PART 1

Aku dilahirkan tanggal 27 Julai 1977, jam 5:40 pagi, di Hospital Bukit Mertajam, Butterworth Pulau Pinang. Aku anak yang ke 8 dari 15 orang adik beradik. Mak namakan aku Noorulhuda. mengikut ceritanya, berkenan dengan seorang doktor yang bertugas di Jitra Kedah, ketika mak menghadiri kursus jururawat di sana.

Kata mak, doktor itu, lemah lembut, hitam manis, dan sentiasa tersenyum. Itu yang buat mak aku berniat, mahukan anak dalam kandungannya itu, dinamakan dengan nama yang sama dan harap-harap punya rupa dan kerja yang sama! Mak memang mempunyai harapan yang tinggi untuk setiap anak-anaknya. Aku rasa, wanita lain juga begitu.

Aku dibesarkan dalam suasana yang sederhana. Segalanya sederhana. Ini yang mengajar aku erti kesabaran, tolak ansur dan bersederhana dalam segala hal. Aku bersyukur dengan apa yang telah ditakdirkan Illahi.

Waktu kecil, zaman yang sungguh menyeronokkan. Seingat aku, aku seorang kanak-kanak yang periang, tak banyak songeh, aktif, dan boleh tahan nakal! Pada masa itu, aku ada dua orang adik di bawah aku, Norasyikin dan Norhidayah. Beza umur kami hanya 1 tahun di antara satu sama lain. Syikin tinggal dengan atok semenjak dilahirkan, sehingga berusia 7 tahun. Syikin pindah dan tinggal bersama kami selepas itu. Sebelum Syikin tinggal bersama kami, Hidayah merupakan adik yang bongsu. Beza umurnya dua tahun dengan aku, dia yang paling kecil, so manjalah sikit. Aku tak geng sangat dengan dia, sebab pada aku dia lembik sangat, aku lasak dan kasar, tak sesuai!

Kami sekeluarga, seramai 7 orang tinggal di kuaters kerajaan iaitu Klinik Desa yang terletak di Kampung Selamat Tasek Gelugor. Emak dan abah berpindah ke kampung tersebut, selepas emak ditugaskan di situ. Menurut emak, ketika pindah ke situ, aku masih di dalam kandungan. Beberapa hari tinggal di situ, aku dilahirkan.

Kampung Selamat merupakan sebuah kampung tersusun. Di sebelah hadapan kampung tersebut, dipenuhi dengan penduduk berbangsa melayu, di bahagian tengah, penduduk berbangsa Cina manakala di bahagian belakang pula, dipenuhi dengan penduduk India. Emak cukup terkenal di kampung kerana sikap ramah dan suka menolong penduduk di situ. Bukan sahaja kerana tugasnya sebagai jururawat memerlukan kesabaran yang tinggi, tetapi emak sememangnya seorang insan yang baik hati serta ikhlas. emak sanggup berkorban demi kesenangan orang lain serta komited dengan tugasnya. Nama emak gah serata kampung, cukup dikenali. Jadi, kami sebagai anak tidak boleh melakukan perkara-perkara yang mampu mencalarkan imej baik emak. Jika perkara sedemikian berlaku, khabar itu akan cepat tersebar ke serata kampung dan akan memalukan emak dan abah.

Emak punyai ramai kawan baik semenjak tinggal di Kampung Selamat. Antaranya, pasangan Pak Mat dan Kak Timah, Makcik Esah dan Pakcik Ibrahim. Keluarga mereka ini banyak membantu emak kerana emak juga sering membantu mereka di dalam segala hal.

Keluarga Makcik Esah dan Pakcik Ibrahim terutamanya, paling rapat dengan kami. Ini adalah kerana mereka sekeluarga membantu emak menjaga dan mengasuh kami yang masih kecil ketika emak keluar bekerja. Rumah mereka menjadi rumah kedua kami. Tambahan pula, Makcik Esah juga mempunyai keluarga besar seperti kami. Anak-anaknya sebaya kami dan merupakan kawan baik kami.

Aku membesar seperti kanak-kanak yang lain, punya kawan, punya aktiviti sendiri. Aku minat dan mempunyai hobi menyanyi dan menari sedari umur 6 tahun. Aku mula menyedari tentang bakat aku apabila kawan-kawan emak atau kakak-kakak aku selalu gemar meminta aku menyanyi dan menari. Ketika itu, rancangan televisyen terhad, waktu siaran hanya akan bermula jam 4 petang. Sebelum siaran bermula, stesen tv menyiarkan lagu-lagu instrumental. Setiap petang, dari jam 3-4petang, kakak-kakak ku dan adik ku akan berada di depan televisyen dan mereka meminta aku menyanyi dan menari! Aku amat suka sekali apabila diminta berbuat demikian, bagaikan satu penghargaan yang tidak ternilai! Kerana keadaan sedemikianlah membuatkan aku semakin menyukai muzik dan tarian, serta menyimpan angan-angan untuk menjadi seorang yang diminati ramai.

Pernah juga sesuatu yang tidak diduga berlaku. Oleh kerana aku selalu diminta menari dan menyanyi di hadapan tv, adik aku, Hidayah berkecil hati, kerana dia juga sukakan muzik tetapi tidak diberi perhatian oleh kakak-kakak ku. Kerana terlalu geram, HIDAYAH mengambil cawan kaca yang disimpan emak di dalam almari berhampiran tv, dan mengetuk kepala ku hingga luka! Aku yang asyik menari, mulanya tidak perasan, selepas kena ketuk barulah terasa sakitnya. Apa lagi, ‘penghibur petang’ kena MC lah hari itu! Bila difikirkan semula, tidaklah pula aku marah atau menyimpan dendam pada adik aku itu, kerana ketika itu dia hanya berusia 6 tahun, belum memahami apa-apa.

Masih segar diingatan, zaman naïf ku ketika mula mengenali dunia. Segalanya amat aneh pada aku. semakin aneh, semakin aku ingin mengetahui tentang sesuatu yang aku rasa perlu aku tahu. Aku ni berani sangat. Sesuatu perkara terutamanya yang perempuan takut lakukan, aku akan cuba lakukan. Bagaikan tercabar apabila aku disamakan dengan perempuan yang mungkin ada yang lembik! Adalah menjadi ‘pantang’ aku apabila ada yang suka merendahkan kebolehan seorang perempuan. Sebab itulah agaknya aku kasar dan agresif. Aku ni kan terlebih aktif! Emak ada juga menegur jika melihat aku terlalu kasar. Walaupun aku begitu, aku tetap mempunyai sifat lemah lembut. Kasar hanya pada sesuatu masa sahaja, tidak selalu.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: