TERIMA KASIH SINGAPURA!… TERIMA KASIH SEMUA!

Alhamdulillah.. segalanya berjalan lancar untuk Hari Ibu yang telah diadakan di Kota Singa pada 9 Mei yang lalu. Terima kasih di atas segala doa yang dihantar buat aku dan juga team yang bekerja. Sayangnya aku rasa buat semua yang tidak dapat hadir. Aku tahu ada setengahnya kerana tanggungjawab rumah tangga, anak-anak dan ada juga kerana jarak yang jauh. Tak apa.. Ada rezeki lain nanti, dapat juga bertemu dan menghiburkan kalian yang tidak dapat hadir tempohari.

Sangat indah memori itu. Balmoral Ballroom di Royal Plaza on Scotts, dihias indah sempena dengan persembahan aku hari itu. Ada juga rasa gentar dan sama juga dengan rasa teruja. Persembahan itu aku mahukan di dalam suasana yang sangan intim. Aku dapat meluahkan apa yang aku mahu luahkan – buat ibu, aku, dan juga semua teman serta peminat. Tidaklah 100% diluahkan rasa. Hanya sedikit.. Cukup untuk mengundang sebak di dada.Rindu pada arwah mak, keluarga; rasa pengorbanannya, pengorbanan aku, masa dan juga keletihan serta kepenatan di dalam segalanya. Itu antara beberapa rasa yang ada di dalam hati aku. Nak mengadakan sesuatu acara, ianya bukanlah mudah. Pengalaman yang sangat menarik. Apa-apa pun aku sangat gembira kerana persembahan berjalan dengan lancar.

Di belakang tabir juga, boleh dikatakan 90% sempurna. Terima kasih kepada team aku yang bekerja keras untuk acara tersebut. Siapa lagi kalau bukan Ina Mohd dan juga Ikhsan Ismail. Ditambah pula dengan Zach, pembantu kepada Dee Jangan Ketawa – segalanya berjalan dengan baik.

Bekerja dengan seorang yang professional seperti Dee, aku sangat bahagia. Dia tahu apa yang dimahukan. Aku patut bekerja dengan seseorang sepertinya kerana ianya boleh membuatkan aku juga seorang yang professional dan mahukan kesempurnaan; sama dengan apa yang dipraktikkannya selama ini. Terima kasih Abang Dee a.k.a Cik Timah. Satu persembahan yang sangat baik dan semua peminat serta penonton sangat terhibur. Ianya membuatkan majlis kami sangat berseri.

Aku menyanyikan 12 buah lagu… Di dalam senarai, aku sepatutnya menyanyikan 15 buah lagu. Persembahan terbahagi kepada 3 set. Set pertama ditujukan khas buat para Ibu. Set kedua pula aku hiburkan semua hadirin dengan lagu-lagu yang fun dan bisa menari. Ada juga beberapa penonton diajak ke pentas untuk sama bergelek!

Set ketiga pula, adalah set untuk aku. Lagu-lagu aku dan cerita aku. Set yang terakhir ini yang membuatkan aku lebih sebak. Susah nak jelaskan apa yang buatkan aku mengalirkan air mata. Menyanyikan lagu Bahasa Perancis yang berjudul “Je Ne Vous Oublie Pas” yang membawa maksud, “aku tak melupakan kamu” atau dalam Bahasa Inggeris “I am Not Forgetting you”; lagu ini membawa maksud yang sangat mendalam buat aku.

Rasa aku untuk peminat, usia 20 tahun dalam nyanyian, suka duka, yang menyokong, yang membenci, yang memfitnah; tentang kehidupan aku secara peribadi – semuanya seperti diletakkan di dalam satu lagu tersebut. Semua rasa itu sebenarnya mengajar aku dan menjadikan siapa aku hari ini.

Begitu juga dengan pelbagai rasa lain yang aku dan Ina alami sepanjang merancang dan membuat acara ini. Memang ianya tak besar, tetapi cukup memberi ajaran serta membuatkan kami kenal akan sesuatu.

Bagi aku pula.. Sebalik acara ini, aku menjadi lain. Aku tahu siapa yang patut dijadikan kawan dan siapa yang patut dijauhkan. Aku hilang kawan yang boleh dikatakan rapat juga. Kami kenal tak lama pun. 6 tahun sahaja. Tak apa… Manusia bisa berubah mengikut sesuatu situasi. Itu yang berlaku padanya. Aku pun tak suka nak kawan dengan orang yang suka sangat berkira dan suka mengungkit. Berkawan, tak perlu berkira dan mengungkit. Biarlah dia sendiri. Aku pun bukan macam yang dulu. Asyik nak jaga hati orang je.. Orang tak jaga pula hati kita.

Apa-apa pun, semua yang berlaku ada hikmahnya. Aku bersyukur kerana aku dapat belajar…. lagi dan lagi… Kalau tak buat salah, kita takkan berkembang.

Dalam masa yang sama, aku belajar juga untuk membahagikan masa antara kerjaya, keluarga dan anak-anak. Dua anak kecil – ianya sangat mencabar! Aku tak tahu bagaimana arwah Mak aku dulu bekerja sambil menjaga anak-anak.

Kami semuanya 13 orang. 3 anak dilahirkan dalam 3 tahun berturut turut. Ianya tak mudah! Aku tahu kerana aku ada dua anak kecil yang beza umurnya sama dengan adik beradik yang arwah mak lahirkan.

Beza aku dan mak – arwah bekerja setiap hari. Aku hanya ada beberapa kali di dalam seminggu atau sebulan. Kedua kami perlukan stamina. Aku tak tahu dari mana datangnya kekuatan arwah untuk menjaga kami sambil bekerja serta menguruskan rumahtangga.

Seingat aku, adakala mak memang keletihan selepas bekerja. Arwah akan ambil masa selama setengah jam untuk berehat. Kadang-kadang tak ada langsung masa. Tambahan apabila kami semua masih kecil.

Apabila ada antara kami yang meningkat dewasa, bolehlah bergilir membantu mak. Ada juga kakak dan adik aku yang ambil giliran ponteng sekolah. Semuanya demi membantu mak. Masa tu aku pun buat juga. Adik-adik terlalu kecil. Kami tak ada pembantu. Jadi, aku dan adik-adik yang di bawah akulah yang menjaga.

Itu antara kenangan dengan arwah mak yang takkan aku lupakan. Kini, bila dah jadi ibu, baru kita tahu apa yang mak kita rasa semasa membesarkan anak-anaknya. Semoga Allah ampunkan dosa-dosanya dan diberikan syurga buat arwah mak.. Amin..amin…

Berbalik kepada persembahan aku, 3 lagu terpaksa ditolak kerana kesuntukkan masa. Kali pertama buat acara sendiri, ada beberapa perkara yang terlepas pandang. Masa yang diberi hanya sehingga 5.30 petang. Aku dan Ina ingatkan sehingga 7 malam. Kelam kabut dibuatnya. Tapi Royal Plaza on Scotts sangat professional.

Walaupun ada acara lain yang menunggu untuk dimasukkan ke dewan itu selepas persembahan aku; mereka tunggu sehingga aku selesai semuanya. Haru biru juga keadaan. Sepatutnya ambil gambar dengan semua hadirin di atas pentas. Selesai saja lagu terakhir, langsung dibukakan pentas – hanya dalam masa 2 minit!

Tak apa. Secara professionalnya, mereka menjalankan tugas mereka juga. Apa yang dijanjikan, harus ditunaikan. Jadi, semua kami bergambar di luar. Nasib baik tak hujan!

Alhamdulillah semuanya telah selesai. Tiada masalah yang besar. Hanya beberapa kesilapan di sebalik tabir yang tidak menjejaskan persembahan dan keseluruhan acara pada hari itu.

Alhamdulillah. Sekali lagi aku ingin mengucapkan ribuam terima kasih kepada IGNS Holidays Sdn Bhd yang sudi menaja serta membawa kami semua ke Singapura.

Satu pengalaman yang tidak mungkin kami akan lupakan. Semoga Allah saja yang membalas jasa baik kesemua mereka yang bermurah hati membantu acara kami.

Terima kasih kepada Syamil yang menaja busana untuk persembahan aku itu. Juga kepada jurumekap, Bie Ucu. Thank you for making me look good! Ianya membantu menaikkan tahap keyakinan diri aku untuk membuat persembahan!

Kepada semua yang hadir hari itu, semoga kalian terhibur dan insyaAllah kita jumpa di acara yang akan datang. Selepas ini sibuk merancang acara bulan Oktober pula. Teruja juga untuk acara itu. Semoga menjadi, dan doakan ya!

Ada beberapa gambar yang dihantar oleh teman dan juga peminat. Aku letakkan di sini sebagai tatapan kalian!

 

 

Advertisements

7 Comments on “TERIMA KASIH SINGAPURA!… TERIMA KASIH SEMUA!

  1. Jelessssss…
    apa2pun tahniah; berjaya membuat persembahan solo selepas pantang..betul2 memerlukan usaha yg gigih.

  2. alhamdullilah …tahniah sis Nurul. Bravo to u n ur team.

  3. Pingback: TIBA MASANYA! … JENG…JENG.. JENG… |

  4. alhamdulillah n tahniah Nurul. keep up a good work n wish you all the best for upcoming program.

  5. Pingback: STOP IT! …. BETULLAH TU! |

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: