiada kawan yang ramai, merasakan kehilangan.

Aku cuba membetulkan keadaan itu dengan perlahan-lahan. Lebih memburukkan situasi ketika itu, apabila, kawan baiknya terlalu ‘demanding’. Beliau selalu menggunakan kuasanya sebagai boss, dan suka mengugut si dia untuk sentiasa bersama beliau. Aku sering ditinggalkan sendirian. Nasib baiklah ketika itu aku sibuk dengan rancangan Muzik TV, jadi, tidaklah aku merasa tertekan sangat. Untuk menghilangkan rasa bosan tinggal sendirian di rumah, aku yang amat sukakn kucing, membela 2 ekor kucing sebagai teman kesunyian.

Walaupun kucing tidak boleh berkata-kata, namun keletah mereka membuatkan aku ketawa sendirian adakalanya sesuatu yang mereka lakukan. Malah, aku bercakap-cakap dengan mereka. Baby, kucing jantan yang gagah tetapi manja. Dia seakan faham apabila aku bercakap dengannya. Kitty – Persian cat yang malas! Aku cukup bahagia walaupun kesunyian. Cukuplah ditemani 2 ekor kucing itu!

Baby hilang selepas satu tahun bersama kami. Aku sedih kerana baby seekor kucing yang cerdik. Setiap pagi dia yang akan mengejutkan aku dari tidur. Dia suka mencium ku dan tidur di celah ketiak ku! aku bagaikan ibu kehilangan anak apabila Baby tiada. Setiap pagi aku terngiang-ngiang yang baby akan mencakar pintu dan menggiau! Selepas itu aku tidak lagi membela kucing kerana kecewa dengan kehilangannya.

Ketika aku diterima merakamkan album dengan Polygram Records, Si Dia merupakan penerbit album pilihan pertama syarikat itu. lagu ‘Aku Cinta Aku Rindu’ merupakan lagu pertama yang dicipta oleh Si Dia. Lagu itu menjadi rebutan Warner Music apabila didengarkan kepada mereka. Malangnya mereka terlambat membuat keputusan mengambil aku sebagai artis naungan mereka. Apabila kami memberitahu rancangan kami yang lagu itu akan dijadikan duet, pihak syarikat itu merasa kecewa kerana gagal membuat keputusan lebih awal.

Proses memujuk Si Dia untuk menyanyi secara duet bukanlah mudah. Aku disarankan berduet dengan penyanyi Zamani, tetapi aku menolak sekerasnya kerana aku tidak mahu menimbulkan apa-apa kontroversi, tambahan pula Zamani pernah digosipkan dengan ku satu ketika dulu.

Aku yang merasa agak ‘jauh’ dengan si dia kerana kerjaya masing-masing, mendapat idea untuk berduet dengan Si Dia yang sememangnya mempunyai bakat nyanyian. Lagipun, jika duet bersama, pasti kami akan selalu bersama dan ini akan membawa kebaikan di dalam hubungan kami sebagai suami isteri. Aku mengusulkan idea ku itu pada Polygram Records. Jamil adalah orang yang pertama menerima idea ku. beliau merupakan pegawai perhubungan awam di sana ketika itu.

Si dia menolak pelawaan ku kerana padanya, dia hanya mahu menjadi komposer bukannya penyanyi. Aku menggunakan ‘kuasa’ ku sebagai isteri dan memujuknya dengan memberitahu jangan mempersiakan bakat yang tuhan anugerahkan. Ketika hidup bersamanya, aku menyedari yang Si Dia bukan sahaja mempunyai bakat mencipta lagu, malah boleh menyanyi, menulis dan melukis! Akhirnya, Si Dia tewas dengan pujukkan ku. Dia menerimanya dengan bersyarat, jangan jadikan lagu itu sebagai single pertama. Aku ikutkan kemahuannya. Tetapi lagu yang baik tidak dapat disorokkan jika peminat suka, mereka sendiri yang akan menjadikan sesebuah lagu itu popular.

Itulah yang dinamakan rezeki. Tahun 1998 memberi seribu makna kepada ku. Walaupun promosi album ke-3 ku itu terhad kerana keadaan aku yang sedang sarat mengandung, lagu duet itu tetap popular kerana sering disiarkan di corong-corong radio. Dengan kehadiran Ayu Nazirah, sedikit sebanyak telah menyuntik semangat yang kuat kepada aku dan dia untuk berusaha. Dengan lagu duet yang popular itu, kami tidak duduk diam. Banyak undangan persembahan yang mahukan kami berdua.

Bermulalah era pasangan duet suami isteri apabila lagu duet pertama kami itu memenangi anugerah lagu terbaik AIM pada tahun 1999. Ketika itu, kami sedar bahawa peminat bukan lagi mementingkan status untuk meminati seseorang artis, tetapi bakat dan lagu yang dinyanyikan.

Misi pertama kami, telah berjaya. Ternyata dakwaan dari sesetangah pihak itu meleset. Ini termasuklah orang kuat BMG Music ketika itu yang pada mulanya tidak bersetuju ketika mula kami berkahwin dulu. Apabila kami memenangi anugerah pertama itu, beliau datang berjumpa kami dan memeluk Si Dia sambil berkata, ‘I told you, you can do it”! hipokrit nya manusia! Aku hanya tersenyum, hanya beliau seorang sahaja yang mengetahui apa maksud yang dicakapkannya.

Apabila duet pertama itu mendapat sambutan, pihak Polygram yang ketika itu di beli oleh Universal Music, menerbitkan 1 lagi album. Kali ini album kompilasi yang memuatkan lagu-lagu popular ku. Diselitkan juga 2 lagu baru, dan satu lagu dijadikan duet. Duet yang kedua juga mendapat tempat di hati peminat. Melihatkan kejayaan demi kajayaan kami secara duet, pihak Warner Music tidak berdiam diri. Mereka segera memberi idea kepada kami untuk merakamkan album duet yang sepenuhnya.

Kami menerima baik tawaran itu dan menandatangani perjanjian bersama mereka selama 5 tahun. Penerimaan album duet pertama kami diluar dugaan. Kami digelar pasangan duet popular oleh syarikat rakaman dan begitu juga dengan pihak media. Oleh kerana album duet ini, kami selalu bersama ketika bekerja dan menghadiri persembahan pentas. Kami semakin akrab, bukan sahaja sebagai suami isteri, malah menjadi kawan baik dan paling rapat antara satu sama lain.

Kesibukkan kami berdua membuatkan kami jauh dengan anak kesayangan kami. Aku sebagai ibu begitu tertekan kerana sering meninggalkan Ayu di rumah bersama pembantu. Ayu amat rapat dengan ku kerana aku sendiri yang menjaganya selama 2 tahun pertama Ayu dilahirkan. Perjalanan hidup aku disusun Yang Maha Esa dengan baik sekali. Ketika kerjaya penyanyi kembali memuncak, Dia menemukan kami dengan seorang pembantu yang sungguh baik dan boleh diharapkan. Cuma, aku saja yang tertekan kerana telah terbiasa bersama Ayu sebelum kami mengambil pembantu. Sebolehnya, walaupun ada pembantu di rumah, aku mahu sentiasa dekat dengan Ayu. Ayu merupakan anak dan kawan baik aku. Ayu segalanya bagi aku. kehadirannya mengisi kesunyian aku yang sering ditinggalkan di rumah. Walaupun pada mulanya Si Dia amat sukar menerima kerana keadaannya yang belum bersedia, kami berdua redha dengan ketentuan rezeki yang diberikan Illahi.

Aku seorang yang sukakan kanak-kanak. Aku juga telah terbiasa dengan mereka kerana sewaktu kecil aku sering menjaga adik-adik aku yang ramai. Si dia, merupakan anak ke-2 dari 3 beradik. Jarak usianya yang jauh dengan adiknya membuatkan dia agak manja. Oleh kerana itu, si dia sukar untuk menerima apabila mendapat tahu aku telah mengandung. Aku amat kecewa sekali apabila mengalami keguguran kali pertama mengandung. Aku seorang yang aktif, memandu ke sana ke mari tanpa menjaga kesihatan diri yang sedang berbadan dua. Dengan tekanan yang dialami, lebih memburukkan keadaan. Aku sangkakan, aku juga sekuat emak. ketika emak mengandung, emak bekerja seperti biasa, pernah juga dia terjatuh, tetapi kandungannya tetap stabil.

Kami yang masih muda dan mentah, tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Si dia yang sibuk di studio rakaman, hanya menyarankan untuk aku menghubungi isteri bosnya, yang sememangnya sudah rapat dengan kami. Kay menjadi teman baik dan seperti kakak kepada ku apabila suami kami asyik ‘melekat’ bersama. Kay yang membawa aku ke hospital. Aku terus dimasukkan ke wad dan perlu menunggu doctor membuat pemeriksaan pada keesokan harinya. Aku keseorangan, tiada siapa menemani aku, hanyalah air mata. Aku tidak tahu apa yang bakal berlaku pada ku.
Setelah doctor menganalisa kandungan ku yang sudah mati, aku terpaksa menjalani prosedur untuk membuang kandungan itu. emak yang berada di kampung ketika itu, segera ke KL walaupun abah sedang sakit. Nasib baik emak ada, sekurang-kurangnya aku tahu apa yang akan dilakukan. Si dia hanya datang sesekali kerana terlalu sibuk dengan urusan kerjanya. 2 hari di hospital aku diizinkan pulang ke rumah. Aku berehat dan berpantang seperti baru bersalin.

Selepas 6 bulan berikutnya, aku mendapati diri ku mengandung lagi. Gembira tidak terkira! Aku nekad untuk menjaga sebaik mungkin untuk kali ini. aku makan dengan teratur dan jarang melakukan kerja berat. Dalam masa yang sama, aku sibuk menjalani rakaman album ke-3, jadi aku perlu banyak berehat. Sepanjang 9 bulan itu, aku mengalami pelbagai tekanan. Tekanan itu datangnya dari pelbagai pihak termasuk Si Dia. Ketika usia kandungan 3 bulan, aku didatangi seorang perempuan yang bekerja di dalam industri ini, yang memberitahu dia amat sukakan suami aku. memandangkan mereka kerja bersama, aku syak ada sesuatu yang terjalin antara mereka. Bertanya kepada si dia, aku tidak mendapat jawapan apa-apa kerana itu memang telah menjadi sikapnya. Dia hanya berdiam diri.

Ketika itu, kasih sayang masih menebal, jadi aku berusaha menyelamatkan rumahtangga dan mahu menjadi seorang perempuan yang sentiasa diinginkan Si Dia. Bukannya maksud ku di sini, si dia seorang yang sukakan perempuan lain. Perasaan ingin memperbaiki diri datang sendiri supaya hati suami tidak berubah dan mencari yang lain. Aku belajar bagaimana untuk lebih memahami dan menjadi yang terbaik untuknya.

Isu tentang wanita itu tidak lagi aku bangkitkan kerana si dia tidak suka untuk membincangkannya. Aku lupakan begitu sahaja, tetapi di hati tetap mempunyai keraguan tentang perkara itu. aku pujuk hati sendiri supaya menerima sahaja apa-apa yang bakal berlaku kelak. Aku tidak mampu melihat, hanya Allah sahaja Yang Maha mengetahui dan Melihat segala-galanya. Aku hanya berserah dan memohon kepada Allah supaya ditunjukkan jika si dia tidak setia.

Si dia agak berubah selepas mengenali kawan baiknya itu. pada aku kawan baiknya banyak mempengaruhinya. Kebahagiaan baru berkahwin hanya dirasai 4 bulan yang pertama sahaja. Si dia baik hati, tetapi dengan perbezaan yang ada pada kami membuatkan kami sentiasa mempunyai masalah komunikasi. Kami jarang berkongsi masalah kerana bimbang akan membawa kepada pergaduhan. Tempat mengadu aku, hanyalah pada Allah.

Kesabaran ku semakin menebal apabila aku menyerahkan segalanya kepada kekuasaan Allah. Aku jalani kehidupan ku seperti biasa bersama si dia. Dengan kehadiran Ayu, aku semakin sibuk menguruskan rumahtangga dan kerjaya. Pernah juga aku membawa Ayu bersama ke persembahan pentas, dan meminta emak menjaganya di belakang pentas ketika aku sedang beraksi membuat persembahan. Tidak kurang juga memohon bantuan emak dan bapa si dia menjaga Ayu. Ayu kerap kali dihantar ke JB kerana ketika itu kami tiada pembantu dan jadual yang padat. Ibu mertua ku seperti kawan karib ku. kami banyak bersongsi masalah bersama. Tambahan pula aku selalu pulang ke JB, membuatkan beliau rapat malah seperti ibu kan dung ku sendiri.

Setiap wanita yang berkahwin mempunyai niat yang sama, menjadi isteri yang terbaik dan solehah kepada suaminya. Aku juga sama, mahu lakukan yang terbaik kepadanya kerana hanyalah dia tempat aku bergantung selepas berkahwin. Aku seorang yang jujur dan taat dengan setiap suruhan mereka yang aku sayangi. Suami aku tidak terkecuali. Aku cuba menjadi seorang isteri yang perfect. Dia perfectionist, perlu sempurna dalam setiap perkara termasuk pekerjaannya. Jadi, aku perlu menjadi seperti mana yang dimahukannya. Lagipun abah pernah berpesan kepada semua anak perempuannya untuk menjadi yang terbaik dan taat pada suami apabila telah berkahwin. Kata-kata itu aku pegang sehingga ke hari ini. abah merupakan idola aku, aku rasa mereka yang lain juga menjadikan ibu bapa masing-masing sebagai contoh yang terdekat di dalam mengharungi kehidupan.

Aku kehilangan abah selepas 10 bulan mendirikan rumahtangga. Abah mula sakit beberapa bulan sebelum aku berkahwin. Abah menghidap kanser gusi yang mana pada mulanya hanya dianggap perkara biasa. Kami sekeluarga tidak sedar sebenarnya kanser abah sudah melarat. Aku pulang juga untuk menemui dan menziarah arwah ketika di masukkan ke hospital di Pulau Pinang walaupun hanya sekali dua. Aku terkilan juga kerana tidak dapat menjaganya sepanjang arwah tenat. Arwah menghembuskan nafas terakhir pada 3 Oktober 1997.

Pada hari yang sama, aku yang tidak mahu ke mana-mana, kerana diserang oleh satu perasaan yang resah dan gelisah. Cuba menghubungi emak untuk bertanyakan keadaan abah. Emak hanya memberitahu abah masih dalam keadaan yang sama. Aku tidak tahu apa yang berlaku pada diri ku. aku tidak dapat berfikir dan fikiran ku seolah-olah mati. Aku terlupa yang abah sedang sakit dan itu merupakan tanda-tanda ada sesuatu yang akan berlaku.

Aku meminta keizinan untuk pulang, tetapi si dia mahu turut sama. Dia tidak dapat meninggalkan kerjanya kerana hari itu adalah hari Jumaat dan hari bekerja. Jadi, kami putuskan untuk pulang bersama pada keesokkan harinya.

Malam hari, si dia risau melihatkan keadaan aku yang sedemikian rupa, dan mengajak aku bersamanya ke studio. Aku yang di dalam kebingungan itu, hanya mengikut. Jam 9 malam, aku menerima panggilan dari abang yang meminta kami pulang kerana keadaan abah agak tenat. Bagaikan mahu segera terbang pulang jika aku punyai sayap untuk berbuat sedemikian. Aku segera membuat tempahan tiket penerbangan. Waktu penerbangan yang terakhir telah ditutup pada malam itu. aku terpaksa membuat tempahan penerbangan pertama pada keesokkannya.

Selang beberapa minit. Aku menerima panggilan yang paling memilukan. Khabar dari abang buat kali kedua itu, benar-benar meruntun jiwa ku. abah telah tiada lagi. Aku bukan lagi menangis bahkan meraung dan memanggil-manggil abah. Nasib baiklah kawan baik ku, kay ada bersama. Dia memujuk dan meminta aku bersabar dengan ketentuan Illahi. Si dia hanya diam membisu dan tergamam melihatkan keadaan ku.

Di dalam kesedihan itu, aku terpaksa menunggu si dia menghabiskan kerjanya sebelum bertolak pulang ke Pulau Pinang. Malam itu, segala rasa bingung dan kepenatan hilang. Aku mahu segera pulang. Si dia memerlukan 1 atau 2 jam untuk melelapkan mata kerana keletihan. Aku hanya melihat dia tidur kerana aku tidak dapat pejamkan mata ku. setiap kali aku cuba, jelas terbayang wajah insan yang banyak berkorban itu.

Jam 5 pagi kami bertolak dan aku yang memandu. Kami tiba jam 8 pagi. Emak kelihatan sugul dan termenung di sisi jenazah abah yang kami sayangi. Aku segera mendapatkannya, aku peluk dan menangis sepuas hati. Aku gagal menahan kesedihan ku. emak sungguh tabah, sedikit pun air matanya tidak menitis. Aku terpaku di sisi abah. Tidak putus-putus aku mendoakannya, agar Allah memberkati dan merahmati rohnya. Si dia turut sama berbuat demikian. Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan di Masjid Kuala Ketil Kedah, tempat kelahiran abah. Arwah disemadikan bersebelahan ibu bapanya serta adik-adiknya yang telah dulu menyahut seruan Illahi.

Selepas ketiadaan abah, aku bagaikan kehilangan ‘pemerhati’ dan penjaga yang banyak memberi tunjuk ajar. Jelas terbayang semua pengorbanannya ketika aku bersendirian. Di dalam kesedihan itu, aku sentiasa memujuk hati dan memotivasi diri sendiri, yang aku juga bakal menemuinya satu hari nanti, cuma masa dan ketikanya yang belum pasti.

Emak di kampung bersama anak-anak yang lain, lebih merasai kehilangannya. Walaupun abah meninggalkan harta kepada kami, itu tidak sama dengan abah. Tawa dan tangisnya tidak lagi kedengaran. Sudah pasti apabila terpandang barangan peninggalan abah menyedihkan mereka. Emak kehilangan tempat mengadu. Abah lah yang selama ini menjadi kekuatan emak. Mereka berdua tidak pernah bergaduh dan sentiasa bersama menyelesaikan masalah yang ada.

Focus kami sekeluarga hanyalah pada emak. Hanya emak sahaja yang ada sebagai tempat mengadu. Setiap hari aku telefon emak bertanya khabar. Ternyata emak begitu tabah. Sedikit pun tidak ditunjukkan kesedihannya. Status aku sebagai isteri orang, menghadkan diri aku untuk bersama emak di kampung kerana tanggungjawab ku sebagai isteri, perlu dilaksanakan. Lagi pun Si dia lebih suka jika aku di rumah menunggu dia pulang bekerja.
Aku yang sedih tidak dapat berada di sisi ketika arwah menghembuskan nafas terakhir, memohon kepada Allah supaya, jika ada ahli keluarga ku yang pergi dulu selepas itu, biarlah aku sempat bersama mereka. Aku tidak berdaya menahan kesedihan apabila gagal berbuat demikian.

Hidup harus diteruskan tidak kira apa jua yang berlaku. Aku diminta untuk terus focus dengan kerjaya dan jangan terlalu bersedih. Perlahan-lahan aku dapat menerima keadaan itu. sudah tertulis yang aku tidak sempat bersama arwah di saat terakhir hidupnya.

Kak Shah pernah memberitahu, jangan ralat kerana mengikut cakap suami sehingga tidak dapat bersama arwah. Sepatutnya aku perlu berbangga kerana, atas tunjuk ajar orang tua, aku taat dan menuruti cakap suami. InsyaAllah, Allah memberi tempat yang baik kepada rohnya kerana itu yang telah dijanjikan olehNya untuk memberi ganjaran kepada setiap hambaNya yang menurut perintah agama.

Setelah mendengarkan kata-kata itu, aku sujud penuh syukur kerana tempat yang baik untuk ibu bapa ku di sana, adalah melalui aku! alhamdulillah…. Aku berterima kasih kepada si dia. Aku juga terharu dengan Kak Shah. Walaupun kami jarang sekali bertemu selepas aku berkahwin, dia tetap yang sama, seperti yang aku kenali dulu.

Kerjaya kami berdua semakin baik dan berkembang. Ini adalah kerana kami berdua merupakan satu-satunya artis yang berstatus suami isteri dan menyanyi duet bersama. Pasaran kami semakin membesar, kebanyakkan mereka adalah mereka yang berkeluarga. Aku bersyukur kerana idea duet itu menjadi dan membuahkan hasil. Semuanya adalah di atas keizinan yang Maha Esa. Kami berdua hanya berusaha supaya kami dapat hidup senang bersama.

Dalam kebahagiaan kami mengharungi rumahtangga, banyak juga dugaan dan liku yang terpaksa kami lalui. Aku banyak mendekatkan diri dengan Allah Taala. Kasih sayang Pencipta kita tidak pernah putus walaupun kita tidak pernah mengingati akan kekuasaanNya. Dengan cara itu, aku menjadi tenang dan sentiasa bersyukur dengan segala pemberianNya.
KAWAN BAIK AKU DAN DIA……….. dugaan yang besar!
Seperti mana yang aku ceritakan tadi, kami punyai ramai kawan setelah kami berkahwin. Si dia punyai ramai teman yang selepas itu kesemua mereka menjadi kawan baik aku juga. Antaranya adalah bos suami ku dan isterinya. Kami bagaikan satu keluarga apabila kami kerapkali berkunjung ke rumah masing-masing. Bukan sahaja dalam waktu kerja kami bersama, malah setiap hujung minggu, kami sentiasa meluangkan masa di rumah mereka. Persahabatan kami terjalin dengan baik sekali sehingga keluarga kami mengenali siapa mereka dan begitu juga dengan keluarga si dia dan aku.

Kontroversi kedua lebih besar, iaitu peristiwa yang meragut jiwa dan raga ku; yang memberi kesan yang mendalam. Kisah kawan baiknya itu dihidu media. Ada juga kisah itu dipaparkan diruangan gossip beberapa majalah tetapi apa yang ditulis mereka tidak tepat sama sekali. Ceritanya betul tetapi rencahnya salah! Kami tidak menjawab sebarang pertanyaan tentang perkara itu. sikap berdiam diri kami, membuatkan perkara itu tidak diketahui awam, hanya kami dan kawan-kawan terdekat sahaja yang tahu.

Selepas berjaya menepis beberapa gossip yang mahu dijadikan kontroversi, kami tidak lagi diusik media. Hanya cerita-cerita ringan sahaja yang keluar jika mereka mahu mengusik kami. Namun, ianya tidak lama, dalam tahun 2004, sekali lagi kami diusik tetapi kali ini tentang si dia.

Satu fotografi diaturkan oleh PR kami Aida Husin, di atas permintaan wartawan utusan Muzllina Abu Bakar. Jarang sekali cik Lin ni nak interview artis jika tidak ada cerita yang menarik perhatiannya. Aku yang memang mengenalinya dari tahun pertama menyanyi, tidak menolak. Lagipun lama juga aku tidak bertemu dengannya.

Pertemuan itu berjalan dengan baik sehinggalah aku dan dia diajukkan soalan yang membuatkan aku ketawa besar! Wartawan yang tegas itu meminta komen dari si dia yang dikatakan mempunyai hubungan yang intim dengan orang syarikat rakaman kami! Muka si dia merah padam, dan kak lin agak kehairanan melihatkan aku ketawa! Mana tidaknya, bila ditanya dan mahu diselesaikan dulu dengan cara yang baik, tidak si dia hiraukan. Bila dapat dihidu media, aku ketawalah.

Aku sememangnya sedari awal mengetahui tentang perkara itu, menjangkakan ada sesuatu yang istimewa terjalin antara mereka, cuma aku tidak tahu sejauh mana. Mungkin mereka hanya rapat sebagai rakan kerja tetapi orang luar memandang serong kerana wanita itu seorang yang boleh tahan juga manjanya! Lentok liuk tubuhnya itu adakalanya mengundang syak wasangka orang.

Si dia cuba menjawab soalan itu dengan berkata tak mungkin dia mempunyai hubungan istimewa dengan kakitangannya. Dia mengalih pandangan wartawan itu ke dalam syarikat perniagaan kami yang baru dijalankan, dan bukannya dengan wanita yang comel itu. aku yang dah ‘immune’ dengan cerita itu, langsung tidak mengambil pusing. Hanya si dia yang risau dan bimbang aku akan mencari bukti. Tetapi aku, mengambil langkah berdiam diri dan hanya bertanya kepada Elly dan kawannya yang merupakan seorang Dato’. Dato’ itu ada bersama ketika mereka mengatur pertemuan untuk merancang satu majlis untukku.

Menurut Dato itu, memang jelas nampak mereka mesra, dan wanita itu melayan si dia bagaikan seorang yang istimewa. Mendengarkan ceritanya, aku yang terbiasa dengan cerita itu, hanya memegang kesabaran yang ada dalam diri ku. aku ingatkan diri ku, jangan mempercayainya kerana Dato’ itu pun boleh tahan juga dengan cerita-cerita rekaannya.

Cerita itu keluar di akhbar selepas beberapa hari dari pertemuan kami itu. selang beberapa hari, si dia membuat surprise birthday party untuk ku. ianya diadakan di sebuah rumah Dato’ tersebut. Si dia sekali lagi diajukan soalan yang sama dari wartawan Bernama. Kali ini merah padamnya lebih ketara. Aku hanya mendengar jawapannya yang diberi kepada wartawan itu. malah, ada juga aku cuba ‘backing’ si dia.

Aku yang sememangnya dah ‘letih’ melayan kontroversi dan gossip orang luar, menganggap perkara itu tidak berasas kerana terlalu mempercayai si dia. Sikap aku yang suka berserah dan pasrah kepada Illahi membuatkan aku sabar dengan setiap yang aku tempuhi. Lagipun, sikap si dia banyak membuatkan aku kuat dan tabah.

Memandangkan kami tidak melayan gossip itu yang hangat diperkatakan dikalangan wartawan media, cerita itu lenyap. Orang luar hanya memerhati hubungan kami. Lagipun ketika itu, kami berdua terlalu sibuk dengan syarikat kami yang baru sahaja ditubuhkan.

Adakalanya sikap berdiam diri dari menjawab pelbagai spekulasi membawa kebaikkan. Kami berdua hidup di dalam dunia kami kerana tidak mahu mengetahui apa yang berlaku di dunia luar yang boleh mengganggu konsentrasi kami pada kerjaya dan bisnes. Fikiran kami dipenuhi dengan perniagaan yang dijalankan yang kami anggap lebih penting untuk difikirkan berbanding soal remeh seperti gossip-gosip yang diadakan. Jadi, aku tidak menghiraukan kata-kata orang.

Bagi aku, hanya aku saja yang tahu kebenarannya kerana aku yang hidup dengannya. Cerita apa sekali pun yang timbul, selagi aku mampu bertahan, aku terima segalanya walaupun adakalanya hati aku merana. Selagi ada cinta, selagi ada kesabaran, akan aku cuba menepis segala cerita yang boleh memburukkan si dia, kerana adalah menjadi tanggungjawab isteri untuk menjaga nama baik suami.

Biarlah menjadi tanda tanya kenapa aku sedemikian. Si dia tidak buruk, hanya sikap kami berbeza. Biarlah menjadi rahsia dan biarlah aku saja yang tahu……….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: