WHAT A YEAR!!

Menunggu beberapa hari… Mahu mencoretkan pelbagai cerita. Seperti biasa, bila menunggu, memang akan hilang semuanya kerana pelbagai cerita yang diterima, didengari dan yang aku lihat di kaca TV. Tak tahu apa nak tulis… Sedangkan dalam kepala ni macam-macam nak aku ceritakan… Mata dan fikiran melayang layang awal pagi ni. Lagi pula suami juga tak dapat tidur. Selepas dia bangun susukan Zach jam 3 pagi, langsung sukar nak lelapkan mata semula. Aku masa tu masih nyenyak dibuai mimpi. Sedar jam 5:30 pagi, suami tak ada di sebelah. Mana aku boleh tidur! Bingkas bangun join dia sekali. Tapi yang best nya, dia dah tidur semula, aku pula yang buat kerja! Baru boleh menulis.

Lebih baik buat sekarang daripada pagi nanti, hilang lagi semua idea aku dek sibuk dengan anak kecil yang kuat menyibuk tu! Bukan saja idea menulis hilang kerana komitmen seharian aku, tetapi juga hal lainnya. Semuanya pupus dek beberapa insiden yang berlaku di dalam seminggu dua ini. Hati menjadi sayu melihatkan video serta gambar-gambar keadaan kawasan yang dilanda banjir… Luluh hati ini bila ada pula video yang menunjukkan anak kecil yang terlepas dari pelukan ayah, kawan yang tak dapat diselamatkan oleh kawan yang lain… Yang meraung, terpekik, terlolong memohon pertolongan.. dan pelbagai lagi.. Ya Allah… ujian apakah ini…

Macam-macam yang kita terima sepanjang 2014. What a year! Tak cukup dengan dua berita besar dan gempar sebelum ini. Selepas itu banjir; dan satu lagi kejadian yang cukup mengejutkan. Keadaan cuaca yang tidak menentu dan monsun yang melanda menyebabkan cuaca sentiasa buruk. Ekoran itu, satu lagi pesawat menjunam ke bumi… Satu lagi berita yang menyayat hati. Malah, membuatkan semua rakyat Malaysia dan seluruh dunia berfikir, apakah yang melanda Malaysia bagi tahun 2014 ini.. Banyak lagi hal lain yang mungkin kita tak tahu. Ini antara 4 insiden besar yang melanda negara kita, Malaysia.

Bagi aku, Allah Maha Mengetahui dan Dia yang berkuasa bagi seluruh alam ini. Adalah sesuatu yang Dia mahu tunjukkan dan beri peringatan kepada kita semua. Adakah ini kebetulan? Hanya Allah yang tahu. Kita sebagai hambaNya, terimalah segala takdir Qada dan Qadar nya. Aku tergamam dan hilang untuk berkata-kata apabila berita sedih yang menimpa negara bertubi tubi datangnya. Melihatkan keadaan insan lain yang sedang susah mengharungi bencana alam, membuatkan aku terfikir, bagaimana wanita yang sama dengan aku yang sedang sarat mengandung? Bagaimana orang tua yang sedang uzur? Bagaimana anak kecil yang terputus susu dan makanan akibat keluarga terperangkap? Bagaimana pula mereka yang terpaksa melawan emosi sedih melihatkan rumah, kereta serta harta benda lain dihanyutkan oleh air deras…

Kita yang tak pernah mengalami, mungkin kita hanya rasa sedih melihatkan video serta gambar-gambar yang kita terima. Mereka yang berada di dalam situasi itu; hanya mereka yang tahu bagaimana takut dan sedihnya mereka. Alhamdulillah, rakyat Malaysia sentiasa bersama turut membantu kesemua mangsa. Bukan saja orang kita, malah dari negara luar seperti Brunei dan Singapura juga. Bagi aku, sewaktu kecil, aku pernah juga melalui pengalaman mengharung banjir. Tapi tidaklah seperti yang kita lihat di dalam video-video yang kita terima seminggu dua ni. Air yang naik di kampung aku, hanyalah setakat peha. Tidaklah sehingga menenggelamkan bumbung rumah serta tak ada arus laju. Itupun dah cukup membuatkan kami sekeluarga tidak selesa.

Bagi Pingu aku tu pula, dia dah pernah mengharungi beberapa insiden besar banjir yang melanda kawasan di mana dia tinggal iaitu di Kuantan. Tahun lepas, banjir melanda juga di beberapa bahagian di negeri Pahang. Sehinggakan bencana banjir yang melanda tahun ini, mengundang trauma dan fobia padanya. Nasib baik mereka lebih bersedia dan air hanya naik setakat buku lali. Namun, kebimbangan tetap melanda. Dia yang bercuti sekarang ini, resah juga kerana tak dapat pulang ke Kuantan kerana kebanyakkan jalanraya dilitupi air. Dengar ceritanya, berjam-jam juga nak sampai ke destinasi seperti di negeri Johor dan Pahang. Kelantan dan Terengganu jangan ceritalah.. Memang ada jalan tak dapat masuk langsung. Haaaiiii… (bukannya mengeluh) Tapi rasa sangat sayu…

Pengakhiran 2014 yang menyayat hati… Sabarlah wahai Malaysia. InsyaAllah keadaan kembali seperti biasa selepas ini. Aku selalu katakan kepada sahabat, Allah itu Maha Adil. Dia beri ujian kerana ada sesuatu yang mahu diberikan kemudiannya. Dia mahu melihat sejauh mana ketakwaan kita padaNya. Mahu mengingatkan kita akan Dia, dan hidup ini hanyalah sementara. Ingat padanya tuhan yang berkuasa bagi sekelian alam..

Aku berdoa semoga 2015 akan membawa banyak kebaikkan kepada kita semua, secara peribadi setiap individu mahupun negara. Bila diterima bencana, semuanya menjadi sedar akan keadaan sekeliling. Melihat segalanya. Macam-macamlah juga yang aku dengar. Jika sekali ujiannya, itu mungkin hanya peringatan pertama. Bila dan berkali-kali, adalah sesuatu yang perlu kita ambil iktibar dan lakukan perubahan. Tak kurang juga yang membangkitkan hal politik. Menyalahkan orang itu dan ini. Pemimpin itu tak okay, pentadbir ini buat salah… dan macam-macam lagi.

Sekali pun ada benarnya, bukanlah sekarang masanya untuk kita menuding jari dan melontarkan tuduhan. Sebaliknya, redakan dahulu kesusahan sekarang, dan lihat kemudiannya apakah tindakan yang perlu diambil dan seterusnya barulah memberikan pendapat. Ada betulnya akan beberapa komen dan pendapat yang aku dengar. Pemimpin adalah tunggak segalanya. Tapi bukan kesalahan pemimpin saja, kita juga sebagai rakyat dan hamba kepada Allah Taala. Mungkin kita harus melihat, apa yang telah kita lakukan sehingga mengundang kemarahan Yang Esa. Adalah ketidakjujuran atau kita terlupa serta alpa akan nikmat yang diberi olehNya selama ini. Atau mungkin hanya satu ujian untuk membuatkan kita kuat.

Seperti yang aku katakan, setiap ujian, ada rahmat di sebaliknya dan ada sesuatu yang jauh lebih baik yang akan diberikan Allah selepas sesuatu ujian itu. Itu tentang ujian yang melanda negara. Dari segi peribadinya, bagaimana pula bagi kalian di tahun 2014 ini? Di hujung tahun sebegini, sering kita merenung semula apakah yang telah kita capai dan apa yang kita terima sepanjang tahun. Bagi aku, tahun ini tahun aku membina, merancang, melihat, memerhati dan muhasabah diri. Dari segi pendapatan pula, tahun ini adalah tahun yang paling rendah bagi aku. Nasib baik dah ada suami. Kalau tak ada, tak tahulah bagaimana aku nak survive. Namun, aku bersyukur. Allah tak pernah bagi aku terduduk. Ada saja rezeki dihantarnya. Aku redha dan terima seadanya. Bina – apa yang aku maksudkan adalah tahun bagi aku membina keluarga. Itu yang aku mahukan. Keluarga menguatkan aku. Ini dari sudut peribadi.

Di dalam kerjaya pula, aku harus membina juga, semula… Bermula dari bawah. Bila diam dari kaca tv, ramai yang sangka aku tidak menyanyi. Sebenarnya, aku aktif seperti biasa cuma keadaan aku yang berbadan dua semula semenjak Jun lalu, membataskan pergerakkan aku. Family – bagi aku secara peribadinya, dah kautim! Alhamdulillah. Hajat aku dimakbulkan Allah. Sekarang ini harus merencanakan seterusnya. Buat yang terbaik di dalam kehidupan keseluruhannya. Hargai masa yang masih kita ada, dan gunakannya sebaiknya, itu yang paling utama. Buat kebaikan selagi mampu. Kerana apa yang baik, pulangannya baik juga. Begitu juga sebaliknya.

Tahun 2015 aku mahu ianya menjadi tahun terbaik bagi aku. Tahun membina kerjaya nyanyian aku semula secara komersial dan besaran. InsyaAllah. Perancangan telah pun dibuat. Hanya harus menjalankannya sahaja. Namun dengan apa yang terjadi ketika ini, membuatkan sedikit fikiran terganggu kerana kesedihan dan keperitan melihatkan beberapa perkara yang tidak pernah kita jangkakan melanda kita semua. Agaknya jika perkara sebenarnya yang kita tahu dan kita lihat sendiri, membuatkan kita semua tak boleh tidur malam dan menjadi mimpi ngeri. Dengar cerita, banyak cerita tak dikongsikan di arus media semasa selepas beberapa kawasan telah surut banjir. Pelbagai telah dijumpai. Faham sahajalah maksud aku apa yang ditemui. Innalillahhiwainnalillahhirojiun…

Semoga Allah tempatkan mereka yang terkorban di dalam bencana banjir serta pesawat Air Asia 8501, di kalangan orang-orang yang beriman. Masa mereka telah tiba. Kita yang masih bernyawa ini, jadikan ini sebagai satu iktibar. Aku berdoa semoga kita semua jauh dari pelbagai bala dan bencana. Namun, itu hanya satu doa. Hanya Allah bisa menentukan segalanya.. Andai masanya telah tiba, kita semua akan kembali juga ke pangkuanNya…

P/S: Risau dengan keadaan cuaca sekarang ini. Mudah mudahan beransur baik terutamanya awal Januari ini. Suami bakal terbang bersama Air Asia ke India di atas urusan perniagaan Herbalife nya. Semoga Allah lindungi dan selamatkan suami ku tak kira di mana saja dia berada… Amiiinnn…

Advertisements

One Comment on “WHAT A YEAR!!

  1. Inshaa Allah.. Semoga penerbangan suami Nurul selamat pergi dan pulang ke Msia.. Aminn
    Happy new year 2015!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: