FASA INI…. MEMBUNUH KU…

Petang Ahad begini… enaknya… Minggu ini agak tenang.. Tak ada show dan masa hanya untuk anak-anak dan suami.. Alhamduillah.. Penat semalam belum habis. Tak kisah. Tidak terasa sukar nak menulis atau nak buat apa -apa yang lain kerana happy. 3 lelaki dalam rumah ini sedang beradu. Aku pun patutya nak juga tidur. Tapi rindu pulak nak menulis. Macam ada satu cerita je nak tulis. Lagi pula, ada sesuatu yang aku dengar yang langsung menggamit memori.

Semalam adalah majlis kejutan harijadi salah seorang teman  baik. Zahida Rafik yang aku kenali semenjak 5 tahun yang lalu, menyambut ulang tahun ke 40 tahun ini. Aku tabik dengan kawan aku yang satu ini. Harijadinya disambut dengan doa selamat dan sedekah jariah kepada anak-anak yatim dan pada mereka yang memerlukan. Itulah yang sebenarnya Zahida Rafik. Tidak pernah melupakan mereka yang susah. Harus dicontohi semua. Semoga rezekinya dilipat gandakan oleh Allah Taala dan diberi kesihatan yang baik. Amin…

 

Jenuh juga kenalan aku dan Zahida  menunggu dua minggu untuk buatkan sesuatu padanya. Sebolehnya dia tidak mahu. Cukup dengan keluarga baginya. Tapi kami kawan-kawan ni, tetap berdegil! Hahaha.. Mana boleh tak celebrate somebody so nice and she has touched so many hearts. Kami berasa perlu hargai susuk tubuh yang bernama Zahida Rafik.

Dah pun selesai semalam. Memang dia terkejut habis! Jenuh jugalah nak ‘tipu’ supaya dia datang ke tempat yang dijanjikan.

Itu satu cerita… Di dalam banyak-banyak cerita semalam (bukanlah nak jadi kepochi – walaupun adakala aku kepochi! Hahahha)  Terdengar sesuatu tentang seorang artis tu. Aku tak boleh nak sebut nama. Maaf. Bila dengar ceritanya, aku teringat cerita yang pernah berlaku pada aku dulu. Bukannya cerita apa.. Soal orang yang bekerja untuk artis iaitu pengurus, pr atau pembantu.

Kata seorang teman, artis itu baru sedar bahawa selama bertahun bersama pengurusnya itu, dia baru sedar yang sebenarnya dia dikawal dan dia terasa tidak berkembang. Dia sedar akan kenyataan itu apabila bekerjasama dengan artis yang hebat setarafnya juga. Namun, mereka tidaklah bergaduh atau bertengkar akan situasi itu. Artis itu sangat professional dan duduk berbincang dengan pengurusnya. Mereka memutuskan untuk tidak bersama lagi di dalam kerjaya artis itu tetapi kekal sebagai sahabat. Tiada silaturrahim yang terputus.

Langsung aku teringat akan apa yang aku katakan di dalam satu temubual bersama Studio H beberapa minggu lalu. Ianya dah pun keluar di dalam aplikasi Studio H. Nak baca dan nak tonton wawancara bersama Opie Sofia itu, bolehlah memuat turunkan aplikasi tersebut.

Aku ada katakan, artis dan pengurus, atau pembantu; adalah seperti suami isteri. Ada naik turunnya. Adakala menjadi, adakala tak menjadi. Lebih menarik bila tujuan bekerjasama itu membawa kepada satu tujuan yang sama yang dimahukan. Itu yang selalunya mengundang kejayaan. Lebih mudah jika keduanya sama positif. Bagi aku pemikiran yang positif sangat penting.

Dulu aku pernah punyai seseorang bekerja sebagai pr dan pembantu peribadi. Cerita ini diambil dari tahun 1995. Album pertama aku dahulu. Wanita molek itu lama juga bekerja untuk aku. Malah pernah nak ambil untuk jadi pengurus juga pada satu ketika. Namun rezeki tak memihak padanya. Ada saja yang aku tak berkenan walaupun dari awal kami kenal, dia banyak berbuat kebaikan pada aku. Sama naik dengan kekurangannya juga. Biasalah.. Manusia .. Tiada yang sempurna.

Sebagai artis, aku menjaga orang yang bekerja dengan aku. Kalau nak pinjam duit kalau setakat 50-100 Ringgit, biasanya aku tak kisah. Dipinjamkan saja. Lagipun kesian. Masa tu anaknya masih bayi dan dia pula baru berpisah dengan bekas suami. Tak pernah pula aku ungkit apabila tidak dibayarnya. Tak kisah. Lagipun dia buat kerja untuk aku. Itulah yang aku simpan dalam otak kepala aku ni. Hargai orang yang bekerja untuk aku. Biasalah aku ni.. Masa tu tersangatlah baik. Budak lagi… Susah nak bersangka buruk.

Lama kelamaan, dari pekerja menjadi kawan dan langsung seperti adik beradik. Pernah juga bertengkar sekali. Agak teruk. Tapi tetap balik bersama sebab aku tak punya sesiapa masa itu yang boleh buat kerja dan aku pula kesian dengan keadaannya masa tu. Tutup mata menahan beberapa ‘hick ups’ yang aku kononnya faham akan situasinya.

Beberapa tv show dan pertunjukkan pentas yang sepatutnya dia bawa aku, adakala tu tak muncul, dek ‘berjaga malam’ sebelumnya. Bukan maksud aku menjaga anak. Adalah hal dia pada malam harinya. Telefon tak diangkatnya. Pesanan suara tak dihiraukannya. Dia akan hubungi semula selepas selesai temubual atau persembahan. Sebelum habis kerja aku tu, jangan harap dia nak hubungi.

Boleh tahan juga tipu helah apabila dia tak dapat nak ikut aku. Banyak kali jugalah saudara mara atuk nenek, abang saudara, atok saudara dan berbagai saudara lagilah yang meninggal dijadikan alasan supaya dia boleh ‘melarikan diri’ dari bekerja.

Selepas dah berkali-kali, naik faham juga aku yang dia menipu. Kalau betullah saudara maranya meninggal, makanya tinggal hanya dia dan ibunya sahaja yang ada. Asyik meninggal je… Mestilah dah pupus keturunannya!

Kelakar kalau aku ingatkan balik… Lama juga aku dengan dia. Bertahun juga. Bukan 2 atau 5, tetapi lebih dari 10 tahun! Yang paling aku sedih, bila selepas aku berkahwin dengan bekas suami aku dulu, dia seakan menjauhkan diri. Fikirnya, nama aku akan jatuh bila dah berkahwin. Biasalah, zaman itu masih ramai berfikiran sedemikian.

Namun, rezeki Allah siapa yang tahu. Dia hubungi aku semula apabila nama melonjak naik dengan  konsep berduet. Dia sentiasa buat begitu. Sekejap hilang, sekejap timbul. Aku tak kisah. Biasalah aku ni. Tutup mata… Biar orang buat kat kita.. Jangan kita buat kat orang.. Itu yang aku pegang. Memang ya. Tapi kalau dah beratus kali asyik terkena, itu namanya ngong! Dah bodoh sangat nak biar orang lakukan apa saja pada kita. Tapi itulah aku masa tu.

Siap tolong pula dia sebab kesian tak ada kerja yang stabil. Alhamdulillah menjadi rezekinya, dia bekerja dengan satu syarikat yang agak besar di dalam industri pengiklanan dan acara. Adalah juga pangkatnya. Jadi, bila dah banyak kerja, tidaklah dihubunginya aku. Tak apalah.. Asalkan dia gembira dan ada pendapatan bulanan yang tetap. Senanglah juga hidupnya selepas itu.

Lain pula ceritanya selepas itu. ‘Hidung tinggi’ sedikit bila dah ada jawatan. Habis semua wartawan ditengkingnya di satu acara tahunan yang agak besar. Ada rakan wartawan sampaikan. Aku pun tak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Tapi dia ni, memang agak kasar sikit kalau bercakap. Macam menengking pun ada. Adakala macam nak makan orang!

Sungguhpun begitu, kami masihlah berhubugan sebab bagi aku, macam mana pun dia, dia pernah membantu aku ketika aku susah. Ketika aku memerlukan dulu, kalau aku minta tolong, ada juga dibantunya walaupun banyak kali alasan kematian saudara mara dan keluarga.

Aku pernah diberi amaran oleh bekas suami. Katanya wanita comel ini hanya akan cari aku apabila dia susah atau berada di dalam keadaan lemah. Bukanlah aku tak dengar atau tak sedar akan keadaan itu. Aku tahu…. tapi aku hiraukan saja kerana aku tak mahu dikatakan kawan yang lupa kawan apabila senang. Jadi, aku biarkan saja apa pendapat bekas suami itu.

Sehingga kini aku ingat pesan itu apabila telah berlaku yang sama sehinggalah tahun 2012 yang lalu. Aku hentikan pemikiran aku itu dan ambil kesedaran yang ada dalam kepala aku sebelumnya. Bertahun juga aku biarkan dia menggunakan aku. Tak kiralah dari segi apa sekali pun. Wang ringgit aku halalkan. Tapi dari segi persahabatan dan hubungan kami sebagai manusia, aku dah puas terkena dan tak mahu lagi digunakan.

Dia agak rapat sehinggalah aku tak kisah untuk sama mengerjakan umrah bersamanya. Dia teringin dan mahu ke Tanah Suci tapi wang tidak mencukupi. Aku tak kisah.. Bekas suami pun kata belanja lah dia. Anggap sedekah kerana dia pernah membantu dan banyak buat kebaikan. Kenangkan yang baik yang pernah dia buat. Sebagai kawan, aku happy lah bila aku dapat berbuat sedemikian.

Di Mekah, banyak juga halnya. Aku tak tahu apa yang Allah cuba sampaikan. Dia tak tenang. Asyik teringatkan rumahtangga dan anak-anak di Malaysia. Ada juga berlaku salah faham anatara kami berdua. Selalunya, ikut pengalaman aku yang masa tu kali kedua ke Mekah, bila dah ada di sana, jangan harap nak ingat kereta apa kita guna, rumah besar mana, anak berapa, suami yang bagaimana! Tak langsung ingat. Yang tahu hanya nak beribadat dan menyucikan diri di hadapan Allah.

Panjang lagi ceritanya.. Tapi malas pula nak cerita habis-habis. Pengakhirannya, aku mendapat jawapan apa yang Allah mahu tunjukkan dan mahu beritahu aku ketika di Mekah dulu. Aku letakkan noktah pada persahabatan kami. Akhirnya aku ambil keputusan untuk berbuat demikian apabila suami yang baru pun turut mempunyai pendapat yang sama.

Katanya cukuplah menghargai orang lain sampai tak pedulikan diri sendiri. Kena fikir hati dan perasaan kita dahulu. Takkan dikatanya aku ni tak kenang segala jasanya selepas apa yang dah aku lakukan padanya. Aku tahu, dia tahu apa maksud aku. Pernah aku luahkan pada kali terakhir aku bertemu dengannya apabila dimintanya juga untuk berjumpa untuk meluahkan keluh kesahnya.

Aku belajar berterus terang dan cuba untuk membetulkannya dengan niat selepas itu aku tak mahu bertemu dengannya lagi. Cukup di situ sahaja. Penat juga kalau kita je menjaga perasaannya tapi dia buat kita macam-macam. Belum lagi dikira umpatan belakangnya yang aku dengar dari orang lain.

Lagipun aku kini bukan aku yang dulu. Aku tahu aku dah banyak berubah mengikut apa yang aku pelajari akan kehidupan dan orang yang bagaimana aku mahu mereka berada di sekeliling aku. Positif yang utama. Yang kedua, yang tahu menghargai kehidupan dan tahu erti gembira dan bahagia; serta persahabatan.

Macam-macam ragam manusia.. Bukanlah aku nak tunjuk aku baik tapi itulah yang aku lakukan. Kalau jaga sangat orang, kita puji dan puja, adakala makan diri kita semula. Patutlah orang tua berpesan, ‘buat baik berpada-pada.’ Dalam maksdunya untuk dinilai. Jangan terlebih sampai makan hati dan makan diri sendiri…

Satu cerita yang boleh diambil dan diguna pakai oleh semua. Tak kira di dalam bidang apa sekali pun. Bukan antara artis dan pengurus serta pembantu sahaja…

P/S : Fasa berfikir ini membunuh ku… Sedar akan realiti dan kesian dengan hati yang puas menahan….

Advertisements

One Comment on “FASA INI…. MEMBUNUH KU…

  1. Betul sgt Nurul….kawan baik yg dah bersama kita lebih 20 tahun pon boleh tikam kita dari belakang. Yg penting kita ikhlas bila berkawan, Insyallah Allah akan jauhkan kita dari org2 yg tidak baik.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: